Rezeki Di Tangan Tuhan

Pernah suatu hari saya ingin melawat Mak Long di Temerloh. Saya daripada Kuantan. Dengan harga tiket RM 10 lebih kurang, saya bertolak ke Temerloh petang itu. Cadangnya cuma ingin tidur semalam dan pulang besoknya. Dalam perkiraan, cuma RM 20 diperuntukkan untuk pergi dan pulang. Setibanya di sana, abang dan kakak sepupu ramai, di bulan Ramadhan baru-baru ini. Kami sempat berbuka bersama. Malam itu, mereka akan pulang ke Kuala Lumpur. Sebelum pulang, abang sepupu sempat menghulurkan RM 100 kepada saya. “Alhamdulillah, Terima kasih bang”. Dalam masa yang sama, kakak sepupu juga menghulurkan RM 50. “Subhanallah”, dalam hati saya serba salah. “Terima kasih kak”…Saya cuba menolak, namun dipaksa, “Ambillah, duit raya”. Malam itu mereka pulang ke Kuala Lumpur.

Besoknya, sebelum pulang, Mak Long menghulurkan lagi RM 50. “Subhanallah!” Saya menolak namun dihulur jua. Dalam perjalanan ke Terminal bas, hati saya menyatakan kesyukuran, dengan wang bertambah RM 200.

“Ya Allah, dengan RM 20 yang aku keluarkan untuk menziarahi saudaraku, engkau balas 10 kali ganda dengan RM 200″

Sejak hari itu, saya semakin yakin dan semakin menghargai frasa “Rezeki di Tangan Tuhan”. Barangsiapa yang melakukan kebaikan, pasti Allah balas 10 kali ganda.

Yakinlah bahawa apabila kita merasakan rezeki sudah tiada, pasti ada rezeki baru yang ingin Allah berikan.

3 Hari lepas, saya ingin membeli makanan berbuka puasa di kafe UIA Kuantan. Dalam poket cuma ada RM 4 sahaja, itupun semuanya duit syiling. Tidak ada lagi wang, cuma ada dalam bank. Lalu saya pergi ke satu kafe bertanya, “Abang, dengan RM 4 ni boleh beli lauk apa?” Sambil meletakkan syiling-syiling tersebut di kaunter. Ketika itu saya ingin membeli lauk untuk diri dan teman, kami seramai 3 orang. Pakai duit saya dulu, mereka bayar kemudian. Nasi dah masak di bilik.


“Boleh lah ikan keli 2 ekor, nasi sebungkus…Hmmm…Sayur tu amik je lah sikit”


“Terima kasih bang”

Saya membawa pulang makanan dengan tiada lagi wang di dalam kocek. Setiba di bilik, waktu berbuka dah masuk. Kami berbuka bertiga. Sedang enak makan, kawan saya bersuara,

“Eh Zul, hari tu Majalah Solusi yang orang pesan tu dia dah bayar. 3 buku so RM 24 lah ek”


“Ok”. Dalam hati saya bersyukur…Mudahnya Allah nak memberikan rezeki kepada Hamba-Nya.

Yakinlah, apabila kita merasakan rezeki telah habis, sebenarnya Allah ingin memberikan rezeki yang lain.

Pernah sekali abang saya baru sahaja melangsungkan pernikahan. Dia menghulurkan RM 100 kepada saya sebelum kembali ke kampus untuk buat belanja. Saya tolak, dalam hati saya merasakan dia lebih memerlukan kerana baru sahaja bernikah. Tanggungjawab bertambah. Dalam perjalanan pulang ke Kuantan, saya singgah rumah Mak Long di Temerloh untuk menghadiri majlis pernikahan sepupu. Sebelum saya berangkat pulang, Mak Long menyerahkan sebuah sampul. Saya simpan. Dalam kereta saya buka, isinya RM 100.

Ini pula pengalaman di KL Sentral. Saya baru lepas Solat Zohor di surau KL Sentral. Selepas solat, ada seorang pakcik menghampiri saya, “Nak, pakcik nak balik rumah ni, tak ada duit. Minta duit sikit.” Saya memang tak cukup duit waktu tu sebab saya pun nak pulang ke Kuantan. “Minta maaf pakcik, saya tak cukup duit.” Kemudian saya pergi ke mesin ATM, dalam hati berbicara, “Kalau duit JPA dah masuk, pasti aku berikan duit pada pakcik tu". Dan ternyata duit JPA baru sahaja masuk, Saya terus keluarkan RM 50 berikan kepada pakcik tersebut, “doakan saya pakcik” dan saya terus berlalu. Sampai di Kuantan, seorang pensyarah meminta saya menghasilkan sebuah laman web dan katanya, “I will give you RM 500 for this”.

Kehidupan ini pun penuh dengan rezeki dan nikmat yang tak terkira. Janganlah bergantung kepada pemakan rezeki, bergantunglah kepada pemberi rezeki.

Subhanallah!

Untuk apa saya ceritakan semua ini? Untuk menyampaikan secara real bahawa rezeki di tangan Tuhan. Susah nak yakin, pengalaman itu lebih meyakinkan.

Comments

Popular posts from this blog

Bila Yang Dikejar Itu Dunia

Manusia Sengal

Begin with the end in mind