Hakikat dan Syari'at

Tanpa kulit, inti tak terpelihara. Tanpa inti, kulit tak memberi makna. Hubungan yang seharusnya bersifat sinergistik antara inti dan kulit ini selalu diambil sebagai antagonistik oleh sebahagian daripada kita. Kesannya, ada golongan yang membuang kulit dan ada yang lain membuang inti. Buah durian tak wujud seulas demi seulas di atas pokok, ia diciptakan mempunyai kulit yang berduri manakala kulit durian yang terbuang tanpa ulasnya takkan dipedulikan oleh manusia. Begitulah hakikat ciptaan yang telah Allah pamerkan kepada kita, khususnya buat orang-orang yang berfikir. Kita perlu berlaku adil dalam memberikan fokus kepada kedua-duanya, menyeimbangkan antara inti dan kulit. Perlu kita fahami bahawa seimbang bukan bererti sama rata.

Ada golongan yang taksub mengejar hakikat sehingga meninggalkan syari’at. Ada pula golongan yang patuh pada syari’at namun gagal memahami hakikat di sebaliknya. Golongan pertama selalunya mengatakan bahawa syari’at ini cuma kulit, maka tak perlu beramal sehinggakan perkara wajib pun dipandang remeh. Golongan kedua pula sibuk melaksanakan syari’at tetapi kosong daripada hakikat amal dan tak mencapai tujuan. Impaknya, timbullah fitnah dalam agama hasil ketidakseimbangan dalam kefahaman antara inti dan kulit.

Kecelaruan akan timbul baik daripada Muslim mahupun bukan Muslim. Sebut sahaja tentang Islam, maka lahirlah bayangan tentang golongan yang beramal tanpa matlamat, bertaqlid buta. Hakikat yang ingin dicapai daripada amal yang disyari’atkan tak dapat direalisasikan. Terjadilah kes ‘Ustaz’ makan rasuah, merogol di sana-sini. ‘Tok Imam’ menggelapkan duit tabung masjid, tak mesra penduduk dan sebagainya. ‘Orang Agama’ dilihat bermasalah. Daripada sudut yang lain, lahirlah orang-orang yang mewujudkan sekian amal yang pelik-pelik yang menyimpang jauh daripada syari’at Islam demi mencapai hakikat, kononnya. Ya, permasalahan dalaman Umat Islam inilah yang menjadi penghijab kepada bukan Islam untuk memahami Hakikat Islam.

Islam Itu Syumul

Syumul itu bererti menyeluruh. Islam itu bukan sebuah agama yang bermain dengan istilah begini dan begitu, namun ia adalah sebuah pengamalan yang praktikal dalam kehidupan setiap insan. Tidak ada satu aspekpun yang diketepikan oleh ajaran Islam. Jika ada yang diketepikan, itu adalah masalah ‘Umat Islam’, bukan ajaran Islam.

Syari’at digariskan dalam usaha mencapai hakikat yang diinginkan. Islam bukanlah amalan ritual yang kosong daripada inti. Ia adalah sebuah agama yang diturunkan daripada Allah dan disampaikan kepada manusia melalui Rasulullah. Islam adalah aturan hidup makhluk yang digariskan sendiri oleh pencipta makhluk. Siapakah yang lebih mengetahui tentang ciptaan, selain daripada penciptanya? Pelik, manusia sering merasa diri lebih bijak dan lebih tahu tentang kehidupannya berbanding Allah. Firman Allah dalam beberapa ayat:

“Maka apakah mereka mencari agama yang lain dari agama Allah, padahal kepada-Nya-lah menyerahkan diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka maupun terpaksa dan hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan.” (Ali Imran: 83)

“Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu)daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (Ali Imran: 85)

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar takwa kepada-Nya; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” (Ali Imran: 102)

Islam memberikan penekanan yang seimbang antara kulit dan inti. Islam bukan agama ‘branding’ semata-mata. Boleh sahaja kita letakkan nama Islam pada aktiviti-aktiviti seharian kita, “Konsert Islam”, “Dinner Islam”, “Forum Islam”, “Senaman Aerobik Islam”, “Perubatan Islam”, dan sebagainya lagi. Namun jika aktiviti yang kita laksanakan lari daripada nilai-nilai Islam, tak ada maknanya. “Negara Islam” pun belum tentu Islamik jika hanya disandarkan pada istilah semata-mata. Maka kita perlu pergi lebih dalam untuk merealisasikan Islam dalam kehidupan. Sekalipun nama kita “MOHD MUSLIM”, tak ada nilainya jika hati kita kufur.

Islam Itu Universal

Islam mula berkembang di tanah Arab sehinggalah ia tersebar ke seluruh pelusuk alam. Adalah sesuatu yang pelik jika kita menisbahkan Islam pada sesuatu bangsa sahaja. Islam adalah rahmat bagi seluruh alam. Cuma perlu kita fahami bahawa Al-Quran itu diturunkan dalam Bahasa Arab, bukan bererti Islam hanya untuk bangsa Arab. Jika kita ingin mendalami Islam, maka usaha memahami bahasa Arab itu sangat perlu. Walaubagaimanapun, terdapat golongan Ilmuwan yang telah menghabiskan segenap kehidupan mereka untuk mendalami Islam dan menerangkan kepada masyarakat. Para Ulama’ ini terdiri daripada pelbagai bangsa di seluruh dunia, maka jika kita tak mampu memahami Al-Quran dan Hadith yang berbahasa Arab, rujuklah kitab-kitab yang telah ditulis oleh para Ulama’ demi menjelaskan kepada umat tentang Islam.

Sejak keruntuhan Khilafah Turki Uthmaniyah, Umat Islam dipecahkan mengikut geografi. Sifat universal Islam itu mula dicarik-carik oleh musuh Islam. Lahirlah Umat Islam yang merasakan bahawa Islam itu hak bangsa masing-masing. Impaknya, dakwah Islam menjadi lembap. “Islam itu hanya untuk orang Melayu”, sesetengahnya merasakan begitu. Lahirlah nabi-nabi palsu yang menambah sesat masyarakat. Musuh Islam terus bertepuk tangan dan menjadi penaja kepada golongan-golongan yang menambah sesat Umat Islam dan masyarakat manusia umumnya.

Kesimpulannya, don’t judge a book by it’s cover but don’t remove the cover of the book. Orang yang sekadar beramal namun tak menyelami dan menghayati adalah ibarat mencurah air di daun keladi, sedikitpun tak meninggalkan kesan. Di sebaliknya, kalau ada orang nak mencapai hakikat tanpa Syari’at, suruhlah dia tanam durian yang tak berduri.

Wallahua’lam.

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Bila Ibadah Hilang Manisnya

Ciptaan Agung: Jantung Yang Sentiasa Berdegup