Kembalikan Hatimu Kepada Rabb

Ketika kita harus memilih simpang

Pasti ada ketika dalam hidup ini kita perlu memilih satu antara dua jalan (atau lebih). Ibarat simpang tiga di hujung jalan yang cuma ada kiri dan kanan. Boleh jadi laluan kiri dan kanannya adalah dua arah yang saling bertentangan sama sekali. Boleh jadi kiri dan kanannya bersebelahan dan seiringan, yang semakin jauh semakin bercabang dan menjauh antara satu sama lain. Nampak serupa pada awalnya, tetapi menuju ke laluan yang berbeza.

Pilihan kita di persimpangan itu membawa kita ke fasa seterusnya dalam perjalanan kehidupan. Jika kita tersalah pilih, kita akan tersalah destinasi. Jika kita tidak teliti tanda-tanda pada persimpangannya, kita akan keliru apabila perjalanan itu semakin jauh ke hadapan.

Jika telah pasti salah, dan ternyata destinasi yang dibawa laluan pilihan itu jauh daripada tujuan, kita harus mencari jalan untuk kembali ke jalan yang akan membawa kita kepada tujuan asal. Namun, pasti ada yang harus kita korbankan, iaitu minyak kenderaan, masa, dan duit untuk membayar tol tambahan (dan lain-lain lagi).

Begitulah perjalanan hidup (bukan analogi yang mutlak). Bahkan persimpangan kehidupan ini lebih berselirat dan bersimpang-siur. Adakalanya tanda-tanda itu hanya kita ketahui setelah kita melalui jalan yang kita pilih, lalu kita terhenti sejenak. Merenung dan muhasabah terhadap pilihan yang telah kita buat. Jika persimpangan itu tidak terlalu bertentangan, mungkin cepat dan mudah untuk kita align kan kembali dan meneruskan perjalanan ke destinasi yang benar.

Namun, jika persimpangan itu adalah persimpangan yang nyata bertentangan, dan nyata kita memilih simpang yang salah, tentu kita dibawa ke tempat yang jauh dan terpesong daripada tujuan. Diam kita tentu lama, ketika kita tersedar bahawa pilihan kita salah. Ibarat jalan highway yang sangat jauh dan sukar untuk berpatah balik. 

Walaubagaimanapun, jalan berpatah balik itu tetap ada. Yakinlah, jalan itu ada.

Memilih setelah memilih

Selagi kehidupan kita di dunia ini belum terhenti, selagi itulah kita akan sentiasa berhadapan dengan pilihan. Kita harus memilih pada setiap hari, ingin bangun subuh awal atau lambat. Kita harus memilih pada setiap waktu solat, ingin solat di awal waktu atau melambat-lambatkannya. Ada pilihan yang berulang-ulang setiap hari, setiap waktu dan ketika, yang tidak sepanjang masa kita memilih yang betul. Kita manusia, ada ketika tergelincir walaupun sedikit. Ada juga pilihan yang harus kita buat pada ketika tertentu, misalnya memilih pasangan ketika persimpangan nikah itu tiba, atau persimpangan untuk menyambung pelajaran, atau persimpangan untuk membeli kereta.   

Tidak semestinya kerana kita telah memilih jalan yang salah dalam sebuah simpang, kita terus cenderung untuk memilih jalan yang salah pada simpang-simpang berikutnya. Misalnya kita telah memilih untuk sambung tidur setelah mendengar azan subuh, kita masih boleh membetulkan pilihan itu pada keesokannya, bahkan pada hari itu sendiri kita boleh memilih untuk komited pada waktu-waktu solat berikutnya.

Setelah kita memilih jalan yang salah, kita harus memilih jalan untuk kembali ke jalan yang benar, apabila kita tersedar. Jangan sampai pilihan yang salah membuat kita cenderung terus kepada kebatilan. Sentiasa ada ruang untuk kita memilih jalan menuju Allah walaupun berkali-kali kita mengambil simpang yang salah.

Contohnya, kita melalui sebuah jalan lalu terpandang lawan jenis yang bukan mahram, kita menjadi terpesona dan tidak menundukkan pandangan. Kemudian kita tersedar, kita harus beristighfar dan memilih setelah itu untuk tidak mengulanginya. Begitulah seterusnya kita harus terus memilih dan memilih. Jika kita lebih banyak memilih yang salah berbanding yang benar, maka lebih banyak masa yang perlu kita korbankan untuk kembali ke jalan yang benar.

Mulakan dengan mendapatkan Rabbmu

Ketika kita tersasar sangat jauh, kita buntu untuk meneruskan perjalanan mencari jalan pulang. Ketika itu, kita terhenti, jiwa menjadi kosong seketika, akal tak mampu berfikir secara rasional. Hati tertanya-tanya tanpa jawapan, “di manakah aku?”. Ternyata kita benar-benar merasa hampir berputus asa, hampir pasrah dengan laluan yang salah. Tatkala kita cuba flash back kembali jalan-jalan yang telah kita pilih, airmata mengalir membasahi pipi sambil hati mengeluh, “kenapa aku sampai jauh tersasar sebegini? Masihkah ada harapan untuk aku kembali?”. Kita benar-benar buntu, daripada mana harus kita mulakan?

Mulakanlah dengan mengembalikan hatimu kepada Rabbmu. Beristighfarlah kepada-Nya. Allah tidak sekali-kali lengah pada apa yang kita pilih, pada apa yang kita kerjakan dan lalui selama ini. Sekalipun manusia lengah dan tidak tahu beratnya perasaan yang kita tanggung, Allah pasti memahami. Dia memahami kita lebih daripada kita memahami diri sendiri.

Bagaimana kita sampai berputus asa untuk kembali kepada Allah, sedangkan Allah telah mengampuni dan menunjukkan jalan kembali bagi seorang pembunuh yang telah membunuh 100 orang? Bagaimana kita tega menyangka Allah tidak akan menerima kita lagi sedangkan sang pelacur yang memberi anjing minum juga diganjarkan syurga? Bagaimana kita sanggup memilih untuk pergi lebih jauh menyusur jalan yang salah sedangkan Allah menyeru, “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa”?

Ketika engkau memiliki sebuah kesesakan yang tak mampu engkau luahkan pada sesiapapun, merataplah kepada Tuhanmu dengan penuh harap dan yakin bahawa hanya Dia yang dapat menyelesaikan kegusaran hatimu. Ketika engkau merasakan kebuntuanmu tersangat besar dan tak ada sesiapa yang dapat memberikan jalan keluar untukmu, ketahuilah bahawa tidak ada yang mustahil dan sukar bagi Rabbmu. Ketika Dia mengatakan ‘jadi’, maka jadilah sesuatu itu.

Ya, mulakan dengan membawa hatimu kepada-Nya. Menyesali atas dosa-dosa. Mengakui akan keterlaluannya dirimu dalam bermaksiat kepada-Nya. Menyerahkan seluruh jiwamu ke dalam ketentuannya tanpa ragu akan segala hikmah yang disembunyikan-Nya darimu. Merintih tanpa ada perantaraan. Berbicara tanpa ada jurucakap. Meminta tanpa putus asa. Dia pasti mengabulkan permintaanmu saat engkau meminta.

Bersangka baik terhadap ketentuan Ilahi

Apa yang engkau inginkan selama ini yang tak tertunai, yakinlah Allah telah menetapkan dan pasti memberikan yang lebih baik. Dia Maha mendengar, maka tidak ada permintaanmu yang terlepas daripada didengari-Nya. Ketahuilah juga bahawa Dia Maha Mengetahui, maka Dia pasti tahu apakah yang terbaik untuk diberikan kepadamu.

Renunglah dalam-dalam akan apa sahaja yang telah berlaku dalam kehidupanmu sebelum ini. Sekalipun banyak permintaanmu yang belum tertunai, masih terlalu sedikit berbanding segala yang diberi-Nya yang tidakpun engkau minta, bahkan kadangkala lupa untuk menghargai. Sebelum engkau meminta apa-apa, Dia telah memberimu nikmat hidup dalam Iman dan Islam. Adakah nikmat yang lebih besar daripada itu? Bahkan sebelum engkau menadah tangan, dia telah memberimu udara untuk kau hirup, memberimu tangan yang kau angkat untuk meminta. Masih terlalu banyak benda-benda besar yang diberi-Nya berbanding dengan permintaan-permintaan ‘kecil’ yang kau harapkan.

Contohnya, seorang raja memberi kita kereta, rumah, tanah, lalu menikahkan kita dengan anak gadisnya yang sangat cantik. Bahkan makan minum harian kita ditanggung. Setelah begitu lama kita menikmati semua itu dan terlupa menghargainya, kita lantas meminta sebuah jawatan kepadanya. Jika raja itu tidak memberi, wajarkah kita melupakan segala pemberiannya dan mengatakan raja itu zalim? Mungkin kita tidak tahu, raja itu sebenarnya menyimpan jawatan yang lebih tinggi untuk diberikan kepada kita nanti, tapi bukan pada waktu kita meminta tersebut. Hikmah Allah jauh lebih besar, dan tak mampu kita bayangkan.

Kita inginkan isteri yang cantik, lalu doa kita saban hari menjurus ke arahnya. Namun Allah tidak memberikan apa yang kita minta. Jangan kecewa. Boleh jadi dengan isteri tersebut akan membuatkan kita selalu lalai dalam Ibadah, dan Allah tahu kita tidak cukup kuat untuk menanggungnya. Boleh jadi juga Allah memelihara kita daripada perbuatan khianat orang lain terhadap isteri kita. Mungkin juga Allah ingin lahirkan daripada isteri yang kurang cantik itu anak-anak yang bertaqwa. Bahkan lebih dahsyat lagi, Allah telah menyiapkan untuk kita bidadari-bidadari syurga yang jauh lebih indah dan tidak terbayang dek mata!

Kita meminta untuk segera kaya. Boleh jadi dengan kekayaan itu kita menjadi sombong dan lupa kepada-Nya, bahkan kedekut untuk bersedekah. Ketika kita miskin, kita bahkan lebih dekat kepada Allah. Kita meminta untuk segera sembuh daripada sebuah penyakit, Allah masih memperpanjangkan tempoh penyakit itu. Boleh jadi Allah sedang mengampunkan dosa-dosa silam kita atas kesabaran kita menanggung sakit.

Begitulah seharusnya seorang hamba melihat ketentuan Tuhannya.

Kesimpulan

Ketika kita tidak jelas akan tujuan hidup, kita selalu memilih jalan-jalan yang menyimpang darinya. Jika kita terus menerus memilih yang salah, kita akan semakin jauh dan tersasar. Lalu kita buntu daripada mana ingin bermula. Kita mula mencari sumber ketenangan. Kita menyangka harta akan menenangkan, bahkan ia sebenarnya merisaukan. Kita menyangka pangkat dan nama memberikan bahagia, ternyata kita tidak gembira. Masalahnya ialah pada jiwa. Jika jasad yang dicipta daripada tanah itu akan menjadi tenang apabila makan dan minum apa yang datang daripada tanah, maka jiwa itu akan tenang jika ia dikembalikan kepada Rabbnya. Mulakanlah perubahan dirimu dengan kembalikan hatimu kepada Rabbmu.

Wallahua’lam.  

Comments

  1. Jazakillah..n brilliant! Kata2 dlm post ni terus menusuk kalbu. Terus'n menulis ya! :)

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah. Allah yang telah mengizinkan sesuatu yang disampaikan itu difahami yang membaca. Boleh jadi kerana bersihnya hati yang membaca, sehingga mampu menerima pesan-pesan yang baik. Pernah seorang penceramah mengungkap, "Apa yang kusampaikan tidaklah sepenting sejauh mana kalian mampu menerima"

    ReplyDelete
  3. alhamdulillah bisa tersasar di Blog ini

    ReplyDelete

Post a Comment

Apa pandangan anda? Kongsikan bersama pembaca yang lain.

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Bila Ibadah Hilang Manisnya

Ciptaan Agung: Jantung Yang Sentiasa Berdegup