Pelajaran daripada pernikahan 13 – Membina kedekatan hati.


Kadang-kadang suami isteri berhadapan dengan situasi sukar untuk memahami pasangan, terutama apabila berhadapan dengan sesebuah konflik. Ungkapan daripada pasangan terasa seolah-olah seperti suatu simpulan kemas yang tak mampu untuk dirungkai. Atau sebaliknya, kata-kata kita seakan-akan tidak sampai kepada pasangan. Boleh jadi disebabkan ketegangan yang berlaku, kita menggunakan suara yang lebih tinggi dan keras untuk berinteraksi dan berkomunikasi, baik secara berhadapan atau secara maya.

Lantaran keadaan yang berlaku, perbualan yang seharusnya menjadi topik berdua kini mula didengar oleh orang lain baik kerana suaranya yang tinggi atau status ‘facebook dan insta’ nya yang menjadi-jadi. Sedangkan pasangan kita tidaklah jauh sehingga tidak mampu mendengar. Paling tidak, kita akan bertemu setiap hari. Atau jika jauh, telefonnya dan whatsapp nya masih berfungsi, masih boleh berhubung hanya dengan sentuhan jari.

Ketika itu yang jauh bukanlah jarak, bukanlah teknologi. Di saat kita merasa bebanan berat itu, yang jauh adalah…hati.

Ada sebuah ungkapan menyebut, “bukanlah kesempitan rumah itu terasa kerana sempitnya ruang, tetapi kerana sempitnya hati-hati yang berada di dalamnya.”

Ketika hati telah tenteram antara satu sama lain dan semakin mendekat, kita akan lebih mudah bertoleransi dengan segala perbezaan. Komunikasi juga akan menjadi lebih intim. Walaupun suara kita tidak berbunyi, namun pasangan kita dapat mendengar. Hanya dengan sebuah lirik mata atau mimik muka, pasangan terus dapat menterjermahkan apa yang cuba disampaikan dan memberi respons yang baik. Bahkan diamnya juga dapat memberi mesej yang besar yang diterima oleh pasangan.

Kedekatan hati perlu dibina. Membinanya mengambil masa. Belum tentu mereka yang lama usia perkahwinannya lebih dekat hatinya, jika tempoh masa berlalu tanpa ada usaha yang berterusan untuk menyucikan hati. Kedekatan hati sesama manusia itu menjadi semakin baik apabila kedekatan hati kepada Allah juga makin membaik. Allahlah yang dapat menyucikan hati, dan Allah jualah yang menyatukan hati. Jangan dilupa, bahawa Allah juga yang membolak-balikkan hati.

Kedekatan hati yang tidak dibentuk berpaksikan kepada kedekatan dengan Allah, ia tidak akan kekal lama. Paling tidak, ia akan berakhir dengan berakhirnya usia kerana di akhirat Allah hanya menerima hati yang sejahtera. Hati yang tunduk patuh dan memberikan penyerahan penuh kepada Allah. Hati-hati inilah yang kemudiannya akan disatukan semula dengan ahli keluarga mereka di syurga.

Sebelum kita merasa marah terhadap pasangan kita yang bersikap kasar dan bersuara keras, mari kita semak dulu keadaan hati kita. Apakah ia hati yang sihat, sakit ataupun mati? Hati yang sihat itu dapat menjalankan fungsinya sebagaimana layaknya, sebagaimana kaki yang sihat dapat digunakan untuk berjalan dengan lancar. Hati yang sakit tetap dapat berfungsi namun dengan sebuah keberatan, sebagaimana kaki yang sakit akan merasa berat untuk melangkah. Hati yang mati, tiada apa yang dirasakan lagi bahkan menjadi sebuah beban, sebagaimana kaki yang mati akan dipotong dan dibuang kerana tidak berfungsi dan membebankan.

Jika hati kita sihat, beristiqamahlah mendekat kepada Allah agar ia terus bersinar terang. Jika hati kita sakit, bermujahadahlah mencari penawar agar ia kembali berfungsi dengan optimum. Jika hati kita sedang nazak atau mati, na’udzubillah, mohonlah agar Allah menghidupkan kembali, memberi kita hati yang baru. Bersempena Ramadhan yang mulia ini, marilah kita menyerahkan hati kita kepada Allah untuk dibersihkan dan diteguhkan.

Hati kita dinilai Allah secara peribadi, bukan berdasarkan kepada siapa yang menjadi pasangan kita. Isteri nabi ada juga yang tidak bersih hatinya, isteri Fir’aun bahkan hatinya bercahaya. Semoga Allah menyucikan hati kita, pasangan dan anak-anak agar keluarga kita sentiasa tenang dan tenteram menuju Allah, sebagaimana tujuan asal kita melangkah ke dalamnya.

Wallahua’lam.

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Bila Ibadah Hilang Manisnya

Ciptaan Agung: Jantung Yang Sentiasa Berdegup