Bila Tarbiyah Difahami Sebatas Halaqah

"Kenapa ya setelah bertahun-tahun berhalaqah tetapi masih belum mampu melahirkan seorang da'i yang komited, peribadi yang solid?" Tiba-tiba soalan tersebut terpacul daripada mulut seorang teman seperjuangan, yang kelihatan bersungguh bertanya, sambil matanya berkaca-kaca memikirkan dengan mendalam. "Mungkin, kerana kebanyakan murabbi memahami tarbiyah sebatas halaqah dan program-program", spontan dia sendiri yang memberikan pandangan. "Betul, setuju", jawabku ringkas.

Lamanya berada dalam proses tarbiyah belum menjamin keberhasilan jika prosesnya hanya terhenti setakat di halaqah dan program-program tanpa memerhatikan secara teliti karakter-karakter anak-anak buah yang dibina. Dalam persoalan ini, teman tadi berkongsi kata-kata yang pernah didengarnya daripada teman lain, "tarbiyah itu bermula setelah tasbih kaffarah dan berlangsung sehingga al-fatihah", kata-kata yang menggambarkan pentingnya pembinaan yang berterusan di luar halaqah. Kita bukan mengumpul manusia supaya kita dapat menjalankan halaqah dan program-program, tetapi kita menjalankan halaqah dan program-program tarbiyah untuk membina manusia.

Tidak dinafikan, sememangnya halaqah adalah antara sarana terpenting dalam sebuah sistem tarbiyah. Namun, ia bukan tujuan akhir. Jika seorang murobbi hanya menjalankan halaqah dengan sikap "asal ada", "rutin mingguan", "melepas tanggungjawab" dan lain-lain sikap yang meringankannya, maka impaknya pun dapat dilihat pada karakter anak-anak buah. Pertemuan antara murabbi dan anak buah pun hanya sekali seminggu dalam halaqah, dan permasalahan anak buahpun hanya dikongsikan ketika itu, dalam sela waktu beberapa jam sahaja.  Selesai daripada halaqah, murabbi pun lepas tangan. Dia dengan kehidupan dia, anak buah berkeliaran entah ke mana.

Bagaimana dengan baki-baki waktu yang lain dalam seminggu di luar halaqah? Adakah kita memantau aktiviti dan perkembangan anak-anak buah yang dibina? Sudahkah kita menziarahi, atau ajak keluar minum, membina hubungan-hubungan di luar halaqah yang lebih intensif? Atau mungkin telefon bertanya khabar, SMS dengan pesan-pesan yang baik. Adakah kita benar-benar bersungguh untuk membina karakter anak-anak buah menjadi Mukmin sejati, dan da'i yang berkualiti?

Ya, di samping pengisian halaqah yang mantap dan sangat terkesan, hubungan yang intensif antara murabbi dan anak-anak buah di luar halaqah sangat berperanan dalam menghasilkan sebuah halaqah yang dinamik dan efektif. Motivasi akan timbul untuk komited dengan halaqah dan program-program yang dirancang. Murabbi pula dapat mengenali anak buah dengan lebih rapat dan menilai sudut-sudut kekurangan yang perlu dibina dan dibentuk.

Nah, di situlah berlakunya proses tarbiah. Maka ia tidak terhenti sebatas halaqah, atau program-program, ia juga pada bagaimana kita berinteraksi dengan anak-anak buah dan menyampaikan bahan secara tidak langsung melalui tauladan. Sehingga suasana tarbiyah itu terasa dan proses pembinaan itu lebih cepat dan efektif.

Kekangan masa selalu menjadi alasan, belum sempat buat apa-apa setelah satu sesi halaqah, sedar tak sedar dah sampai waktu untuk sesi halaqah seterusnya. Memang seminggu itu berlaku dengan sangat pantas, dan kita akan ketinggalan jika kita membiarkan ia terus berlalu minggu demi minggu. Sehingga bertahun-bertahun, persoalan yang sama mungkin timbul lagi, "kenapa anak-anak buah aku ini tidak terbina?" 

Memang bukan mudah untuk menjadi seorang murabbi yang betul-betul membina, tetapi jika kita jujur, ikhlas dan komited dalam melaksanakan tugas membina peribadi, insya-Allah, Dia akan mengajarkan kita untuk menjadi salah seorang daripada agent of change Umat ini.

Ingat, tujuan akhir kita bukan halaqah, tetapi mentarbiyah diri dan masyarakat sehingga tertegaknya kalimah Allah di atas muka bumi.

Jangan tertipu dengan ramainya orang yang kita bawa, atau meriahnya program yang kita anjurkan, tetapi fokuslah pada melihat sejauh mana Islam telah dihayati dalam diri setiap daripada ahli tarbiyah.

Renung-renungkanlah wahai para murabbi, sama-sama kita meningkatkan kemampuan dan kesungguhan, moga Allah matikan kita sebagai syahid dalam jalan dakwah. Dan moga kita dapat terus melahirkan lebih ramai para murabbi yang akan membina peribadi-peribadi mengikut acuan Ilahi. Jangan lupa untuk terus berdoa dan merintih kepada-Nya, kerana Dialah yang menguasai hati-hati manusia dan memberikan hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

Semoga perkongsian ini melahirkan amal buat diri saya sendiri dan buat semua yang membaca. Apabila saya menuliskan perkongsian ini, janganlah menyangka bahawa saya sempurna dan telah berjaya melaksanakan semuanya. Sama-sama kita berusaha, moga pesan yang baik melahirkan amal yang lebih baik.

Wallahua'lam.

Comments

  1. Alahmdulillah! Menyedarkan apa tugas utama daie..

    ReplyDelete

Post a Comment

Apa pandangan anda? Kongsikan bersama pembaca yang lain.

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Wahai Sahabatku Yang Kecewa

Allah Memberikan Apa Yang Kita Perlu