Pelajaran Daripada Pernikahan - 4


Pelajaran #4: Memberi dan Memohon Maaf

Pernah seorang pensyarah saya berpesan, sebuah pesanan yang ia terima daripada gurunya, "90% of marriage life is about forgiving, the other 10% is about forgetting things that you could not forgive". Menarik. Tak pasti daripada mana sumbernya, dalilnya, kajian kesnya. Namun, bagi saya, it makes sense!

Kita tidak harus lokek untuk meminta maaf (atas kekurangan diri) dan memberi maaf (atas kekurangan pasangan). Berkait dengan kemaafan, mari kita melihat sebuah hadith daripada baginda Rasulullah SAW:

"Tidaklah sedekah itu mengurangi harta, dan tidaklah Allah menambah bagi seorang hamba dengan sifat memaafkan kecuali kemuliaan, serta tidaklah seorang hamba merendahkan diri karena Allah melainkan Allah meninggikan darjatnya". (HR. Muslim)

Dalam memohon maaf, kita harus tulus. Janganlah mulut kata "maafkan saya", hati kata "bukan salah aku, sepatutnya kau yang minta maaf". Kalau itu yang berlaku, kita sebenarnya tidak jujur terhadap pasangan. Boleh jadi kita memohon maaf kerana ada kepentingan tertentu yang kita nak daripada pasangan. Nak minta belikan sesuatu, nak ajak bersama di ranjang, nak ajak balik kampung mak ayah, dan macam-macam lagi. Apabila telah kita perolehi, kita pun mengulangi kembali kesilapan tanpa segan silu.

Ya, memohon maaf bererti menanamkan keazaman untuk tidak mengulangi lagi perbuatan menyakitkan pasangan atau perkara-perkara yang tidak disukainya. Barulah memohon maaf itu menjadi begitu bererti dalam meningkatkan kualiti hubungan suami isteri. Semakin lama, semakin banyak kita tahu tentang perkara tak disukainya, dan semakin banyak perkara tak disukainya yang kita jauhi. Demikianlah impak permohonan maaf yang ikhlas diiringi perbuatan memperbaiki diri.

Dalam memberi maaf juga, kita harus tulus. Janganlah mulut kata "saya maafkan awak", hati berbisik "hari ini hari kau, besok hari aku". Memberi maaf bererti meredam dendam dan menutup kes tanpa mengungkit-ungkit kembali di masa hadapan. Contohnya, apabila pasangan mengulangi sebuah kesalahan yang serupa, jangan kita katakan "Hari itu awak dah buat macam ni, kenapa awak ulang lagi?", padahal kita telah maafkan kesalahan yang lepas. Ini menunjukkan kita tidak benar-benar menutup perbuatan silamnya dan akan membuatkan pasangan merasa sangat bersalah dan berdosa dan terluka. Ini tidak sihat. Lama-kelamaan perhubungan akan menjadi kaku dan masing-masing akan menjadi buntu.

Juga, jangan melakukan kesalahan seperti yang dilakukan pasangan lalu mensabitkan kesalahan itu pada kesilapan silamnya, seperti kata kita "hari itu pun awak buat macam ni juga, kenapa saya tak boleh buat?". Sebaliknya, kita harus merenung, kalau kita tak suka apa yang dibuatnya dulu, kenapa kita ulang juga berbuat sepertinya sedangkan kita tahu itu akan menyakitinya? Apabila kita tulus memberi maaf, semakin lama semakin banyak kekurangan yang akan kita temui dalam diri pasangan dan semakin banyak juga kekurangannya yang akan kita tutup dan merasa lapang dada.

Demikianlah besarnya nilai memaafkan dengan ikhlas untuk keharmonian rumahtangga. Besarnya nilai memaafkan orang lain inilah yang ditekankan Rasulullah SAW dalam hadith di atas, bahawa "tidaklah Allah menambah bagi seorang hamba dengan sifat memaafkan kecuali kemuliaan".

Jika teman hidup kita pun tak mampu kita nak memberi dan memohon maaf, apatah lagi dengan orang lain?

Apabila pasangan kita memohon maaf, sedarlah bahawa dia sedang menghargai dan memuliakan kita, senyumlah dan katakan padanya, "cintaku melebihi kesilapanmu". Tanpa perlu kita berpesan untuk tidak diulangi, dia pasti berazam untuk tidak mengulangi lagi. Bantulah mendidik sikap sentiasa suka memohon maaf pada diri pasangan dengan tidak lokek memberi maaf walaupun kesalahannya nampak besar. Semakin besar kesalahannya yang mampu kita maafkan, semakin besar juga cintanya akan berputik terhadap kita.

Apabila pasangan kita memberi maaf, sedarlah bahawa dia sedang menghormati kita dan memberi peluang yang seterusnya, janganlah menyalahgunakan penghormatannya dan janganlah mensia-siakan peluang yang diberikannya kepada kita. Semakin sering kita memohon maaf sekalipun untuk kesalahan-kesalahan yang kecil, semakin dia akan mampu memaafkan kita untuk kesalahan yang lebih besar. Bantulah pasangan kita menjadi orang yang suka memaafkan dengan tidak segan memohon maaf dengan tulus.

Kedua-duanya, baik memberi atau memohon maaf, tidak langsung menjadikan kita sebagai orang yang rugi. Demikianlah pelajaran kali ini untuk mencapai rumahtangga yang harmoni.

Wallahua'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Bila Ibadah Hilang Manisnya

Ciptaan Agung: Jantung Yang Sentiasa Berdegup