Coretan Cinta Untukmu Akhi

Kutujukan surat ini untuk semua sahabat yang dicintai.

Akhi,

Pertemuan denganmu adalah sebuah anugerah yang besar dalam hidupku. Anugerah daripada Dia yang memiliki dan melimpahkan rasa cinta ke dalam hati mereka yang dikehendaki-Nya. Cintaku padamu sentiasa segar walaupun masa berlalu, bahkan bertambah subur saban hari. Engkau sentiasa terasa dekat di hati walaupun kesibukan masing-masing membawa kita jauh daripada segi geografi.
Jika cinta ini kerana penampilanmu, aku yakin masih ramai yang kacak berbandingmu (kau masih kacak, no offense), mengapa cintaku begitu dalam terhadapmu? Jika cintaku kerana hartamu, bahkan aku yang selalu belanja makan (walaupun cuma sebungkus nasi lemak RM 1.20 dan air suam percuma). Jika cintaku kerana kedudukanmu, rasanya tak siapa yang ingin bertemumu meminta cap dan tandatanganmu (mungkin belum lagi). Lalu cintaku padamu kerana apa?
Kerana keimanan akhi. Kerana kita sama-sama mentauhidkan Tuhan yang satu. Kita sama-sama berjuang menyebarkan kalimah Tauhid tersebut. Kita sama-sama ingin kalimah itu tersebar ke seluruh pelosok bumi. Kita melalui susah payah perjuangan demi kalimah yang satu. Kita sama-sama bersuka dan berduka dalam meniti jalan menegakkan agama Allah.

Akhi,

Ingatlah akan firman Allah dalam Surah Al-Hujuraat ayat 10, “Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara.” Ya akhi, keimanan itulah yang telah mengikat hati-hati kita. Ketika iman merudum jatuh, ikatan itu seakan terungkai. Ketika iman naik subur, ikatan itu teguh menghubungkan kita. Kita bukan lahir daripada rahim yang satu, atau terikat dengan talian darah. Namun, ikatan kita adalah sebuah ikatan yang diisytiharkan oleh Allah di dalam Al-Quran. Peliharalah keimananmu akhi, agar ikatan kita sentiasa terpelihara dan subur.

Ikatan antara kita ini juga ikatan yang telah mengikat para sahabat walaupun latar belakang mereka berbeza. Di sana ada Bilal RA, seorang hamba Habsyi. Di sana ada Salman RA, seorang pengembara. Juga ada Khabbab RA, seorang tukang besi pembuat pedang. Apa yang mereka punyai yang membolehkan mereka berada dalam sebuah saf bersama Abu Bakar RA, Umar RA, Uthman RA, Ali RA dan sahabat-sahabat besar yang lain? Iman akhi. Keimanan itulah yang menjadi pengikat yang paling utuh.

Jangan kerana hilangnya harta dan kedudukanku, engkau pergi meninggalkan aku sendiri. Bersabarlah denganku akhi. Aku merasakan bahawa bersabar dengan kehilanganmu itu lebih sukar, berbanding bersabar bersamamu. Jika aku down, siapa yang akan menemaniku memberi nasihat dan inspirasi? Bukankah kau yang selalu berada di sisi? Jika aku ingin melangkah pergi meninggalkan jalan dakwah ini, bukankah engkau yang selalu menarikku kembali? Akhi, aku sangat menghargai kehadiranmu. Ya Allah, kuatkanlah ikatan antara kami di jalan-Mu.

Akhi,

Walaupun kita berbeza, kita tetap erat bersama. Mungkin perbezaan kita ibarat magnet berlainan kutub, yang kelainannya itu membuat ia dapat bersatu. Inilah yang disebut Unity in diversity. Ikatan ini telah bermula akhi, dan aku doakan ia kekal sehingga kita melangkah ke syurga bersama-sama. Aku mencintaimu akhi, dan aku mencintai untukmu apa yang aku cintai untuk diriku sendiri. Aku cintakan Syurga, dan aku cintakan Syurga untukmu jua.

Tak mungkin coretan pendek ini mampu menghuraikan segala yang aku rasai semenjak aku mengenalimu. Mengenali kalian. Suka duka yang kita rasakan tak mungkin difahami oleh orang lain melainkan mereka yang turut sama merasainya. Kenangan terindah bersama kalian akan terus abadi dalam ingatan, menjadi pembakar semangat sepanjang jalan. Marilah kita terus mencoret kisah cinta yang suci dan abadi. Cinta yang tidak hanya tertakluk kepada lawan jenis yang selalu membawa kita lalai (bukan semua).

Ya Allah, berikanlah aku cinta-Mu, dan cinta orang-orang yang mencintai-Mu.

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Bila Ibadah Hilang Manisnya

Ciptaan Agung: Jantung Yang Sentiasa Berdegup