Garis-garis Takdir Kehidupan



Setiap orang mempunyai garis takdirnya sendiri yang telah tertulis sejak azali. Sebelum sesuatu terjadi, tak siapa tahu tentang apa yang bakal menimpa dirinya. Apatah lagi untuk mengetahui tentang ketentuan orang lain. Kita sentiasa ingin tahu tentang kejadian yang akan datang dalam hidup kita, sedangkan kita tak mungkin tahu kerana ia adalah perkara ghaib yang tersembunyi dalam ilmu Allah.

Keinginan manusia yang tinggi untuk mengetahui apa yang bakal berlaku pada masa depan terbukti dengan terhasilnya filem-filem yang cuba menggambarkan kemampuan menilik masa depan. Lama dulu, kita pernah menonton cerita Back To The Future. Banyak lagi filem-filem yang menggambarkan keadaan masa depan yang hanya berlandaskan kepada imaginasi yang fana.

Di satu sudut lagi, terdapat begitu banyak sang bomoh penipu yang menilik nasib yang bakal menimpa seseorang sedangkan si bomoh sendiri tidak pasti apa yang akan terjadi pada dirinya pada esok hari. 

Hakikatnya, hanya Allah yang mengetahui segala-galanya. Hebatnya Allah. Bukan hanya garis takdir kita yang berada dalam pemerhatian-Nya, tetapi garis takdir semua umat manusia yang berada atas muka bumi ini diuruskan-Nya, serentak, tanpa ada seorangpun yang terlepas daripada pemerhatian-Nya. Dan bukan setakat ketentuan manusia, bahkan ketentuan segenap isi alam ini!

Memandangkan kita tidak tahu, kita harus bergantung kuat kepada Yang Tahu. Jika diibaratkan kita dalam sebuah perjalanan menuju ke suatu tempat dengan menaiki kenderaan dalam keadaan kita tidak tahu jalan yang akan kita lalui, kita akan bergantung kepada pemandu yang tahu segala selok-belok jalan. Pergantungan kita teguh dan kita percaya tidak kira apa juga jalan yang akan ditempuh. Kita tidak akan mempersoalkan kerana kita yakin bahawa dia akan membawa kita sampai kepada destinasi yang ingin dituju.

Kita bahkan harus lebih meyakini bahawa Allah tahu segala selok belok kehidupan kita. Maka kita harus percaya terhadap apa jua ketentuan-Nya. Kerahsiaan tentang garis takdir itu mendidik kita untuk tawakkal, sentiasa bergantung kepada Allah yang mengetahui perjalanan hidup kita. Dia dan hanya Dia. Beriman sepenuhnya kepada ketentuan Allah itulah yang memberikan ketenangan kepada kita dalam perjalanan hidup ini. Sepertimana kepercayaan penuh kepada pemandu kenderaan tadi membuatkan kita berlapang dada dan tenang.

Janganlah kerana sukarnya laluan hidup kita membuatkan kita ragu-ragu dengan ketentuan Ilahi, kerana membanding-bandingkan dengan laluan hidup orang lain yang mudah dan nyaman. Siapa tahu di sebalik kelapangannya, ada simpang siur yang menanti di hadapan? Siapa pula tahu, di sebalik bengkang-bengkoknya laluan kita, ada laluan nyaman yang menanti di hadapan? Yakinkan saja diri akan ketentuan, itulah salah satu rukun Iman.

Sentiasalah berdoa agar Allah mudahkan kita untuk menjadi orang-orang yang menghadapi setiap ketentuan dengan benar. Biarpun susah, kita mampu bersabar. Tatkala senang, kita mampu bersyukur. Bukan sebaliknya. Berapa ramai yang berputus asa kerana sedang berhadapan dengan ketentuan yang sukar? Berapa ramai pula yang gagal bersyukur ketika dilimpahkan dengan nikmat yang banyak?

Melihat kepada jahilnya kita akan garis takdir kehidupan ini, kita harus menyedari bahawa yang lebih penting adalah bagaimana kita menghadapi apa sahaja yang bakal terjadi, baik yang mudah mahupun yang payah. 

Jangan terlalu risau akan apa yang bakal terjadi, tetapi sentiasalah bertanya kepada diri, bagaimana harus aku hadapi ketentuan ini?

Wallahua’lam.

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Bila Ibadah Hilang Manisnya

Ciptaan Agung: Jantung Yang Sentiasa Berdegup