Antara 'Down' dan 'Down Syndrome'

Tempoh hari saya sedang bersolat maghrib di sebuah surau di Taman Indera Sempurna. Setelah selesai solat, kedengaran suara seorang budak membaca Al-Quran tergagap-gagap dengan suara kuat dan pelik bunyinya. Suara itu mengulang-ulang bacaan yang sama beberapa kali dan datang daripada sebalik tirai bahagian perempuan. Dalam hati saya mengagak “mungkin sakit agaknya” dan saya mendengar dengan teliti apa yang diucapkannya. Sesekali dia membaca Bismillah, sesekali membaca Al-Fatihah…Begitulah, sehinggalah selesai imam membaca doa. Ahli jemaah bersurai dan saya menuju ke belakang, terlihat anak kecil tadi lantas tersenyum kepadanya. Dalam hati saya berbisik, “budak ini istimewa. Tidak down walaupun memiliki Down Syndrome”

Sesekali saya terfikir akan hebatnya Allah menciptakan sesuatu yang tidak dapat kita gambarkan. Dalam masa yang sama saya sedikit kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh adik tadi yang memiliki Down Syndrome. Dia juga manusia biasa yang mungkin menghadapi kehidupan yang lebih mencabar daripada kita. Ibu dan ayahnya mungkin menghadapi cabaran yang lebih besar dalam membesarkannya. Namun, Itu tidak menghalangnya daripada menjadi hamba Allah yang soleh. Bahkan, mungkin kedudukannya lebih tinggi di sisi Allah daripada kita.


Orang Normal Yang Down

Dalam satu aspek yang lain, masih ramai di kalangan kita yang normal namun dilanda penyakit “down”. Keadaannya mungkin lebih teruk lagi kerana di saat itu kita mungkin tak mahu lagi mendekati Allah dan lebih cenderung untuk membuang masa-masa berharga dalam kehidupan. Ingatlah bahawa Hasan Al-Banna pernah berpesan, “barangsiapa membuang masa, sesungguhnya dia membunuh diri kerana masa itu sendiri adalah kehidupan”. Oleh itu, orang normal yang “down” merupakan sesuatu yang lebih merbahaya daripada orang yang mengalami Down Syndrome.

Banyak perkara yang bisa membuatkan kita down. Kadangkala pergaduhan kecil dengan teman lelaki atau wanita dah boleh melemahkan kita (sapa suruh bercinta?). Kadangkala kegagalan menjawab peperiksaan dengan baik pun bisa melemahkan kita. Tak ada wang pun boleh men"down”kan kita. Apa yang datang kepada kita sehari-hari mempunyai potensi untuk menyebabkan kita down. Namun jangan lupa bahawa apa yang datang itu juga mungkin bisa membuatkan kita “up” dan menjadi bertenaga.


Ubat Down

Ketika kita down, kita pasti dapat merasakan bahawa hidup kita menjadi serba tak kena. Tatkala itu, jangan biarkan kita terus dilanda kemurungan dan kesedihan. Ubati segera. Jika sakit badan jumpa doktor, jika sakit di hati jumpalah kawan-kawan yang boleh memberikan nasihat dan teguran. Atau lebih baik lagi jumpa ustaz atau ustazah. Itu sebagai terapi psikologi. Bahkan banyak lagi cara boleh kita lakukan. Baca Al-Quran dan mentadabbur, solat di malam hari, berzikir di waktu senggang, senyum kepada orang lain dan lain-lain.

Antara sebab kita selalu down ialah kita selalu berseorangan di masa lapang dan membuatkan kita terkenang perkara-perkara yang bisa membuatkan kita down. Jadi bercampurlah dengan teman-teman dan bina lah perhubungan yang erat yang bisa memelihara kita daripada down sentiasa.

Akhir kata, up and down itu biasa dalam kehidupan, namun kita perlu bijak mengawal diri agar tidak selalu down. Ambillah iktibar daripada pesakit Down Syndrome yang bersemangat untuk hidup!.

Jadilah orang yang bertenaga dan bersemangat.

“Mukmin yang kuat itu lebih dicintai oleh Allah daripada Mukmin yang lemah”

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Bila Ibadah Hilang Manisnya

Ciptaan Agung: Jantung Yang Sentiasa Berdegup