Pelajaran Daripada Pernikahan - 7


Pelajaran #7 - Bersedia Berubah

1 Muharram sering dikaitkan dengan Hijrah (walaupun Hijrah sebenarnya bukan berlaku pada 1 Muharram, tapi tak ada masalah kita nak mengambil ruh Hijrah untuk dihayati bersama). Bersempena dengan 1 Muharram 1434H ini, saya ingin berkongsi tentang hijrah berkait dengan alam rumahtangga.

Ramai yang masuk ke alam pernikahan tanpa kesediaan untuk melakukan perubahan terhadap diri, iaitu perubahan-perubahan yang perlu dilakukan tatkala lelaki bujang bertukar gelar menjadi suami atau anak dara bertukar gelar menjadi isteri, perubahan-perubahan yang merangkumi banyak aspek, baik daripada segi mentaliti, emosi, sikap, mahupun gaya hidup seharian.

Mungkin kita masuk ke alam pernikahan dalam keadaan separa sedar, membiarkan sahaja pernikahan itu berlalu tanpa benar-benar memahami tuntutan-tuntutan sebagai suami atau isteri. Sedar-sedar sahaja sudah bergelar isteri atau suami orang. Oh, unbelievable! Atau mungkin kita langsung tak ambil peduli. We don't really care what it really means to be a husband or a wife.

Kita sudah bergelar suami atau isteri, namun mentaliti kita masih melihat diri sebagai seorang bujang atau gadis yang hidup sendiri. Semuanya hanya berlegar tentang apa yang kita perlu dan apa yang kita mahu, apa yang kita fikir dan apa yang kita rasa, apa yang kita nak buat.

Maka kita membawa masuk bulat-bulat gaya hidup dan segala yang ada pada diri kita sebelum pernikahan ke dalam alam pernikahan, tanpa berusaha untuk berubah. Lelaki (bukan semua) dengan perangainya yang suka bersepah-sepah, tak mandi, minum malam dengan kawan-kawan sampai lewat pagi, tengok bola berjam-jam di depan televisyen, bercakap kasar, bangun lambat, dan segala macam lagi perangai-perangai yang pelbagai.

Perempuan pun sama (bukan semua). Banyak juga keadaan diri ketika bujang yang dibawa masuk ke alam pernikahan tanpa berusaha untuk berubah. Bangun lewat, malas dan tak mahu memasak, sensitif sangat dan asyik nak merajuk, sikit-sikit nak mengadu mak ayah, ditegur sikit nak marah dan bersilat lidah, dan banyak lagi perangai-perangai yang lain.

Memang kita tidak sempurna ketika melangkah ke alam rumahtangga. Namun, saya ingin menekankan tentang kesediaan kita untuk berubah menjadi lebih baik.

Cukupkah dengan berkata "terimalah saya seadanya" untuk mencapai keharmonian rumahtangga? Kita marah apabila pasangan merungut tentang sikap-sikap kita yang tak disenangi, kononnya pasangan dah tak boleh terima kita lagi, dah tak ikhlas mencintai. Kata kita, "dulu awak kata saya ni comel bila saya merajuk, sekarang ni bila merajuk awak kata buruk". Memanglah, dulu sekalipun cinta bagai nak rak, masih belum hidup sekali, sebumbung. Belum keluar terpapar semua sikap-sikap kita.

Maka, baik suami atau isteri, harus bersedia untuk berubah ke arah yang lebih baik dan memperbaiki diri, agar rumahtangga lebih harmoni dan sentiasa menuju kepada keadaan yang lebih baik. Semakin kita siap untuk berubah kepada kebaikan dan berusaha ke arahnya, semakin cepat proses kematangan kita dalam pernikahan, semakin cepat kita mencapai keserasian dan semakin kurang rungutan-rungutan.

Pernikahan adalah perubahan, pernikahan adalah perpindahan, pernikahan adalah hijrah.

Wallahua'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Bila Yang Dikejar Itu Dunia

Manusia Sengal

Begin with the end in mind