Pencinta Maksiat

Maksiat. Mulanya ia dibenci, dijauhi. Kemudian dicuba, terasa nikmatnya. Lalu ketagih, menjadi rutin. Lama-kelamaan, iapun dicintai, melekat di dalam hati. Sehingga akhirnya diri menjadi pembela dan pendokong maksiat. Dokongannya tak disebut, tapi amalnya menggambarkan kecintaan yang tak berbelah bahagi pada maksiat yang telah melekat di hati. Benarlah bagai dikata, bersabar untuk tidak melakukan maksiat itu lebih mudah daripada bersabar untuk tidak mengulanginya.

Bagaimana jiwa yang mencintai maksiat akan mampu mencegah orang lain daripada melakukannya, ketika diri sendiri sering kali terjebak ke dalamnya? Hati yang menanam cinta pada maksiat menahan anggota daripada beramal untuk menyekatnya. Mungkin maksiat yang dilakukan itu sembunyi-sembunyi, dan kecintaan itu tak dinampakkan kepada orang lain. Namun kesannya besar pada keteguhan hati. Langkah seringkali terhenti saat ingin melarang orang lain melakukannya. "Aku juga melakukan ini." Hati tak terasa terpanggil untuk mengajak orang meninggalkannya, kerana kecintaan pada maksiat tersebut. Mulut terpaku, amal menjadi kaku.

Produktiviti pun menjadi berkurang. Cinta maksiat telah menariknya untuk sentiasa mencari kesempatan bagi melaksanakan tuntutan maksiat. Masa-masa terisi dengan maksiat. Jika tiada masa, dicari. Jika sempit, dilapangkan juga untuk tujuan maksiat. Sepertimana seorang pencinta sanggup melapangkan masanya untuk orang yang dicintainya, begitulah pencinta maksiat sanggup menyediakan masa untuk melaksanakan maksiat yang dicintainya. Masa untuk Ibadah dan kewajipan-kewajipan yang lebih utama menjadi terganggu. Lalu keluhan pun berlaku, "Tak sempat laksanakan kewajipan, sibuk". Ya! Disibukkan dengan maksiat.

Kepapaan pun menjengah. Wang habis dilaburkan ke jalan maksiat. Pantang ada, habis dikeluarkan demi tuntutan-tuntutan maksiat. Maksiat itu kepuasannya tak bersempadan. Disebabkan cinta, tidak langsung berkira-kira, asalkan maksiat terlaksana. Lalu infaq pun menjadi terhad. "Duit tak banyak nak infaq ke jalan Allah". Padahal duit yang disalurkan ke jalan maksiat itu lebih banyak daripada duit yang diinfaqkan. Semakin banyak duit, semakin pelbagai maksiat dicuba. Maka semakin kaya, semakin papa.

Allah tidak menciptakan bagi seseorang itu dua hati. Tatkala hatinya sudah dicelup dengan maksiat, dan kecintaannya pun bercambah menyaluti segenap ruang hatiya, maka tiada lagi ruang cinta pada yang Esa. Ibadah separuh hati, maksiat sepenuh jiwa. Beramal dengan anggota, berbicara dengan lisan tentang iman, namun hatinya diliputi cinta maksiat.

Wahai jiwa yang merasa terpanggil dan terkena, berwaspadalah sebelum datangnya keputusan Allah atas amalmu. Ya Allah, Kau jadikanlah kami benci kepada kekufuran sebagaimana kami benci dilemparkan ke dalam neraka-Mu. Jadikanlah cinta kami kepada-Mu dan Rasul-Mu melebihi kecintaan pada yang selainnya. Dan jadikanlah kami termasuk orang-orang yang mencintai sesuatu hanya kerana-Mu.


"Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya kepada Allah. Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalim itu mengetahui ketika mereka melihat siksa (pada hari kiamat), bahwa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya, dan bahwa Allah amat berat siksaan-Nya (niscaya mereka menyesal)." (Al-Baqarah: 165)

Comments

  1. kalau dah terjebak mencintainya....camne?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Memang sakit dan memeritkan.

      http://zulyunus.blogspot.com/2012/08/pencinta-maksiat-bhgn-2.html

      Delete

Post a Comment

Apa pandangan anda? Kongsikan bersama pembaca yang lain.

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Bila Ibadah Hilang Manisnya

Ciptaan Agung: Jantung Yang Sentiasa Berdegup