Mengejar Pengiktirafan Manusia

Apabila kita melakukan kebaikan yang terlihat oleh orang lain, pasti akan ada yang mengatakan, “wah, baguslah!” “awak memang baik” “jarang jumpa orang macam awak” “Hebatnya!”. Paling tidak pun, akan ada yang tersenyum menandakan sebuah penghargaan diberikan kepada kita. Lantas kita menjadi termotivasi dan bersemangat untuk terus melakukan kebaikan. Kita merasakan ada nilainya kebaikan tersebut pada pandangan mata manusia. Bagaimanakah pula keadaannya apabila ada yang mengatakan “eleh, tu nak tunjuk baik la tu” “buang masa awak saja buat macam tu” “jangan buat macam tu lagi lain kali!”, apakah kesannya kepada diri kita? Adakah kita masih terus melakukan kebaikan tersebut atau kita meninggalkannya? Kesan yang berlaku atas diri kita daripada respons positif dan negatif orang lain ini menjadi indikator kepada keikhlasan kita dalam beramal.

Nilai sesebuah amal itu tidak ditentukan berdasarkan kepada pujian manusia. Apa yang lebih penting adalah nilai yang telah Allah gariskan dalam Al-Quran atau yang ditekankan oleh Rasulullah dalam Hadith baginda. Apabila telah ada saranan untuk melakukan sesebuah amal daripada Allah dan Rasul, maka ia tetap mempunyai nilai yang tinggi sama ada orang lain memuji atau mengeji. Dalam ertikata lain, orang yang ikhlas tidak akan berganjak sedikitpun daripada sebuah amal yang baik, bahkan dia sentiasa istiqomah dengan kebaikan. Tidak bertambah kerana pujian, atau berkurang kerana kejian. Berbeza dengan seseorang yang mengejar pengiktirafan manusia, bila dipuji dia berbangga dan menambah lagi kebaikan, bila dikeji dia merasakan seolah-olah azab Allah menimpanya lalu dia meninggalkan amal baik tersebut. Konsistensi amalannya bergantung kepada respons manusia terhadapnya.

Seseorang yang saya maksudkan tersebut boleh jadi kita sendiri, termasuk saya yang menulis. Pernahkah kadang-kadang kita merasa kagum dengan mujahid Islam yang syahid lantas kita juga bercita-cita untuk syahid sepertinya? Namun jauh di sudut hati kecil kita bersuara, “tentu aku akan dikenang orang”. Pernahkah kita membaca karya agung Ulama’-ulama’ silam lantas kita ingin berkarya seperti mereka? Hati kecil kita masih lagi bersuara, “tentu orang akan menyanjung aku”. Tatkala kita melayani perasaan tersebut dan berusaha mengejar pengiktirafan manusia, maka amal kita telah dicemari dan tidak lagi ikhlas. Namun kita tidak mempunyai kuasa untuk menghalang perasaan tersebut daripada timbul sama sekali, apa yang boleh kita usahakan ialah menentangnya dan melawannya.

Oleh itu, matlamat yang jelas perlu ditentukan sejak kita berniat melakukan sesebuah amal sehinggalah kita habis melaksanakannya. Keikhlasan itu perlu dijaga sebelum, ketika dan setelah melakukan sesebuah amal. Susah memang susah, sebab itulah perlunya mujahadah. Sampai bila? Sampai kita bertemu Allah. Saya masih ingat pesan ustaz Che’ Abdul Majid yang pernah saya kenali di Pusat Asasi UIAM Petaling Jaya dulu;

Berbuat baik ayuhai teman
ke dalam laut engkau campakkan
kalau tidak dikenal ikan
tuhanmu tahu iyakah, bukan

Bait syair di atas menyeru supaya kita ikhlas melakukan sesebuah amal hanya untuk keredhaan Allah dan hanya untuk mendapat ganjaran daripada Allah. Amal yang baik itu takkan sekali-kali disiakan oleh Allah. Bahkan apa yang terdetik di sudut hati kita juga tak pernah terlepas daripada pandangan Allah. Biarlah Allah yang menilai kebaikan kita dan memberikan ganjaran di akhirat. Firman Allah:

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan dibiarkan, sedang Allah belum mengetahui (dalam kenyataan) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil menjadi teman yang setia selain Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (At-Taubah: Ayat 16)

Saya pernah mendengar sebuah kata hikmah, “jika kamu tamakkan apa yang ada di sisi manusia, kamu akan dibenci Allah. Jika kamu tamakkan apa yang ada disisi Allah, kamu akan disanjung manusia”

Bahkan dalam memuji juga kita harus berhati-hati. Boleh jadi pujian kita itu akan menghancurkan saudara seagama kita. Pujilah sekadar yang perlu dan kembalikanlah hak menilai itu kepada Allah. Dalam sebuah Hadith Rasulullah berpesan:

“Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah, dari bapanya r.a katanya,: “Seorang lelaki memuji orang lain berhampiran Nabi s.a.w, lalu Nabi s.a.w berkata kepadanya: “Celaka kamu. Bererti kamu memenggal leher saudara kamu. (Kata-kata itu diucapkan baginda berulang kali.)“Apabila seorang kamu memuji saudaranya, seharusnya dia berkata: “Cukuplah bagi si fulan Allah sahaja yang menilainya. Tidak ada yang lebih berhak menilainya selain Allah Taala, sekalipun temannya tahu dia begini dan begitu.” (HR Muslim)

Jika ada yang memujimu, katakanlah “Alhamdulillah” dengan sebenar-benarnya.

Wallahua’lam

Comments

Popular posts from this blog

Bila Yang Dikejar Itu Dunia

Manusia Sengal

Begin with the end in mind