Awas Dengan Emosimu

Obsesi untuk mendapatkan sesuatu kadang membuatkan kita lupa menghargai apa yang ada di sisi kita. Janganlah kebendaan merosakkan kemanusiaan. Janganlah kerana seekor nyamuk yang tidak dapat kita bunuh, kita membakar kelambu yang selama ini menjaga kita tanpa sedikitpun memikirkan jasanya.

Luka yang ada di tangan kita selalu terasa lebih perit daripada luka yang tercalar di hati orang lain. Emosi yang menguasai diri selalu membuatkan kita gagal memahami emosi orang lain. Kita sering merasa hangatnya airmata di pipi sendiri, sehingga tak terlihat bergenangnya airmata di kelopak mata orang lain.

Wanita memerlukan perhatian, lelaki juga tak mahu disisihkan. Jika wanita memberi perhatian dengan turut menyatakan empati, lelaki memberi perhatian dengan nasihat dan memberikan pandangan yang lebih objektif. Mungkin juga sebaliknya. Ketika kita menuntut perhatian daripada orang lain, mungkin kala itu dia juga memerlukan perhatian. Cara seorang ibu dan seorang ayah memberi perhatian tentu tak sama. Hargai perbezaan.

Tangani konflik dengan saling memaafkan, saling berusaha memahami. Bukan saling menyalahkan dan saling menyakitkan.

Luka yang diceritakan tidak bererti ia lebih teruk daripada luka yang didiamkan. Ah, kita selalu risau dgn apa yang kita rasa, pernahkah kita terdiam memikirkan secara adil apa yang orang rasa?

Kita selalu merasa bahawa orang tidak memahami kita, sudahkah kita berusaha memahami mereka?

Kata-kata yang telah diluahkan tidak mungkin dapat ditarik kembali daripada telinga orang lain. Lebih baik kita berusaha memohon maaf daripada membiarkan ia menjadi api dalam sekam.

Kalau kita punya teman yang suka memaafkan, tidak bererti kita boleh selalu menyakitkan. Boleh jadi luka yang kerap membuatkan ia menjadi dalam dan sukar dirawat. Allah memaafkan dan menghapuskan daripada catatan, manusia memaafkan namun masih ingat walaupun dia berusaha melupakan. Jangan diungkit, namun berusahalah melupakan dan memaafkan.

Ketika orang melayani kesedihan kita, kita rasa dihargai. Ketika kesedihan itu direspons dengan nasihat untuk kita tidak bersedih, kita rasa orang tidak memahami kita dan tak dapat nak kongsikan lagi kesedihan dengannya. Harapan kita terhadap orang lain selalu diletakkan lebih utama daripada harapan orang terhadap kita. Sehingga kadang-kadang perhatian yang diberikan orang kepada kita tenggelam dalam harapan yang kita letakkan padanya.

Bersabarlah, dan kuatkanlah kesabaranmu. Itu akan lebih menyelesaikan keadaan. Jika sama-sama merasa paling betul, siapa yang akan mengalah?

Betapapun kita cuba memahami seseorang, kita akan buntu untuk memahami semuanya kerana hanya Allah yang memahami setiap orang, lebih daripada dia memahami dirinya. Semakin kita mengenal seseorang, semakin banyak tentangnya yang tidak kita kenali. Mengenal satu keburukan tentangnya tak harus membuatkan kita lupa segala kebaikannya yang telah kita kenal sepanjang bersamanya.

Aku selalu berusaha untuk cuba memberi perhatian, memaafkan dan melupakan, memahami dan merasai. Namun aku juga perlu perhatian, ungkapan maaf, difahami dan dijaga hatinya. Apabila aku terdiam merenung, baru aku tersedar bahawa aku sedang berkomunikasi dengan manusia yang tentunya penuh dengan cacat cela, bukan malaikat yang sentiasa taat. Tapi fahamilah bahawa aku juga manusia.

Ini pesan untukku dan untukmu yang sedang membaca.

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Bila Ibadah Hilang Manisnya

Ciptaan Agung: Jantung Yang Sentiasa Berdegup