Ancaman Daripada Segenap Sudut

“Jika musuhmu menyerangmu daripada segenap sudut yang ada, adakah kau akan selamat dengan bertahan hanya pada satu sudut?”

Jika matamu selamat daripada melihat aurat, belum tentu telingamu selamat daripada mendengar orang mengumpat. Jika tanganmu bebas daripada mencuri, belum tentu kakikmu terhindar daripada melangkah ke tempat maksiat. Jika mulutmu bersih daripada yang haram, belum tentu kemaluanmu terhindar daripada dosa dan rangsangan. Musuh itu pasti menyerang dan menjerumusukanmu daripada segenap sudut dan melalui segala kemungkinan yang ada. Musuh itu berupa nafsu daripada dalam dirimu sendiri, atau godaan daripada luar.

Dalam dunia yang sedang kita hadapi sekarang, serangan itu semakin menjadi-jadi. Daripada segala perkara dan alat yang kita gunakan dalam kehidupan seharian, musuh-musuh kita menggunakannya untuk melemahkan dan menghancurkan kita. Hanya dengan menghidupkan laptop dan melayari internet, kita terus terdedah kepada serangan tersebut sekalipun kita tak berniat untuk melakukan kemungkaran. Dengan memandu melalui jalan-jalan di kota, kita terus dapat melihat serangan itu terpapar besar di papan-papan iklan. Wanita-wanita mendedahkan bahagian tubuhnya yang merangsang pemikiran lelaki. Hanya dengan berjalan di sebuah pasaraya untuk memberi barangan keperluan, kita akan terlihat begitu banyak bentuk rangsangan yang merosakkan kekhusyukan Ibadah. Bahkan hanya dengan memiliki sebuah telefon bimbit, sekian banyak SMS yang masuk menawarkan aksi-aksi panas!

Serangan-serangan yang sedang kita hadapi ini bukanlah sesuatu yang biasa. Ia sangat menyesakkan dada. Setiap hari kita berhadapan dengannya tanpa diminta. Kita merasakan selamat kerana kita telah larut di dalamnya. Boleh jadi kita telah kalah dan mungkin telah menjadi agen dalam menyerang orang lain. Kita sebenarnya tak selamat jika kita hanya bertahan daripada satu sudut. Kita perlukan sistem pertahanan yang memelihara kita daripada segenap sudut. Kita mesti menahan seluruh anggota yang mungkin diserang oleh musuh termasuk hati. Ya, sekalipun jasad kita selamat daripada benar-benar tewas, hati kita mungkin diserang penyakit yang sukar diubati.

Akan lebih teruk lagi jika kita gagal menyedari bahawa serangan-serangan itu wujud. Bahkan bertambah malang jika kita sudah tidak mahu bertahan lagi dan asyik dengan hidangan-hidangan yang dipaparkan kepada kita. Suatu hari, kita pasti hancur bersamanya. Ghazwul fikri (serangan pemikiran) yang kita hadapi ini perlu ditentang dan dilawan secara berterusan. Kalaupun kita belum mampu membina sebuah gelombang atau sistem yang boleh menghancurkan serangan sedia ada, bertahanlah daripada dalam diri masing-masing. Tak seorangpun yang terkecuali.

“Aku sudah cukup kuat, aku pasti selamat.” Bagaimana dengan ibu dan ayah kita? Adik-beradik kita, anak dan isteri kita nanti? Adakah kita ingin selamat seorang diri sedangkan Al-Quran memerintahkan untuk kita menjaga diri dan ahli keluarga kita daripada api neraka?

Binalah kekuatan dalaman dengan bersungguh-sungguh dengan penuh kesedaran bahawa engkau takkan selamat jika tidak bersedia untuk sebarang kemungkinan. Boleh jadi hari ini engkau dapat mengelak, besok engkau akan terkandas jua. Kekuatan iman dan takwa perlu digilap dan ditingkatkan supaya kita boleh bertahan dengan apa jua bentuk serangan. Kuncinya, bersabarlah kerana memang tak mudah.

Sedarlah bahawa engkau ibarat hidangan di mata musuhmu, bila-bila masa engkau akan diterkam dan dimusnahkan jika engkau tidak berjaga-jaga. Ya, musuh yang boleh muncul daripada mana-mana sudut dalam apa jua keadaan.

Ke mana engkau nak lari?

Seram sejuk rasanya hati ini.

Comments

Popular posts from this blog

Bila Yang Dikejar Itu Dunia

Manusia Sengal

Begin with the end in mind