Pencinta Maksiat: Bhgn 2


Kita harus segera muhasabah diri, adakah kita salah seorang daripada pencinta maksiat?

Jika ya, kita harus segera bertaubat sebelum terlambat. Sesungguhnya hidup ini singkat, kematian itu dekat. Perhitungan itu cepat dan azab Allah itu amat dahsyat dan berat. 

Apakah kita rela menanggung seksa-Nya semata-mata untuk melampiaskan kecintaan kita kepada maksiat? Kecintaan yang membawa kepada kehancuran, kepada kemunduran pemikiran dan kecelaruan emosi. Kecintaan yang seringkali menimbulkan penyesalan. Kecintaan yang menarik kita dekat kepada neraka, yang azabnya tidak pernah mampu kita bayangkan.

"Sekali-kali tidak dapat, sesungguhnya neraka itu adalah api yang bergolak. Yang mengelupaskan kulit kepala." (Al-Ma'aarij: 15-16)

Dek kerana lamanya kita membiarkan hati terus dipeluk hawa, tenggelam bersama kancah-kancah noda dan dosa, maka iapun menjadi keras membatu. Peringatan dan ayat-ayat Allah tak lagi mampu menembusinya lantas mengalirkan air mata. 

Apa yang kita rasakan pada masa sekarang adalah unjuran atas segala yang kita lakukan. Segala dosa-dosa silam itu membekas pada hati. Kita pula hidup dalam persekitaran yang sentiasa menarik untuk melakukan kemungkaran, yang melibatkan seluruh anggota badan. Beruntunglah para pemuda yang membesar dalam suasana Ibadah kepada Allah dan jauh daripada suasana yang merosakkan. Daripada kalangan kita, ada yang bekerja, belajar dan sebagainya. Saban hari, kita dihadapkan dengan keadaan sekeliling yang tidak sentiasa mendorong untuk taat dan meniggalkan maksiat. Maka wajar, jika cinta di hati kita terhadap maksiat lama kelamaan menjadi kuat dan sukar dirawat.

Pun begitu, kita tetap harus membersihkan hati daripada cinta yang batil ini, terhadap segala yang dilarang Allah. Tidak cukup dengan istighfar yang dilantunkan lidah, dan dirasakan hati, kita harus segera meninggalkan perbuatan-perbuatan mungkar, menggantikannya dengan amal soleh. Amal soleh itu akan menghancurkan segala kejahatan yang kita lakukan. Jangan putus asa dulu, pasti ada jalan keluar bagi orang-orang yang bertaqwa.

"...dan ikutilah kejahatan dengan mengerja­kan kebaikan, nescaya ia (kebaikan) menghapuskannya (kejahatan)..." (HR Tirmidzi)

Kata kuncinya adalah mujahadah. Jalan taubat itu tidak mudah, kerana orang yang berjaya melaluinya dijanjikan syurga. Orang yang tetap dalam jalan taubat adalah orang-orang yang bertaqwa. Mencintai maksiat itu ibarat candu bagi tubuh kita. Orang yang telah terlanjur ketagih, akan menghadapi proses yang sangat payah untuk membuang ketagihannya. Kita punya pusat rawatan khusus untuk memulihkan ketagihan kepada candu, bagaimana dengan pusat rawatan untuk memulihkan hati daripada cinta terhadap maksiat?

Sudah tentu, proses membuang ketagihan terhadap maksiat itu juga mengambil masa dan perlu kepada kesungguhan yang tinggi. Apatah lagi jika kita telah melazimkan maksiat itu dalam kehidupan dalam tempoh yang begitu lama sehingga ia menjadi sebahagian daripada makanan jiwa. Proses pembersihan ini boleh berlaku melalui ibadah-ibadah yang kita tunaikan dengan penuh penghayatan. Proses tazkiyatun nafs ini dijelaskan oleh Sheikh Sa'id Hawwa dalam bukunya Tazkiyatun Nafs. Carilah, dan bacalah. Semoga kita sama-sama mendapat manfa'at dan termotivasi untuk beramal.

Kita masih mampu meraih taqwa, walaupun sekian lama hidup kita bergelumang dalam dosa. Kita masih mampu menjadi orang yang disediakan Allah syurga seluas langit dan bumi seperti firman-Nya:

"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa." (Ali-'Imran: 133)

Antara sifat orang yang bertaqwa yang disebut dalam ayat di atas, dijelaskan dalam Surah Ali-'Imran ayat 135:

"Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka, dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui."

Sebagai renungan bersama, mari kita sama-sama fikirkan. Adakah apa-apa jenis maksiat yang kita pernah lakukan membuatkan kita rasa lebih tenang dan gembira sekarang? Adakah kepuasan yang pernah kita raih daripada beberapa maksiat tersebut masih kita rasakan saat ini dan membuatkan jiwa kita lapang?

Jujurlah pada hati, jangan biarkan ia menderita lagi. Sama-sama kita menjadi nakhoda yang bersungguh-sungguh membawanya melayari bahtera kehidupan untuk dipersembahkan kepada Pemiliknya yang agung.

Kita harus memadamkan kecintaan kepada maksiat yang menyebabkan hidup kita menuju kepada kehancuran, kita harus membersihkan hati agar Ibadah lebih terasa. Persoalannya, bila lagi?

Wallahua'lam.

Comments

  1. jazakallah...harap2 diberi hidayah dan kekuatan oleh Allah untuk bermujahadah dalam meninggalkan maksiat dan juga dalam beramal kerana Allah. Syukur ditemukan dengan kawan2 yang selalu tegur dan memotivasikan.

    ReplyDelete
  2. As-Salam, mohon bantuan untuk link-kan page (www.hambaallah.com)dalam blog ini. May Allah Bless you. Ameen..

    ReplyDelete

Post a Comment

Apa pandangan anda? Kongsikan bersama pembaca yang lain.

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Bila Ibadah Hilang Manisnya

Ciptaan Agung: Jantung Yang Sentiasa Berdegup