Dekatkah Kita Dengan Al-Quran?


Bismillaahirrahmaanirrahiim.

Bulan Ramadhan adalah bulan Al-Quran. Marilah kita sama-sama meningkatkan kedekatan hati kita dengan kalam Ilahi ini yang menjadi cahaya dalam kehidupan kita. Kita mulakan dengan konsisten dalam membacanya. Kita mulakan dengan perkiraan matematik yang mudah.

Saya telah membuat percubaan membaca beberapa mukasurat Al-Quran dengan kelajuan yang biasa, tidak terlalu laju dan tidak terlalu lambat. Berikut variasi masa yang saya catatkan;

mukasurat 44 – 2 minit 4 saat
mukasurat 45 – 2 minit 12 saat
mukasurat 46 – 1 minit 53 saat
mukasurat 47 – 2 minit 13 saat
mukasurat 48 – 2 minit 24 saat
mukasurat 49 – 2 minit 21 saat

Mukasurat 48 mengambil masa yang paling lama kerana ia mengandungi 1 ayat sahaja yang panjang daripada Surah Al-Baqarah, ayat 282. Saya ambil ini sebagai masa maksimum yang akan saya luangkan bagi membaca 1 muka daripada Al-Quran, saya genapkan kepada 2 minit 30 saat, atau 2 minit setengah.


Sekarang, mari kita hitung bersama-sama.

Dalam 1 juzuk Al-Quran ada 20 mukasurat. Ertinya, untuk menghabiskan 1 juzuk Al-Quran, saya perlukan masa seperti berikut;

2 minit 30 saat X 20 mukasurat = 50 minit.

Jika saya betul-betul duduk dan membaca tanpa henti, saya akan mengambil masa 50 minit untuk menghabiskan bacaan 1 juzuk Al-Quran. Ya, tak sampai 1 jam!

Baiklah, mari kita teruskan membuat perancangan.

Jika 50 minit saya bahagikan kepada 5 waktu solat;

Saya perlukan 10 minit pada setiap waktu, 5 minit sebelum solat, dan 5 minit selepas solat.
Minimum saya perlu baca pada setiap waktu solat adalah 4 mukasurat.
Saya boleh membaca 2 mukasurat sebelum solat dan 2 mukasurat selepas solat, atau baca terus 4 mukasurat selepas solat.

Bagaimana dengan waktu anda? Ayuh, mulalah hitungkan dan buat perancangan.

Sebelum itu, biar saya jelaskan. Tulisan ini bukan tentang masa peribadi yang saya perlukan untuk membaca Al-Quran, tetapi tentang kedekatan kita dengan Al-Quran. Saya sekadar memberikan contoh perkiraan untuk masa saya.

Buka hati kita, mari kita muhasabah.

Jika kita ambil masa 50 minit sehari sebagai standard untuk setiap orang menghabiskan 1 juzuk Al-Quran setiap hari, peratusan masa yang kita luangkan adalah;

1 hari = 24 jam = 1440 minit
50 minit / 1440 minit X 100 = 3.47%

Ya, 3.47%. Itulah peratusan masa yang kita perlukan untuk menghabiskan 1 juzuk Al-Quran daripada masa 24 jam yang diberikan kepada kita sehari. Itu kita menyebut tentang membaca 1 juzuk sehari. Jika kita cuma membaca 1 mukasurat sehari, peratusannya hanya 0.17% daripada masa sehari.

Dengan peratusan yang begitu kecil (ini baru membaca, belum mentadabbur, mengkaji, menghafal), adakah kita merasa kita cukup dekat dengan kalam pencipta ini? Ke mana lagi lebih kurang 97% masa kita dalam sehari? Jika masa-masa berbaki itu kita isi dengan mengamalkan apa yang kita baca daripada Al-Quran, maka itu sangat baik. Namun, jika masa berbaki itu kita lupa terus tentang Al-Quran, dan hidup tanpa berpandukannya, bagaimana agaknya hubungan sebenar kita dengan Al-Quran?

Dengan peratusan masa yang kecil itu, bagaimana kita dapat mencorakkan kehidupan kita berpandukannya? Kita lancang sahaja mengatakan yang kita tidak mencapai ketenangan walaupun kita membaca Al-Quran. Tanya kembali diri kita, sekerap manakah kita membacanya? Adakah kita mengharapkan dengan 0.17% masa yang kita luangkan untuk membaca Al-Quran dapat mencuci karat-karat dalam hati yang terkumpul begitu banyak?

Tidak ada kalam yang lebih benar daripada kalam-Nya, tidak ada ayat yang lebih menenangkan daripada ayat-ayat-Nya. Antara ayat-ayat-Nya, ada yang berbunyi;


Dan Kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” (Al-Israa’: 82)

Yakinlah, bahawa Al-Quran itu pasti menjadi penawar bagi orang-orang yang BERIMAN. Ketahuilah, ia juga pasti menambah kerugian bagi orang-orang yang ZALIM.

Boleh jadi kita adalah orang yang zalim tersebut, yang tidak memuliakan Al-Quran sepertimana yang seharusnya, yang tidak konsisten membacanya dan tidak mengambilnya sebagai panduan hidup yang mutlak. Jika begitu, tidak hairanlah Al-Quran itu hanya menambah kerugian bagi kita. Na’udzubillaahi min dzaalik.

Antara yang paling penting juga, sentiasalah kita berdoa agar Allah kurniakan kepada kita keinginan yang tinggi untuk membacanya pada waktu pagi dan petang, dan menganugerahkan kita dengan kelapangan waktu. Kelapangan waktu kita untuk membaca Al-Quran itu adalah anugerah Allah yang besar.

Tinggalkanlah maksiat, maksiat yang kita lakukan antara punca kita terhijab daripada mendekati ayat-ayat Allah yang Maha Mulia dan Maha Suci.

Tanya lubuk hati kita yang paling dalam, dekatkah kita dengan Al-Quran?

Comments

Popular posts from this blog

Bila Yang Dikejar Itu Dunia

Manusia Sengal

Begin with the end in mind