Jaulah Keimanan Yang Panjang

Kehidupan ini adalah sebuah jaulah (perjalanan) keimanan yang panjang. Jaulah dalam bahtera kehidupan yang berlayar di atas samudera dunia yang sentiasa terumbang-ambing. Seseorang yang berada dalam fasa puncak keimanan belum tentu dapat bertahan selamanya. Seseorang yang berada dalam fasa jauh di lembah kehinaan belum tentu berakhirnya di neraka. Mengaku beriman itu bukan pengakhiran perjalanan ini, tetapi ia permulaan kepada fasa cabaran yang semakin dahsyat dalam perjalanan. Kita jangan pernah tertipu dan selesa dengan keteguhan iman yang kita miliki sekarang, sehingga kita lalai dan terjerumus ke lembah kehinaan. Syaitan sentiasa mencari peluang untuk memperdayakan kita. Kita jangan pernah juga tertipu dengan besarnya dosa-dosa yang kita kerjakan, sehingga kita berputus asa dan terhalang daripada mendaki ke puncak kemuliaan. Allah sentiasa melapangkan tangan-Nya untuk menerima hamba-Nya yang kembali. Demikianlah hidup, manusia sentiasa diilhamkan akan dua perkara, fujuur dan taqwa.

Sekalipun seumur hidup kita beribadah, boleh jadi ketentuan Allah mendahului bahawa akhirnya nanti kita beramal dengan amal ahli neraka sehingga masuklah kita ke neraka, sekalipun sebelumnya syurga itu sudah sehasta sahaja jaraknya dari kita. Demikian juga sekalipun seumur hidup kita berdosa, boleh jadi ketentuan Allah mendahului bahawa di akhirnya kita beramal dengan amal ahli syurga sehingga mulialah kita di dalamnya, sekalipun sebelumnya neraka itu jaraknya hanya sehasta dari kita. Ketentuan Allah sentiasa mendahului apa juga amal dan ikhtiar manusia.

Bukan dalam wilayah pengetahuan kita tentang pengakhiran kita nanti bagaimana, di mana. Kita cuma mampu berusaha untuk terus bertahan dalam jaulah ini dengan tidak mengingkari janji-janji terhadap Ilahi. Sekalipun ketentuan Allah itu telah tertulis, jangan kita menduga-duga. Kita harus terus bekerja. Ironinya, bagaimana mungkin kita terus menerus beramal dengan amal ahli neraka lalu meyakini bahawa tempat kita nanti di syurga? Alangkah tertipunya mereka yang mengatakan, "ah, aku beramal dengan amal ahli syurga pun nanti belum tentu masuk syurga". Kata-kata itu menggambarkan bahawa kita telah cuba mengambil alih urusan Allah dengan menetapkan takdir pengakhiran kita. Sememangnya kita tak tahu dan tak akan pernah tahu.


Comments

Popular posts from this blog

Bila Yang Dikejar Itu Dunia

Manusia Sengal

Begin with the end in mind