Hidup Tidak Boleh Reverse

Hidup ini takkan kembali kepada sebelumnya. Apa yang telah berlaku takkan dapat terpadam daripada sejarah kehidupan kita. Kita hanya dapat belajar daripadanya, tanpa dapat mengubah catatan sejarah tersebut. Jika kita pernah terlanjur melakukan kesalahan, kita tak dapat nak reverse kembali dan memadamkan kesalahan tersebut. Kita boleh cakap “lupakanlah apa yang telah berlaku”, namun kita takkan pernah lupa. Kita hanya belajar untuk tidak mengulanginya. Itulah hebatnya kehidupan yang Allah ciptakan. Allah memberikan peluang membuat keputusan, kemudian memberikan peluang mengambil pelajaran. Bahkan dengan taubat, Allah akan memadamkan semuanya daripada tulisan. Namun kita sentiasa lupa. Jadi, apakah kita mahu terus melakukan kesalahan dan kelak menyesal? Atau berfikir sebelum melakukan sesuatu yang takkan dapat terpadam daripada sejarah hidup? Maha suci Tuhan yang masih memberikan Rahmat dan Nikmat dalam hidup yang penuh dosa dan noda.

Kita pernah lahir sebagai seorang bayi yang suci bersih, saat kita tak mengenal dunia dalam sedar. Kita hanya tersenyum dan ketawa melihat gelagat orang lain. Dan kini, kita sendiri sudah melupakan senyuman itu. Kita sendiri tidak dapat mengingat wajah-wajah yang telah membuatkan kita senyum tatkala kita masih bayi, tidak mengerti. Kemudian kita membesar menjadi kanak-kanak riang yang sentiasa mendapat kasih sayang, atau sentiasa aktif menjalani kehidupan. Melihat orang dewasa membuatkan kita cemburu dan sentiasa berharap agar segera dapat menjadi dewasa.


“Bestnya orang besar boleh naik motor, kereta…”
“Bestnya, orang besar boleh pakai telefon mahal-mahal”
“Bestnya, orang besar boleh masuk universiti”

Lalu kita meneruskan kehidupan, sehingga remaja. Tatkala itu kita semakin ligat mencuba pelbagai perkara baru dalam kehidupan. Kita ingin diri dihargai dan diri sentiasa dikenang orang. Namun, kita sering memberontak jika ada nasihat-nasihat daripada orang yang lebih tua. Kita lantas berazam untuk cepat menjadi dewasa agar kita dapat membuat keputusan sendiri dan terus hidup sepertimana yang kita kehendaki.

“Ah, penyibuk saja orang tua ni, biarlah aku nak buat apa pun.”

Masa terus berlalu dan kita menjadi dewasa. Begitulah seterusnya kehidupan, hinggalah akhirnya kita sampai ke usia yang paling tua. Atau mungkin mati sebelum menjangkau umur tersebut. Tatkala itu, kita kembali merenung hidup. Meneliti masa kanak-kanak, remaja, kemudiannya dewasa yang telah lalu, takkan kembali. Segala kesalahan tinggal penyesalan dan segala kejayaan tinggal kenangan. Kita ingin kembali ke umur sebelumnya untuk menikmati hidup dengan cara yang lebih baik. Tatkala itu, barulah kita tersedar;

HIDUP TIDAK BOLEH REVERSE!

Comments

Popular posts from this blog

Bila Yang Dikejar Itu Dunia

Manusia Sengal

Begin with the end in mind