Cukuplah Dengan Kesedihan Semalam

Wahai jiwa yang sering merasa sempit di atas bumi Allah yang luas, sesungguhnya engkau belum dapat merasa lapang selagi engkau terkurung dalam ruangmu yang sempit itu. Wahai jiwa yang memilih untuk memperpanjang kesedihan kerana kehilangan sesuatu yang dicintai, sesungguhnya tangisanmu yang terus menerus tidak akan dapat mengembalikannya kembali. Wahai jiwa yang selalu gusar dengan dosa-dosa yang lepas dan merasa tak terampun, sesungguhnya rahmat Allah itu luas menjangkaui seluruh ciptaan. Kecaplah rahmat tersebut, janganlah engkau terus membuat dosa kerana dosa. Wahai jiwa yang selalu menyesal dan tak bertemu jalan kembali, sesungguhnya jalan itu banyak, tinggal lagi engkau harus mencari, melangkah dan berhijrah. Wahai jiwaku, wahai jiwamu, aku ingin berbicara dengan kalian.

Orang yang lemah mencari seribu satu sebab untuk bersedih, orang yang kuat mencari seribu satu sebab untuk tidak bersedih.

Kita bagaimana?

Kesedihan itu adalah sifat manusia yang tak mampu dibuang terus oleh sesiapapun. Pasti ada detik-detik dalam kehidupan ini yang memunculkannya dan memberikan luka yang begitu dalam. Rasulullah SAW juga turut mengalami detik kesedihan ketika Abu Talib dan Khadijah pergi meninggalkan baginda SAW. Apatah lagi kita yang punya jiwa tak sekuat baginda. Pasti ada ketika, kita merasakan hidup ini begitu hampa, harapan tak terlaksana, impian nampak jauh daripada kenyataan. Ketika itu, kita merasakan bahawa kitalah orang yang paling malang dan paling layak dikasihani, paling perlu kepada pertolongan dan paling harus diberi perhatian. Benarkah?

Permasalahan utama ketika itu adalah diri, bukan situasi. Ini bukan tentang apa yang datang, tapi tentang apa yang kita pandang. Persekitaran dan situasi kita mungkin sama, tetapi kaca mata kita berbeza. Memang manusiawi jika kita bersedih dengan kejadian yang menyedihkan, namun jika kita terus menerus bersedih dan berpanjangan, melayaninya dan tidak berusaha merawatnya, maka itu adalah permasalahan besar kita sendiri. Jika kita menyempitkan pemikiran dalam memandangnya, maka jiwa kita pun akan menjadi sempit, namun jika kita membuka pemikiran dan melihat secara lebih besar, jiwa kita pun akan menjadi besar dan semangat kita akan pulih. Sebenarnya, kita terlalu bersedih kerana kita terlalu pentingkan diri dan melihat permasalahan kita adalah paling besar berbanding orang lain.

Jika kita melayani kesedihan kerana kehilangan orang yang tersayang, maka saudara-saudara kita di Palestin, di Syria, dan di negara-negara lain yang sedang hebat berperang lebih layak bersedih kerana mereka paling banyak kehilangan. Bahkan, ada ahli keluarga yang dibunuh di depan mata, suami-suami mereka dipenjarakan bertahun-tahun, isteri-isteri dan anak-anak perempuan mereka dirogol, dibunuh. Namun, adakah kesedihan itu membuatkan mereka lemah dan berpatah balik? Jika kita merasa bersedih kerana kekurangan harta, maka saudara-saudara kita yang sedang dilanda banjir, gempa bumi dan sebagainya lebih layak bersedih kerana harta mereka bukan lagi kurang, bahkan habis musnah. Jika yang dilanda kebakaran, habis seluruhnya hangus dijilat api. Terbandingkah kesedihan kita dengan kesedihan mereka?

Jika kita sedang bersedih kerana merasa dilanda sesuatu yang paling teruk berbanding orang lain, yakinlah, ada orang lain yang lebih layak untuk bersedih, namun tidak pula melayani kesedihan tersebut seperti kita. Semua orang punya masalah masing-masing, menceritakan kepada manusia adalah salah satu cara meringankan, dan mungkin meluaskan horizon pemikiran jika diceritakan kepada orang yang tepat kerana dia mampu memberikan nasihat yang tepat dan bernas. Namun, jangan sekali-kali lupa mengadu pada Allah yang mendatangkan cabaran kesedihan kepada kita. Dialah juga yang berkuasa menghilangkannya. Bergantunglah kepada-Nya dan sesungguhnya Dia paling layak menerima aduan. Demikianlah pesan Rasulullah SAW, “...Bila engkau meminta sesuatu, mintalah kepada Allah, dan bila engkau meminta pertolongan, mintalah pertolongan kepada Allah...” (HR Tirmidzi) – Hadith ke 19 daripada buku Hadith 40.

Ingatlah, orang yang lemah mencari seribu satu sebab untuk bersedih, orang yang kuat mencari seribu satu sebab untuk tidak bersedih.

Dalam proses penyembuhan luka pada tubuh badan kita, kita mungkin akan mengalami rasa kegatalan di sekelilingnya. Kita merasa dengan menggarunya akan menyelesaikan masalah dan menghilangkan gatal, namun ternyata luka menjadi berdarah kembali, dan proses penyembuhannya pun bertambah panjang. Sebaliknya, jika kita memberikan ubat yang betul pada kesan-kesan yang kita rasai, proses penyembuhannya akan lebih baik dan cepat. Begitu juga luka yang abstrak, yang berkait dengan hati dan perasaan. Memang sakit ketika kehilangan orang yang sangat kita cintai, misalnya, namun jika kita mengembalikan niat untuk ikhlas menerima takdir, kita akan berusaha untuk redha dan mencari jalan untuk merasa tenang dengannya. Sebaliknya, jika kita melayani kesan-kesan yang hadir bersama proses penyembuhan tersebut, melayani memori-memori dan nostalgia yang tak ke mana, luka kita pasti lebih panjang dan lebih dalam, dan penyembuhannya pun tak sempurna. Imam Ghazali pernah berpesan, “cintailah apa sahaja yang ingin kamu cintai, tetapi ingat, suatu hari kamu pasti meninggalkannya”. Benar, jika bukan ditinggalkan mungkin kita yang meninggalkan.

Sebenarnya, jika kita berupaya mengatasi kesedihan-kesedihan yang kita alami, kita sedang hidup dengan lebih produktif. Masa bersedih diganti dengan masa untuk melakukan perkara-perkara yang lebih penting dan membina kegembiraan, ketenangan dan kebahagiaan. Tidak perlu kita nafikan kesedihan yang datang, cuma kawal dan hadapi dengan lebih matang. Untuk apa kita berpanjangan menangisi sesuatu yang telah berlaku dan takkan berpatah balik kembali sedangkan kita lupa mempersiapkan diri agar tidak bersedih dan menangis di akhirat nanti? Terimalah kesedihan sebagai sebuah belaian Ilahi untuk kita kembali kepada-Nya sepenuh hati. Kita selalu ingin agar tertunai apa yang kita mahukan, sedangkan Allah memberikan apa yang kita perlukan.

Cukuplah dengan kesedihan semalam. Sapulah air matamu, lapangkan dadamu, ikhlaskan hatimu, katakanlah, “selamat tinggal masa silam yang suram!”. Kembalilah kepada Allah dalam segenap keadaan, dan bertawakkallah kepada-Nya. Sesungguhnya, kita menyerahkan urusan pada Dia yang paling memahami kita dan pasti tidak akan mengecewakan orang beriman.

“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: "Tuhan kami ialah Allah" kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: "Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan jannah yang telah dijanjikan Allah kepadamu."” (Al-Fussilat: 30)
Wallahua'lam.

Comments

Post a Comment

Apa pandangan anda? Kongsikan bersama pembaca yang lain.

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Bila Ibadah Hilang Manisnya

Ciptaan Agung: Jantung Yang Sentiasa Berdegup