Kembalilah Kepada Asolah Dakwah

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, yang telah mempertemukan kita dengan jalan dakwah yang indah. Segala puji bagi Allah, yang telah memilih kita untuk berada dalam sistem tarbiyah yang penuh barokah. Segala puji bagi Allah, yang telah memberikan petunjuk kepada kita melalui tangan para da’i dan murobbi yang tak kenal lelah.

Jalan dakwah ini satu, jalan yang dilalui oleh para nabi, para da’i terdahulu, dan kita berjalan dengan rahmat dan taufiq daripada Allah. Begitulah pesan Sheikh Mustafa Masyhur. Ayyuhal ikhwah, jika bukan kerana Rahmat Allah, di manakah kita sekarang? Mungkin kita akan turut larut dalam masyarakat yang penuh dengan kecelaruan dan takkan pernah dapat keluar daripadanya.

Dunia ini bukan hancur semata-mata kerana kerosakan yang ditebarkan oleh orang-orang yang ingkar, tetapi kerana berdiam dirinya orang-orang yang soleh. Adakah kita mengharapkan perubahan dan pembinaan umat itu dipelopori oleh orang-orang yang tidak faham dan tidak ingin Islam itu tertegak? Atau kita mengharapkan kehancuran itu segera dihentikan oleh orang-orang yang berbuat kerosakan dengan tanpa ada usaha yang bersungguh-sungguh?

Kembalilah kepada perintah Allah dan Rasul, kembalilah kepada jalan dakwah. Kembalilah kepada asolah (keaslian) jalan ini iaitu menyeru kepada Allah, kepada tauhid. Kita tidak menyeru orang untuk berkomitmen dengan diri kita, tetapi kita menyeru kepada komitmen terhadap agama Allah. Hanya dengan izin Allah, kita dapat menyebarkan keindahan dakwah ini ke dalam hati-hati manusia. Ini adalah jalan para rasul dan tidak ada rasul yang menyeru umatnya untuk menyembah dirinya, atau mengagungkan dirinya. Mereka bebas daripada syirik dan sentiasa menyucikan Allah dalam menyeru manusia.

“Katakanlah: “Inilah jalan (agama) ku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujah yang nyata, Maha Suci Allah, dan aku tiada termasuk orang-orang yang musyrik.”” (Yusuf: 108)

Kita boleh menyampaikan, tetapi Allah yang memberikan kefahaman kepada anak-anak buah kita. Kita boleh mengumpulkan, tetapi Allah yang mengikat hati-hati mereka. Kita boleh memberikan pengarahan, tetapi Allah yang menimbulkan keinginan dan kesungguhan di dalam hati mereka. Ketika kita jauh daripada Allah, bagaimana kita mengharapkan agar Allah bersama kita dan membantu kita dalam berdakwah? Bertaqwalah dan kembalikanlah segala urusan kepada Allah.

Walaupun anak-anak buah kita tidak terkesan dengan apa yang kita sampaikan, janganlah kita merasa lemah. Bersabarlah dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Rasulullah juga pernah tidak didengari, ditentang, bahkan dilemparkan dengan kata-kata kesat. Adakah kita lebih baik daripada baginda SAW? Sesungguhnya jika yang kita serukan adalah kepada sebuah kemenangan yang dekat, tentulah mereka akan berbondong-bondong mengikuti kita, namun jalan tarbiyah ini panjang, hanya orang-orang yang cekal dapat bertahan. Cukup cekalkah kita untuk membentuk anak-anak buah yang ikut cekal bersama-sama kita?

“Kalau yang kamu serukan kepada mereka itu keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, pastilah mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu amat jauh terasa oleh mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah: “Jikalau kami sanggup tentulah kami berangkat bersama-samamu.” Mereka membinasakan diri mereka sendiri dan Allah mengetahui bahwa sesungguhnya mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.” (At-Taubah: 42)

Janganlah kita tersilau dengan lamanya tempoh kita telah berada dalam jalan ini. Adakah tempoh tersebut adalah tempoh yang berkualiti dan penuh komitmen terhadap tarbiyah? Jika Rasulullah dengan berhempas pulas amal dakwahnya memakan masa puluhan tahun untuk membentuk sebuah masyarakat yang gemilang, adakah kita merasa amal kita yang penuh lengah dan cuai akan mengambil masa lebih cepat daripada itu? Ayyuhal ikhwah, bertaqwalah kepada Allah, dan konsistenlah dalam amal sekalipun hasil yang kita kecapi tidak seperti yang diimpi.

Dakwah yang kita serukan ini adalah kepada Allah dan kerana Allah, maka ia tidak boleh terhenti sehinggalah kita bertemu Allah. Kita bukan sekadar menumpang dalam bahtera dakwah, tetapi kita ingin menyerahkan diri kita, hidup dan mati untuk dakwah. Adakah kita hanya ingin berdakwah di kampus, lalu berhenti setelah masuk ke alam pekerjaan? Atau kita cuma ingin berdakwah di zaman bujang, lalu terhenti ketika sudah bernikah? Adakah tujuan akhir dakwah ini ialah tamatnya alam kampus, atau nikah? Atau sekian banyak lagi matlamat-matlamat lain yang akan memesongkan kita daripada terus istiqomah menyeru kepada Allah? Ayyuhal ikhwah, bertaqwalah kepada Allah, dan berusahalah untuk melayakkan diri kita untuk dibeli oleh Allah.

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” (At-Taubah: 111)

Dakwah yang asli itu adalah dakwah yang menyeru kepada Allah, dan tidak menggantungkan seruan kepada yang lain. Dakwah yang asli adalah dakwah yang terus berjalan sekalipun hasilnya tidak kencang. Dakwah yang asli adalah dakwah yang tidak tersilau oleh kenikmatan-kenikmatan dunia. Ayyuhal ikhwah, marilah kita kembali kepada Asolah Dakwah. Jazakumullahu khoyran kepada semua para murobbi yang telah berusaha keras memberi kefahaman dan menyedarkan hati-hati yang lalai. Sesungguhnya, kalian boleh sahaja mengejar dunia ini dan seisinya, tetapi kalian memilih sesuatu yang lebih baik daripada itu, iaitu sampainya hidayah kepada seseorang atas usaha tangan-tangan kalian.

Sesungguhnya Allah tidak menciptakan bagi seseorang itu dua hati. Pilihlah, sama ada kita ingin bersenang-senang di dunia yang fana, atau bersusah-susah demi syurga yang kekal selama-lamanya.

Wallahua’lam.

Comments

Post a Comment

Apa pandangan anda? Kongsikan bersama pembaca yang lain.

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Bila Ibadah Hilang Manisnya

Ciptaan Agung: Jantung Yang Sentiasa Berdegup