Berlapang Dada Dalam Perbezaan Pendapat

Allah menciptakan manusia dengan 1001 design luaran yang sememangnya berbeza, tak ada satu pun yang sama antara satu sama lain. Pasti ada bezanya, walaupun sedikit. Sekalipun pasangan kembar yang hampir sama, tapi masih tidak serupa. Itu daripada segi luarannya yang kelihatan, bagaimana pula soal pemikiran dan perasaan? Soal persepsi dan sudut pandang? Sudah tentu ada bezanya, kalau tidak banyakpun, sedikit. Ust. Pahrol Mohd Juoi (Ketua Editor Majalah Solusi) pernah berkata dalam satu ceramah yang saya hadiri, “biarpun kita berbeza, tapi tidak bertentangan”.

Merasa Paling Betul

Dalam membincangkan sesuatu isu, mungkin ada pendapat kita yang berbeza. Perbezaan itu adalah sesuatu yang biasa berlaku dan dibolehkan selagi mana ia tidak menyalahi persoalan asas Aqidah yang sememangnya tidak ada percanggahan seperti Allah itu Esa, Muhammad itu Rasulullah yang terakhir dan lain-lain lagi. Di antara dua pendapat yang dikeluarkan oleh dua pihak, kemungkinan kedua-duanya betul dan tidak salah. Masalah akan timbul apabila ada satu pihak merasa paling betul dan terus menyalahkan pihak lain atas dasar emosi, tanpa landasan yang kukuh.

Contohnya dalam mendidik anak-anak mengaji Al-Quran, ada yang kata guna Muqaddam lebih efektif, ada yang kata guna Iqro’ lebih berkesan. Jadinya, adakah antara salah satu cara itu yang salah? Apa akan berlaku apabila salah satu pihak menyalahkan yang lain? Tidak perlu. Teruskanlah dengan apa yang kita yakini selagi tak lari daripada tujuannya, supaya anak-anak boleh membaca Al-Quran.

Berlapang Dada

Sekalipun jika satu pendapat itu mempunyai dalil yang kuat, tidak mustahil juga pendapat yang satu lagi turut mempunyai dalil yang tak kurang hebat. Jadi, di mana titik pertemuannya agar pendapat-pendapat ini menjadi sesuatu yang sinergistik, bukan antagonistik? Kekuatan itulah terletak pada berlapang dada. Apabila setiap orang yang berbeza pendapat sentiasa appreciate antara satu sama lain, maka pendapat-pendapat yang diberikan akan saling memperkuatkan dan menambah kepelbagaian dalam sudut pandang dan amalan. Walaubagaimanapun, masih lagi terikat pada dasar dan asas yang tidak bercanggah dengan prinsip asas akidah.

Kita mungkin terlalu hebat untuk mengakui pendapat orang lain juga ada betulnya. Kita mungkin menghafal 1001 dalil tentang pendapat yang kita yakini dan bila-bila masa saja boleh menolak pendapat orang lain dengan tanpa memberi ruang sedikitpun. Maka dengan itu kita merasa begitu taksub dengan pendapat kita, dan begitu anti kepada pendapat orang lain yang bertentangan. Tapi ingat, tatkala kita rasa kita paling berjaya dalam mempertahankan pendapat kita, mungkin kita telah membuka ruang kepada perpecahan dan ada pihak yang akan bertepuk tangan.

Untungnya pada siapa?

Bersatulah pada titik temu dan berlapang dadalah pada perbezaan pendapat. Bukan mudah untuk berlapang dada, tetapi adalah sesuatu yang nikmat apabila kita mampu melakukannya. Sesungguhnya, ada Rahmah di sebalik perbezaan pendapat.

Anda mungkin tidak setuju dengan saya, bolehkah anda berlapang dada?

Comments

Popular posts from this blog

Bila Yang Dikejar Itu Dunia

Manusia Sengal

Begin with the end in mind