Belajar Daripada Kisah Musa AS dan Ghulam



Nabi Musa AS lahir ketika kekuasaan Firaun berada di puncaknya. Firaun mengaku dirinya sebagai Tuhan. Sesukar-sukar perjalanan dakwah kita, tidaklah sampai menghadapi seorang raja atau kerajaan yang mengaku diri sebagai Tuhan. Kita harus memahami, bahawa peluang dakwah itu tetap ada dalam kondisi sedahsyat apapun. Jangan menutup ruang dakwah dengan pelbagai alasan tentang persekitaran. Allah telah menggambarkan bahawa dakwah itu berlaku dalam sedahsyat-dahsyat kerajaan Firaun.

Begitu juga dalam kisah Ghulam, Allah menghantar seorang budak sahaja untuk berhadapan dengan raja yang mengaku diri sebagai Tuhan. Tidak ada faktor yang dapat dijadikan alasan untuk dakwah itu tidak berjalan. Faktor usia, faktor masa, faktor persekitaran, semuanya tidak harus menolak kita ke belakang.
Kita harus siap menyampaikan dakwah sekalipun persekitaran yang ada itu kelihatan sangat rosak dan tidak nampak bibit-bibit kebaikan.

Allah tetap melahirkan nabi Musa AS sekalipun ternyata Firaun benar-benar engkar. Allah pasti tahu bahawa Firaun akan mati dalam keadaan kafir. Namun, tetap juga diutuskan Musa AS untuk pergi bertemu dengan Firaun. Ini memberi pengajaran bahawa sekalipun yang kita serukan itu tidak beriman dengan seruan kita, jangan pernah berputus asa kerana usaha kita pasti dilihat oleh Allah.

Kita lihat dalam kisah ghulam, ketika dia dicuba untuk dibunuh namun gagal, dia kembali lagi ke istana untuk menyampaikan seruan tauhid, dicuba dibunuh lagi kali kedua namun tetap gagal. Bahkan dia kembali lagi ke istana untuk menyampaikan dakwah. Akhirnya dia rela dirinya dibunuh demi menyelamatkan aqidah Umat waktu itu. Apakah kita sanggup menggadaikan nyawa kita untuk dakwah ini?

Kita jangan cepat berputus asa dalam membawa perubahan kerana yang lebih penting itu adalah usaha kita membawa perubahan tersebut. Nabi Nuh bahkan menghabis 950 tahun untuk menyebarkan dakwah tanpa berputus asa sekalipun segala bentuk usahanya tidak menghasilkan bilangan yang ramai sebagai pengikut baginda AS.

Nabi Musa AS dihanyutkan sampai kepada istana Firaun, ke tengah-tengah punca kekafiran. Namun, Allah tetap mengembalikan baginda untuk disusukan oleh ibunya. Walaupun baginda diutuskan untuk berdakwah di tengah-tengah kerosakan, tetap sumber tarbiyahnya dikembalikan kepada ibunya. Maka kita harus sentiasa menyusu kepada tarbiyah, baik dalam medan apapun kita berada. Di manapun, dalam keadaan apapun, sentiasalah mendapatkan sumber tarbiyah yang asli yang akan memberikan kita pengisian untuk terus bergerak, ibarat minyak bagi kenderaan, nafas bagi paru-paru.

Ghulam merupakan anak yang sangat bijak yang terpilih untuk belajar sihir dan menggantikan ahli sihir istana. Namun, dalam ulang-aliknya ghulam belajar sihir, tetap juga ia istiqomah dalam pertemuan dengan rahib sebagai sumber tarbiyah dalam membentuk dirinya.

Kita jangan pernah terputus daripada tarbiyah dalam keadaan apapun. Walaupun jauh, walaupun sukar, kita harus tetap tegar dalam tarbiyah kerana hanya ia yang akan membuatkan kita dapat bertahan dalam kerosakan yang sentiasa menarik-narik kita. Jika kita terputus, kita akan terjerumus dalam kerosakan tersebut. Baik ditipu dengan kerosakan, atau menjadi agen mempromosikannya.

Wallahua'lam.

Comments

  1. Sesungguhnya setiap firman Allah di dalam Al-Quran adalah sesuai sepanjang zaman..Jika anda benar2 melaluinya,akan anda katakan,Benarlah Firmannya.Walaupun di dalam dunia penuh kecanggihan,masih lagi terdapatnya ciri2 kejahiliahan....Sesungguhnya beruntunglah manusia pilihan Allah yang diselamatkan hidupnya dunia akhirat....Moga kita di dalam golongan yang mendapat redhanya..dan sentiasa berusaha mencari ilmu menuju-Nya..dan mendapat perlindungan dari kemurkaan-Nya..Amin

    ReplyDelete

Post a Comment

Apa pandangan anda? Kongsikan bersama pembaca yang lain.

Popular posts from this blog

Bila Yang Dikejar Itu Dunia

Manusia Sengal

Begin with the end in mind