Monolog Seorang Insan

“Aku dah lama hidup…aku dah dewasa, aku harus mula serius dalam kehidupan ini…”

“Ah, apa aku nak risaukan, kan hidup aku masih jauh perjalanan. Banyak lagi masa untuk aku bergembira…”

“Betul jugak. Aku masih muda. Ah! Tapi aku tak tahu bila kematian akan datang…”

“Apa nak dikira kematian? Tak perlu aku berfikir negatif. Hidup ni mesti happy!”

“Ya, aku masih sihat. Tak mungkin aku akan mati dalam masa terdekat”

“Ya! Macam tu baru lah jiwa muda!”

“Aku nak rasa segala keseronokan yang orang lain rasa. Aku nak bergembira sepuas hati sementara umur masih muda. Tapi, macam mana kalau tiba-tiba aku mati?”

“Apa nak dirisaukan? Bukankah Allah itu Maha Penyayang. Pasti dosaku diampunkan”

“Ya, lagipun aku dah banyak beramal sebelum ni. Takkanlah Allah nak biarkan aku mati sebelum bertaubat.”

“Kalau aku bertaubat pun, nanti aku akan ulang balik kesalahan aku. Baik aku teruskan buat maksiat, nanti dah dekat nak mati aku bertaubatlah”

“Ya, dah banyak kali aku bertaubat dan aku rasa makin banyak maksiat aku buat. Tapi macam mana kalau aku tak sempat bertaubat?”

“Mesti sempat punya, aku pasang niat daripada sekarang untuk bertaubat nanti”

“Ok. Aku akan buat sesuka hati aku. Aku tak kira, hidup ni mesti seronok, aku dah bosan buat Ibadah!”

Insan pun melangkah kaki melalui jalan-jalan hitam dalam hidupnya. Duitnya habis dibelanjakan untuk berbuat maksiat. Hatinya tidak lagi khusyu’ mengingat Allah. Ibadahnya menjadi tunggang terbalik dan dosanya semakin bertimbun tanpa diampunkan kerana lalainya dia daripada bertaubat. Ada ketika, si insan jatuh sakit…

“Ah, aku sakit ni. Ya Allah, bantulah aku Ya Allah”

“Tak perlu aku berdoa kepada Allah. Selama ni pun bukannya aku pernah minta pada Dia”

“Ya, aku malu. Tapi aku tetap memerlukan Dia sekarang. Kalaulah dia sembuhkan aku seperti sediakala, pasti aku akan melakukan ketaatan kepada-Nya”

“Ye lah tu. Tapi kalau aku sembuhpun, mungkin itu sebab kekuatan immuniti dalam badan aku, bukan sebab Dia yang sembuhkan”

“Ya, mungkin aku perlu cari ubat. Itu sahajalah harapan aku, tak perlu aku bergantung kepada Allah. Eh, tapi bukankah Allah yang memberikan aku sihat?”

“Cubalah dulu cari alternatif lain selain berdoa, lepas tu barulah aku nilai siapa lebih berkuasa”

Insan memohon kepada Allah dengan separuh hati. Pergantungan sebenarnya kepada ubat-ubatan, benda dan material. Tatkala dia sudah sembuh…

“Segala puji bagi Allah, aku dah sembuh”

“Tak guna aku puji Allah, aku sembuh sebab badan aku kuat”

“Ya betul, buat apa aku nak takut. Kalau aku sakit ada ubat boleh sembuhkan. Sekarang dah sembuh, bolehlah aku berIbadat kepada Allah”

“Eh, buat apa nak berIbadat lagi, kan dah sihat sekarang. Teruskanlah buat maksiat. Masa ni paling syok sekali buat maksiat”

“Ya! Aku terlupa aku masih muda. Belum masanya aku bertaubat”


“Maka apabila manusia ditimpa bahaya ia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari Kami ia berkata: “Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah karena kepintaranku.” Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui.” (Az-Zumar: 49)

Insan terus kembali kepada kemaksiatan. Sakit, dia kembali kepada Allah. Sihat, dia kembali kepada maksiat. Masa terus berlalu sehingga dia menjadi tua…

“Aku dah tua nampaknya, aku perlu kembali kepada Allah”

“Tak mungkin! Tak mungkin Allah akan terima taubat aku! Dah terlalu banyak dosa aku buat. Dah terlalu bertimbun kesalahan aku.”

“Tapi Aku belum mati, aku masih ada harapan untuk diampunkan”

“Tapi aku tak cukup ilmu. Takkan aku nak menuntut ilmu sekarang, malulah aku pada anak-anak aku, pada anak-anak muda”

“Eh, nanti di akhirat bukan mereka yang nak menilai aku, aku yang bertanggungjawab pada diri sendiri”

“Ah, diorang bukan tahu aku ni banyak dosa. Lebih baik aku buat-buat macam wara’, pakai kopiah pergi masjid tiap-tiap waktu. Mesti aku akan dipandang mulia”

“Tapi tak boleh…Allah tahu aku ni banyak dosa”

“Apa lagi aku risaukan ni, kan Allah tu Maha penyayang”

“Ya, jadi aku harus menyusur jalan kembali kepada Allah”

“Macam nilah. Baik aku lupakan sahaja niat aku untuk berubah, dah terlalu lambat ni. Aku lebih selesa dengan hidup aku sekarang. Ada siapa-siapa peduli? Ada aku susah-susah nak kena buat Ibadah? Akhirat nanti-nantilah fikir”

Sampai satu masa yang ditentukan, saat nyawa sampai ke kerongkongan…

“Oh Tuhan, ampunkan aku…aku berdosa…”

Tidaklah diterima taubat itu saat nyawa telah sampai ke kerongkongan lalu insan berseru “Aku bertaubat sekarang…”

“Dan tidak ada gunanya taubat itu kepada orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang dari mereka hampir mati, berkatalah ia: “Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini,” (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (An-Nisaa’: 18)

“Katakanlah: “Hai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53)

“Dan ikutilah sebaik-baik apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu sebelum datang azab kepadamu dengan tiba-tiba, sedang kamu tidak menyadarinya” (Az-Zumar:55)

Wahai insan, kamukah yang sebegitu?

Comments

Popular posts from this blog

Bila Yang Dikejar Itu Dunia

Manusia Sengal

Begin with the end in mind