Pelajaran Daripada Pernikahan - 6


Pelajaran #6: Menjadi Pendengar Yang Setia

Pendengaran adalah pancaindera yang lebih dahulu berfungsi ketika manusia dilahirkan, sebelum penglihatan dan lisan. Ini menggambarkan peranannya yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Kita biasa mendengar radio tanpa melihat video, namun pelik jika kita harus menonton filem tanpa suara. Pendengaran adalah input penting yang diproses menjadi output, iaitu kata-kata yang kita ucapkan.

Apabila pasangan kita berbicara, kita harus belajar mendengar dengan teliti, sepertimana kita ingin didengari dan difahami ketika kita berbicara. Jika kita tidak mendengar dengan teliti dan memahami, kita akan memberikan respons yang tidak adil dan menyakiti. 

Jangan cepat membuat kesimpulan sebelum jelas dengan apa yang cuba disampaikan. Tak semua orang mampu untuk berbicara direct to the point. Jika kurang faham, tanya. Dapatkan kepastian. Jangan cantas kata-kata pasangan sesuka hati dan membuat kesimpulan yang sebenarnya tidak dimaksudkan pasangan. Meluangkan masa untuk mendengar dan memahami itu lebih mudah daripada meluangkan masa untuk merawat hati yang telah terluka dek kata-kata yang terburu-buru.

Kita adalah antara manusia paling dekat dengan pasangan kita. Telinga kita paling dekat dengan lisannya. Kita perlu faham yang tak semestinya kita perlu kusut memikirkan penyelesaian bagi permasalahan yang dilontarkan pasangan. Selalunya, masalah itu akan rasa kurang bebanannya apabila kita sanggup mendengar luahannya. Lalu kita turuti dengan pelukan atau belaian mesra, atau sekadar mengatakan yang "saya akan sentiasa berada di samping awak". Itulah penyelesaian. Dia akan tersenyum dan berkata, "thanks for being there when i need you, i feel relieved right now". Padahal kita tak memberi apa-apa cadanganpun. Demikianlah pentingnya mendengar dengan baik.

Janganlah belum habis pasangan bercerita, kita lebih dahulu menutup cerita "awak ni suka mengeluh lah, sayapun banyak masalah lain nak fikir, kecil saja masalah awak tu". Itu akan sangat melukakan dan menimbulkan trauma baginya untuk bercerita lagi kepada kita. Sudahnya, luahannya sampai kepada kawan-kawan, lagi parah kalau kawan berlainan jantina. Di sinilah bermulanya perpecahan rumahtangga, apabila pasangan tak lagi rasa didengari. Mungkin juga, Facebook lah menjadi tempat ia meratap meluahkan kekecewaan, dan yang mendengar adalah semua friends. Bagaimana jika ada yang berniat tidak baik dan ingin mengambil kesempatan?    

Apabila pasangan tidak dapat meluahkan perasaannya secara sihat kerana kita tidak menjadi pendengar yang baik, ia mungkin bertindak dalam bentuk yang lain. Memberontak. Lebih parah jika pemberontakan itu disalurkan kepada anak-anak, mereka menjadi mangsa dimarahi, dikasari. Akan hilang rasa hormat pasangan terhadap kita dan iapun menjadi lebih sukar mendengar dan mentaati kata-kata kita (bagi suami). Bagi isteri, suami akan mencari perempuan lain yang lebih penyayang dan pandai mendengar luahannya.

Rasa didengari membuatkan pasangan rasa dicintai dan dihargai. Apabila kita mendengar dengan baik, kitapun lebih mampu mengeluarkan kata-kata yang baik yang membawa penyelesaian, bukan mengundang perbalahan. A good speaker is a good listener.

Wallahua'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Bila Ibadah Hilang Manisnya

Ciptaan Agung: Jantung Yang Sentiasa Berdegup