Seputar Tentang Dakwah

Dakwah secara literal bererti menyeru dan mengajak. Apabila kita melihat pengertian yang lebih khusus bersangkutan dengan Islam, ia adalah satu urusan menyeru manusia kepada Allah dengan Hikmah dan teladan yang baik untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan jahiliah kepada cahaya Islam. Ia adalah satu proses yang telah berlaku, sedang dan akan terus berlaku sehingga hari kiamat, kerana ia adalah urusan Allah yang akan terus dipelihara-Nya. Sekalipun orang-orang yang berdakwah mati satu persatu, akan terus lahir di atas muka bumi ini orang-orang baru yang akan menanggung amanah tersebut. Kita juga menikmati Islam dan Iman pada hari ini setelah berlakunya proses Dakwah yang panjang sejak Rasulullah SAW dibangkitkan. Bahkan sebelum kebangkitan Rasulullah SAW lagi, telah berlaku proses dakwah oleh para nabi dan rasul sebelum baginda. Rasulullah SAW dibangkitkan sebagai pelengkap kepada dakwah para nabi dan rasul sebelumnya, dengan membawa sistem yang lengkap dan teratur, iaitu Islam itu sendiri yang berlandaskan Al-Quran dan Hadith.

Makanya, dakwah itu adalah sesuatu yang berkait secara langsung dengan sesiapa sahaja yang memeluk Islam. Peringkat kefahaman yang sempurna tentang Islam itu belum tercapai sekiranya kita masih belum memahami peranan kita sebagai seorang Da’i ilallah. Walaubagaimanapun, kita harus benar-benar faham akan luasnya skop dakwah, bukan hanya tertumpu pada aspek-aspek tertentu sahaja. Secara ringkasnya, dakwah itu merangkumi seluruh kehidupan kita dan ia akan mencorakkan cara hidup kita. Apabila kita memisahkan dakwah daripada mana-mana aspek dalam kehidupan, apakah kita masih bangga mengatakan bahawa kita hidup di jalan dakwah?

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Bila Ibadah Hilang Manisnya

Ciptaan Agung: Jantung Yang Sentiasa Berdegup