Apabila Tiba Ajalnya, Tidak Akan Ditangguh Lagi


“Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai segala yang kamu kerjakan.” (Al-Munaafiquun: 11)

27 Ramadhan 1431 H. Hari ini hati aku rasa sayu. Melihat sebuah kematian. Sebuah kematian yang menyedihkan. Mayat itu mungkin telah mati beberapa hari tanpa disedari. Sehinggakan tubuhnya kelihatan kebiruan. Darah sudah tidak merah. saat aku mengangkatnya, tubuhnya kaku. Keras, tak selembut manusia yang masih hidup dengan aliran darah yang segar. Baunya usah ditanya. Busuk. Giginya kuning. Matanya tertutup rapat. Perlahan-lahan kuangkat, kumasukkan ke dalam plastik. Temanku hanya melihat, dengan penuh penghayatan bahawa hidup ini pasti berakhir. Entah bagaimana pengakhiran kita.

Beberapa hari sebelum dia mati, aku dah menyedari perubahan sikapnya. Kebelakangan ini dia kelihatan kurus dan semakin kurus sehinggalah akhirnya aku sempat bertemunya semula ketika dia sudah tidak bernyawa. Ya, memang kurus, lebih kurus daripada aku bertemunya sebelum ini. Alangkah mulianya dia mati dalam bulan Ramadhan, di akhir Ramadhan. Semoga kematiannya memberi makna yang besar pada manusia yang masih hidup. Dia memang tak ada hubungan darah dengan aku, tapi aku tetap rasa hiba dan sedih.

Kematian yang menakutkan ini memberikan pengajaran kepada aku. Aku merenung ayat terakhir surah Al-Munaafiquun. Allah telah tegaskan, bahawa tatkala tiba saat kematian, takkan terlewat sedikitpun. Aku entah bila akan pergi. Sebentar lagi? Besok? Minggu depan? Bulan depan? Atau mungkin beberapa saat lagi setelah aku siap menaip kisah sedih ini.

Ya, walaupun yang mati itu hanya seekor tikus putih di dalam makmal, namun ia memberi erti dan pengajaran buat manusia yang masih hidup. Tak apalah dia tikus, takkan ada perhitungan. Kita macam mana?

Anda nak tersengih ke, ketawa ke, jangan lupa pengajaran kisah ini…

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Bila Ibadah Hilang Manisnya

Ciptaan Agung: Jantung Yang Sentiasa Berdegup