Hakikat Kehidupan Manusia

Seputar tentang manusia

Manusia hidup di atas muka bumi sebagai makhluk yang paling mulia, menguasai segala ciptaan lain. Segala tumbuhan, haiwan dan alam tunduk pada kehebatan manusia yang dikurniakan akal. Dengan potensi akal, manusia mampu menguasai makhluk lain sekalipun ia lebih besar daripada manusia secara fizikal. Apabila akal yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada manusia gagal digunakan dengan baik, manusia akan jatuh menjadi makhluk yang paling hina. Oleh itu, seorang manusia tidak mungkin dapat meneruskan kehidupan dengan baik jika dia tidak menggunakan akalnya untuk berfikir tentang segala ciptaan yang ada di sekelilingnya, dan juga di dalam dirinya sendiri.

Apabila kita dilahirkan, kita adalah suci. Semakin kita membesar, kita mula mempelajari pelbagai perkara dalam kehidupan. Semakin hari kita semakin menuju kepada kematangan berfikir dan kematangan dalam hidup. Apa yang kita tidak ketahui semalam mungkin diketahui hari ini, dan apa yang tidak kita tahu hari ini mungkin kita pelajari hari esok. Itulah kita, sentiasa berkembang, membesar dan semakin terisi akal dan jiwa, sehinggalah kita tiba di satu titik dalam kehidupan ini, maut. Sepanjang kehidupan kita, sejak dilahirkan sehingga mati, apakah sebenarnya yang ingin kita capai dalam sela masa tersebut? Apakah kehidupan ini begitu tidak bernilai sehingga kita tidak perlu memahami tentang hakikat diri kita, penciptaan kita dan hakikat kehidupan kita di dunia ini?

Manusia dan alam

Manusia adalah sebahagian daripada alam. Tuhan tidak menciptakan manusia sebagai satu-satunya makhluk yang bernyawa di atas muka bumi ini. Di sini juga ada tumbuh-tumbuhan yang subur, juga binatang-binatang jinak yang hidup bersama manusia dan binatang-binatang liar yang diburu manusia. Bukan hanya makhluk bernyawa, di sini juga ada pelbagai lagi ciptaan Tuhan yang diletakkan di bawah kekuasaan manusia, untuk mengatur dan menggunakannya sebaik mungkin. Bukit-bukau, laut terbentang luas, langit biru dihiasi awan, batu, pasir, tanah, udara, bulan dan bintang, matahari dan galaksi-galaksi, planet-planet, dan pelbagai lagi ciptaan Tuhan yang begitu luar biasa dan begitu luas. Tak mungkin segala yang dilihat manusia di sekelilingnya itu adalah terjadi dengan sendirinya tanpa ada suatu kuasa yang menciptanya dan mengatur semuanya. Tak mungkin juga manusia yang menciptakan semuanya dan mengatur semuanya sedangkan manusia sendiri dilahirkan ke bumi dalam keadaan yang tidak tahu apa-apa.

Bumi berputar pada paksinya dengan kelajuan lebih 1000 km/jam melawan arah jam. Putaran inilah yang membentuk fenomena malam dan siang silih berganti. Dalam masa yang sama, bumi berputar mengelilingi matahari dengan melawan arah jam dengan kelajuan menjangkau lebih 100,000 km/jam. Satu kitaran lengkap mengelilingi matahari bersamaan satu tahun di bumi. Bulan mengelilingi bumi, satu kitaran lengkap bersamaan satu bulan di bumi. Kitaran bulan ini melahirkan fenomena pasang surut air laut. Bukan hanya bumi, planet-planet lain juga berputar pada paksinya dan juga mengelilingi matahari. Segala kitaran yang berlaku pada planet-planet ini berjalan dengan begitu lancar tanpa sebarang pertembungan yang menghancurkan. Sedikit sahaja lari daripada orbitnya, mala petaka besar bakal terjadi. Tetapi tidak, kerana ada kuasa hebat yang mengawal dan mengatur semuanya dengan begitu tersusun sekali. Dialah Tuhan yang mencipta dan menguasai alam ini.

Alam ini begitu luas. Terlalu banyak yang perlu diungkapkan untuk bercerita tentang alam. Apabila kita menyebut alam, ia tidak hanya bermaksud permukaan bumi dan langit bumi. Bahkan, ia termasuk segala yang yang tersimpan di dalam perut bumi, segala yang terdapat di atas permukaannya, segala yang terlihat di langitnya bahkan segala yang menjangkaui langit bumi ini. Terlalu luas dan terlalu hebat untuk digambarkan. Penemuan terbaru menunjukkan ada planet lain di luar sana yang besarnya 200,000 kali berbanding bumi! Apakah itu tidak termasuk di dalam alam? Apakah kita masih tidak sedar bahawa alam ini terlalu hebat dan penciptanya pasti lebih hebat, Maha Hebat dan paling hebat untuk diketahui? Mari kita lihat lagi tanda-tanda pencipta.

Di bumi ini ada binatang. Ada yang bersayap, berkepak untuk terbang. Lihat saja burung, ada bermacam-macam jenis burung yang telah manusia temui dan kenali. Ada helang, pipit, layang-layang, enggang, burung hantu, merbok, terkukur, merpati, merbah, dan lain-lain lagi yang manusia sendiri belum temui. Setiap jenis burung ini terbahagi lagi kepada pelbagai spesies yang begitu luas dengan pelbagai kombinasi warna yang menakjubkan. Sedarkah manusia bahawa itu bukan burung sahaja binatang terbang yang Tuhan ciptakan, di sini juga ada rama-rama, pepatung dan sebagainya yang terlalu banyak untuk diceritakan di sini. Cukup dengan binatang terbang, ada lagi binatang lain yang melompat seperti katak, belalang, kanggaru, tupai dan lain-lain. Tak perlu diungkapkan di sini tentang spesies katak yang ada di atas muka bumi ini. Sangat-sangat luar biasa ciptaan-ciptaan ini.

Apakah semua itu tidak cukup lagi untuk membuatkan kita sedar akan Maha Hebatnya pencipta alam ini? Mari kita lihat lagi binatang-binatang yang wujud di atas muka bumi ini. Selain terbang, melompat, ada yang berlari, merangkak, menyusup, berenang, dan pelbagai lagi bentuk pergerakannya. Di sini ada harimau yang pelbagai spesiesnya, ada singa yang pelbagai jenisnya, ada ikan yang pelbagai warnanya, ada ular yang pelbagai saiznya dan bisanya. Ah, terlalu agung ciptaan-ciptaan ini! Kalaulah kita mampu untuk senaraikan semua jenis makhluk bernama binatang yang ada di atas muka bumi ini, tentu saja kita akan terpesona dengan hebatnya reka bentuk ciptaan ini. Bahkan sepanjang manusia hidup sekalipun, belum tentu ia dapat mengenal semuanya, bertemu semuanya atau sekurang-kurangnya tahu semua binatang yang ada di atas muka bumi ini.

Terpegun, terpesona? Nanti dulu. Kita belum bercerita soal tumbuh-tumbuhan. Di sini ada tumbuhan berbuah, ada yang berbunga, ada yang tak berbunga atau berbuah sama sekali. Buahnya ada pelbagai warna dan pelbagai rasa. Bunganya ada pelbagai bentuk, pelbagai bau dan pelbagai rupa. Ada tumbuhan yang besar batangnya, ada yang langsung tak berbatang. Ada yang berduri, ada yang boleh dimakan dan ada yang beracun. Macam-macam lagi jenis dan ciri tumbuh-tumbuhan yang terlalu banyak untuk diungkapkan di sini. Ya, setiap hari kita melihat fenomena ini! Melihat hasil seni pencipta yang Maha Hebat ini dengan begitu lalai sekali. Kita merasa seolah-olah fenomena ini hanyalah satu kejadian biasa yang tak ada nilainya. Lihatlah sekali lagi, adakah kita mendapati sebarang kecatatan di dalamnya penciptaanya? Manusia kalau disuruh mencipta walau satu jenis tumbuhan pun, entah mampu atau tidak sekalipun mengambil masa seumur hidup. Kalaupun ada, tak mungkin serupa dengan ciptaan asal yang begitu sempurna.

Ringkasnya, manusia hidup bersama pelbagai jenis makhluk di sekelilingnya. Kita belum bercerita soal kuasa ghaib yang wujud, emosi manusia, dan segala elemen yang bersifat abstrak. Kita juga belum bercerita soal makhluk-makhluk mikro yang wujud. Virus, bakteria dan sebagainya. Walaupun sebegitu kompleks dan hebatnya penciptaan alam ini, namun ia masih berjalan dengan teratur dan tersusun tanpa sebarang kecatatan. Sekalipun ada, itu semua adalah angkara tangan-tangan manusia. Ertinya, pasti kuasa yang mengawal alam ini yang begitu luar biasa, tak mungkin ada yang setanding dengan-Nya. Dialah Tuhan, Dialah Pencipta, Dialah Pemelihara, Dialah Pengatur segala benda, Dialah yang harus diberikan ketaatan dan segala penghormatan. Dialah yang paling layak untuk manusia merasa takut dan meletakkan pengharapan.

Kembalilah kepada Tuhan

Manusia lahir dengan fitrah yang suci bersih. Kehidupan yang ia lalui membuatkan lama-kelamaan jiwanya dicemari dengan pelbagai kerosakan yang menyebabkan ia gagal mengenal Tuhannya dan gagal mentaati perintah-Nya. Matanya yang kabur dengan keindahan dunia ini menyebabkan ia melihat segala yang ada di sekelilingnya lebih hebat dibandingkan dengan yang menciptakan semuanya. Lalu manusia taksub dengan kepercayaannya, menyembah segala yang ada di sekelilingnya, lupa bahawa ada suatu kuasa yang lebih hebat yang mengatur segala benda. Manusia lupa bahawa apa yang ia sembah selain Tuhan itu tidak langsung dapat memberikan manfaat mahupun mudharat sedikitpun kepada dirinya. Bahkan, lemahnya apa yang ia sembah selain Tuhan itu sehinggakan manusia yang perlu memeliharanya, bukan dipelihara olehnya. Wahai manusia, kembalilah kepada Tuhanmu, yang telah menciptakan apa yang ada dalam dirimu dan segala apa yang ada di sekelilingmu.

Wahai manusia, suatu ketika dahulu engkau pernah berada di suatu alam yang engkau sendiri tidak pasti di mana wujudmu. Suatu hari nanti engkau akan kembali semula ke suatu alam yang engkau sendiri belum pasti bagaimana nasibmu. Apakah engkau mengira kehidupan ini begitu sia-sia sehinggakan engkau bebas berbuat sesuka hatimu? Apakah engkau mengira Tuhanmu akan membiarkan engkau mengabaikannya dan mencari selain-Nya sebagai Tuhan yang kau sembah? Tidak sama sekali! Pasti kau akan dibangkitkan dan akan dipersoalkan atas segala amal perbuatanmu. Wahai manusia, sedarlah daripada mimpimu yang indah dalam lenamu yang panjang.

Engkau akan semakin mulia


Ada manusia yang merasakan bahawa dirinya akan terhina apabila ia memberikan ketaatan sepenuhnya kepada penciptanya. Hakikatnya, manusia akan menjadi semakin mulia apabila ia kembali kepada Tuhannya. Tuhan pasti tidak akan mensia-siakan segala ketaatannya, segala pengorbanannya untuk Tuhan dan segala perbuatannya kerana Tuhan. Bahkan, kemuliaan manusia akan semakin tinggi tatkala ia semakin dekat kepada Tuhannya. Jasad kita ini datang daripada tanah, maka ia akan menjadi tenang apabila ia memakan sumber-sumber yang tumbuh daripada tanah seperti buah-buahan, tumbuh-tumbuhan dan binatang yang memakan segala hasil bumi. Begitu juga ruh kita, ia datang daripada Tuhan. Maka ia akan kembali tenang dan bahagia tatkala ia kembali kepada Tuhan, semakin mendekat kepada asalnya. Pusinglah walau satu dunia, engkau takkan menemui kebahagiaan tersebut selagi ruhmu jauh daripada asalnya, jauh daripada Tuhannya.

Hakikatnya, kita bukan bercerita tentang orang lain, tetapi tentang diri kita sendiri, kerana kitalah MANUSIA.

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. Yang Menguasai sekalian manusia. Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia. Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. Iaitu pembisik dan penghasut dari kalangan jin dan manusia.” (Quran Surah An-Naas)

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Bila Ibadah Hilang Manisnya

Ciptaan Agung: Jantung Yang Sentiasa Berdegup