Pesan-pesan Taqwa



Taqwa bukan perkara remeh

Mari kita berbicara dengan hati kita, tentang taqwa. Takut kepada Allah. Berhati-hati dalam setiap langkah. Merasai pengawasan Allah dalam setiap detik kehidupan. Taqwa adalah suatu bekal yang sangat penting dalam setiap keadaan, sepanjang zaman. Rasulullah berpesan agar kita bertaqwa di mana sahaja kita berada,

“Dari Abu Dzar bin Junadah dan Abu Abdurrahman Muadz bin Jabal radhiyallahu’anhuma, dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam baginda bersabda, “Bertaqwalah kepada Allah di manapun engkau berada. Iringilah keburukan dengan kebaikan, nescaya kebaikan tersebut akan menghapuskannya. Dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.”” (HR Tirmidzi)

Taqwa adalah pemberat timbangan amal di akhirat. Allah mengingatkan tentang bekal taqwa dalam sebuah ayat Al-Quran,


"Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa. Dan bertaqwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal.” (Al-Baqarah: 197)

Taqwa juga adalah sifat utama orang-orang yang dipilih Allah untuk diganjarkan syurga. Demikianlah jelas disebut dalam firman Allah,­


Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.” (Ali ‘Imran: 133)

Ramadhan adalah bulan untuk menggandakan usaha meraih taqwa, meningkatkan tahapnya dan menghayati maknanya dengan puasa sebagai Ibadah yang utama. Seterusnya, taqwa itu harus terus dihidupkan di dalam jiwa. Bukan bererti taqwa itu hilang bersama berlalunya Ramadhan, atau terbang pergi bersama takbir Aidilfitri. Ia harus tetap melekat di hati dan menjadi pemelihara diri dalam setiap gerak langkah, sekalipun Ramadhan berlalu.

Dengan sedemikian pentingnya taqwa dalam kehidupan, adalah sangat tidak wajar persoalan taqwa menjadi tidak utama dan keluar daripada topik pembicaraan kita sehari-harian. Saban minggu, khatib pasti memberi pesan taqwa, bahkan ia menjadi salah satu rukun dalam khutbah. Seperti yang pernah saya sebutkan, kita bukan kekurangan dalil, bukan juga kekurangan pesan, tetapi kurangnya penghayatan dan praktik dalam kehidupan. Perasaan taqwa ditinggalkan di masjid ketika kaki melangkah keluar darinya, atau di atas tikar sejadah selesai solat, atau bersama Tasbih kaffarah dan Surah Al-‘Asr selesai slot pengisian.

Taujih Robbani tentang taqwa tidak hanya menyusuli perintah berpuasa, bahkan diulang-ulang dalam ayat-ayat yang lain. Kali ini saya ingin berkongsi beberapa pesan taqwa yang dipetik daripada Surah Al-Maaidah.

Taqwa penyelamat daripada azab yang pedih

Dalam Surah Al-Maaidah ayat 2, perintah taqwa dituruti dengan peringatan akan kerasnya seksaan Allah,
  

“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat seksa-Nya.”

Kita tidak akan selamat daripada seksa Allah yang amat berat tersebut, melainkan dengan tersematnya taqwa di hati. Taqwa inilah yang akan menjaga kita daripada melakukan segala keingkaran terhadap perintah Allah yang akan mengundang azab-Nya. Taqwa inilah yang akan menarik kita jauh daripada kancah-kancah maksiat yang membuatkan Allah murka. Taqwa inilah yang akan menjauhkan kita daripada neraka dan mendekatkan kita dengan syurga. Marilah kita meraih taqwa, sesungguhnya seksaan Allah itu amat dahsyat!

Taqwa menjadikan kita bersegera melakukan kebaikan, meninggalkan maksiat

Seterusnya pada ayat 4 Surah Al-Maaidah, perintah taqwa disusuli dengan peringatan tentang cepatnya hisab Allah terhadap segala amal kita.



Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat cepat hisab-Nya.”

Sentiasa ada bersama-sama kita malaikat yang mencatatkan amal perbuatan kita yang baik mahupun yang buruk. Mereka sentiasa taat kepada perintah Allah, mencatatkan segalanya tanpa bertangguh-tangguh. Dalam hisab Allah, tiada perkara yang terlepas pandang. Taqwa menjadikan kita orang yang sedar akan hakikat ini, lantas tidak bertangguh-tangguh untuk meninggalkan kejahatan. Apakah kita ingin catatan amal buruk mendahului amal baik? Begitu juga taqwa akan mendorong kita untuk bersegera melakukan kebaikan agar buku catatan kita penuh dengan amal-amal yang baik dan diredhai Allah. Semoga taqwa menjadi pemberat amal kita di hari perhitungan dan menyelamatkan kita daripada neraka dengan Rahmat Allah.


Taqwa membersihkan hati
Kita teruskan lagi melihat kepada ayat 7 Surah Al-Maaidah, perintah taqwa disertai pula dengan peringatan bahawa Allah mengetahui segala isi hati,


“Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengetahui isi hati(mu).”

Tidak ada siapa yang dapat mengetahui segala detik hati kita melainkan Allah. Maka taqwa tidak hanya terikat pada mendorong jasad melakukan ketaatan dan meninggalkan maksiat, tetapi turut melibatkan penjagaan hati. Allah tidak melihat kepada penampilan luaran, tetapi melihat kepada hati kita. Di mana taqwa jika hati diisi dengan hasad dengki, tidak redha pada ketentuan-ketentuan Ilahi? Di mana pula taqwa ketika hati tidak tulus berIbadah untuk Ilahi? Taqwa tidak sempurna ketika hati sentiasa menyimpan prasangka buruk terhadap orang lain. Marilah kita berusaha meraih taqwa, tidak ada apa-apapun yang tersembunyi antara kita dan Allah, sekalipun ia cuma detikan yang jauh di sudut hati! Taqwa akan mendorong kita untuk sentiasa menata hati agar tidak terpesong daripada niat yang tulus untuk Allah.

Taqwa menjaga tindakan kita

Seterusnya dalam Surah Al-Maaidah ayat 8 pula, Allah memerintahkan kita berlaku adil kerana itu lebih dekat kepada taqwa. Kemudian, menyusul lagi pesan taqwa, sebelum mengingatkan tentang pengetahuan Allah terhadap setiap tindakan kita,


“Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Pengetahuan Allah sangat teliti. Hanya orang bertaqwa yang akan sentiasa berhati-hati dan merasai pengawasan Allah dalam apa jua perkara. Orang-orang yang bertaqwa akan sentiasa teliti dalam setiap tindakan. Bukan teliti supaya tindakan itu memuaskan dirinya dan manusia lain semata-mata, tetapi teliti supaya tindakan itu mendapat redha Allah dan jauh daripada murka-Nya.

Telitikah kita? Jika Allah begitu teliti terhadap segala tindakan kita, mengapa kita begitu tidak teliti dalam bertindak? Telitikah kita dalam memerhatikan apa yang kita makan, sumber pencarian kita, ke mana harta dibelanjakan, dengan apa masa lapang kita isi? Penegasan tentang pengetahuan Allah ini juga disebut dalam ayat 18 Surah Al-Hasyr. Bahkan, 2 kali pesan taqwa diulang dalam ayat ini, ketika Allah memerintahkan untuk kita sentiasa meneliti apa yang kita sediakan untuk hari esok,


Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat). Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Maka kita wajib meraih taqwa, kerana tidak ada langsung tindakan kita yang terlindung daripada pengetahuan Allah! Hanya taqwa yang membuatkan kita sentiasa melakukan kebaikan dan tidak berterusan berbuat dosa.

Taqwa dan Tawakkal

Pesan taqwa menyusul lagi dalam Surah Al-Maaidah ayat 11, kali ini disertakan dengan sifat tawakkal,


Dan bertaqwalah kepada Allah, dan hanya kepada Allah sahajalah orang-orang mukmin itu harus bertawakkal.”

Tawakkal yang bulat itu sangat terkait dengan taqwa yang tersemat. Orang yang takut kepada Allah akan merasai penguasaan Allah terhadap dirinya dalam apa jua keadaan. Mereka akan mampu ikhlas menyerahkan urusannya bulat-bulat kepada Allah. Orang yang bertaqwa meyakini bahawa tidak ada pergantungan melainkan kepada Allah, tiada yang dapat mendatangkan mudarat mahupun manfaat melainkan dengan izin Allah. 

Dalam Surah Al-Anfaal ayat 2, ketika Allah menyebut tentang gementarnya hati orang-orang beriman ketika diingatkan akan Allah (taqwa), Dia menutup firman-Nya dengan menegaskan bahawa hanya kepada Allah mereka bertawakkal,


"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhan merekalah mereka bertawakkal.

Kita selalu gelisah akan apa yang bakal menimpa kita. Kita selalu resah akan apa yang bakal Allah tentukan di masa depan. Keresahan kita bahkan menjangkaui tahap patut, sehingga perasaan tawakkal itu lenyap sama sekali. Keresahan itu membawa kita mengusahakan dunia, melupakan Dia. Dalam keadaan yang lain, kita selalu tidak redha akan apa yang telah menimpa kita, sekaligus merasa pengetahuan kita menjangkaui ketentuan Allah. Di saat itu, di manakah taqwa?

Sebagai kesimpulan, mari kita sama-sama merenung. Adakah kita yakin akan terselamat daripada seksaan Allah yang pedih? Atau kita termasuk orang yang bersegera melakukan ketaatan dan meninggalkan kemaksiatan? Bagaimana dengan hati kita, sudah bersihkah daripada penyakit-penyakitnya? Demikian pula tindakan kita, adakah kita sentiasa berhati-hati agar tidak melepasi batasan Ilahi? Sudah bulatkah tawakkal kita kepada Allah? 

Memikirkan tentang semua persoalan ini seharusnya membawa kita kepada suatu azam, kita harus berusaha sedaya-upaya meraih taqwa!

Semoga Allah sentiasa membimbing kita dalam jalan meraih taqwa dan redha-Nya, seterusnya menyelamatkan kita daripada neraka dan memasukkan kita ke syurga. Amiin.

Demikianlah sedikit sebanyak yang dapat saya kongsi daripada beberapa potong ayat Surah Al-Maaidah. Wallahua’lam.

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Bila Ibadah Hilang Manisnya

Ciptaan Agung: Jantung Yang Sentiasa Berdegup