Menikmati Ukhuwwah di Sebalik Musibah

“Ketika saya sampai dan melihat keadaan di rumah ini, yang pertama sekali terfikir di benak saya ialah bagaimana agaknya kalau kejadian ini menimpa rumah saya?”, begitu ujar seorang sahabat saya setelah kami sama-sama bertungkus lumus membantu membersihkan rumah mak ciknya yang baru dilanda banjir semalam di Hulu Langat.

Setelah kami selesai mencuci rumah dan membuang barang-barang yang sudah rosak, rumah itu hampir kosong. Buku-buku yang ada habis dijilat air selut banjir. Tilam yang ringan menjadi berat, kerana air yang menyerap masuk, sehinggakan memerlukan beberapa orang untuk mengangkatnya. Baju-baju mereka kelihatan sama, satu warna, warna selut. Berasnya terendam dalam air koko seperti teh susu. Benar cetusan hatinya, bagaimana agaknya kalau rumah kita ditimpa hal yang serupa?

Melihat musibah yang real di depan mata, saya jadi teringat pada sebuah ayat Al-Quran:





Sungguh, kita tidak pernah dapat menjamin bahawa apa yang kita miliki sekarang akan tetap berada bersama kita. Tiba masanya, yang kita sendiri tidak pasti bila, Allah akan menariknya kembali daripada kita. Mudah-mudahan ketika itu berlaku ke atas diri kita, kita mampu untuk tergolong di kalangan orang-orang yang sabar:



Di sebalik musibah itu ada hikmah, pasti. Hikmah yang hakiki, hanya Dia mengetahui. Ada hikmah yang boleh kita rasai, kita pelajari dan kita lalui. Hikmah yang kami rasakan di sebalik musibah yang melanda mak cik sahabat saya tersebut adalah suburnya bunga ukhuwwah. Kenikmatan ukhuwwah yang dirasakan dalam bentuk yang praktikal, bukan teori. Kenikmatan ukhuwwah yang tidak dibuat-buat. Indah, manis, dan begitu membumi pada realiti.

Sakitnya pinggang saya kerana tergelincir jatuh dek licin, tak terasa kerana ditutupi manisnya menangkap belut bersama-sama. Mulanya kami sama-sama kekok menjerumuskan diri ke dalam kekotoran akibat banjir, mungkin kerana jarangnya melibatkan diri dalam aktiviti bermasyarakat sebegini. Namun lama-kelamaan air selut tak menjadi keutamaan, yang ada cuma kerjasama, cinta dan kasih sayang.

Kami letih, namun keletihan kami terubat saat sama-sama mencicah roti dengan sup ayam. Seorang sahabat memberi komentar, “Selalu kita merancang untuk buat program-program bagi merapatkan ukhuwwah, namun kali ini Allah mendatangkan sebuah sarana untuk kita sama-sama mencapainya”. Subhanallah, Allah itu Maha Menentukan, dan ketentuan-Nya tidak pernah sia-sia.

“Saya belajar bahawa dengan berkongsi masalah dengan orang lain, masalah akan menjadi lebih ringan dan banyak perkara lain yang akan kita pelajari”, begitu ujar sahabat saya. Jika dia tidak memberitahu kami tentang rumah mak ciknya tersebut, kami akan terlepas peluang untuk menikmati persaudaraan yang indah ini. Kami tidak pernah mengenal mak ciknya sebelum ini, namun Allah mengaturkan sebuah pertemuan, melalui turunnya sebuah musibah.

Musibah itu pasti menimpa kita, kerana hidup ini adalah medan ujian. Namun, hikmahnya pasti ada. Di sebalik kisah ini, kami belajar menikmati ukhuwwah di sebalik musibah. Alhamdulillah.
Semoga semua yang ditimpa musibah diberikan kekuatan oleh Allah untuk bersabar, kerana Allah menjanjikan berita gembira untuk orang-orang yang sabar.

Kepada sahabat-sahabat yang telah sama-sama bertungkus lumus semalam, semoga kalian juga merasakan apa yang kurasakan. Aku mencintai kalian kerana Allah, dan semoga Allah pertemukan kita lagi di syurga, untuk bergembira bersama-sama selama-lamanya.

Wallahua’lam.

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Bila Ibadah Hilang Manisnya

Ciptaan Agung: Jantung Yang Sentiasa Berdegup