Perubahan Materi VS Perubahan Rohani

Hijrah seringkali dikaitkan dengan perubahan. Segala paparan sejarah berkenaan dengan kisah hijrah boleh dikatakan sudah diketahui umum. Walaupun tak semua yang mengetahui secara terperinci atau memahami hikmah di sebalik setiap peristiwa, namun umum mengetahui bahawa kisah hijrah menggambarkan sebuah perjalanan yang penuh dengan pengorbanan. Perpindahan yang menggambarkan bukti keimanan dan keazaman dalam perjuangan. Apabila kita mengimbau kembali sirah berkenaan dengan peristiwa hijrah, kita akan menyedari betapa hebatnya nilai ketamadunan Islam yang dibina daripada kesungguhan dan pengorbanan. Tak kurang juga kehebatan daripada segi strategi dan politik. Hijrah adalah sebuah momentum yang bukan dongengan, tapi dilakarkan oleh Rasulullah dan para sahabat 1431 tahun yang lalu. Ya, kisah lama yang segar dalam ingatan buat orang-orang yang mahu mengambil pelajaran.

Setelah 13 tahun menghadapi segala sepak terjang dakwah di Mekah, Rasulullah SAW dan para sahabat berhijrah ke Madinah dan di situlah tertubuhnya negara Islam pertama di bawah pemerintahan Rasulullah SAW sendiri. Perubahan demi perubahan berlaku terhadap dunia. Semakin ramai yang keluar daripada kesempitan hidup kepada keluasan Islam. Semakin ramai yang bebas daripada cengkaman hawa nafsu kepada kelapangan jiwa yang beriman. Hijrah adalah satu peristiwa besar yang menjadi pemangkin kepada kegemilangan Islam. Bukan senang untuk meninggalkan kampung halaman ke suatu tempat baru yang tidak pernah dikunjungi, tanpa keyakinan yang teguh terhadap Allah dan Rasul. Bahkan terpaksa melalui satu perjalanan yang sangat panjang dan sangat jauh hanya dengan niat yang satu iaitu untuk memastikan Kalimah Tauhid dapat tersebar ke seluruh muka bumi.

Jika kita meneliti dengan bersungguh-sungguh, kita akan memahami betapa hijrah itu menggambarkan kekuatan jiwa Rasulullah SAW dan para sahabat yang begitu luar biasa! Rohani generasi sahabat yang telah dididik selama 13 tahun di Mekah begitu teguh dan tegar sehingga sanggup untuk berhijrah bersama-sama Rasulullah SAW. Bukanlah perjalanan hijrah itu bertujuan untuk mengejar kekayaan dan materi dunia, tetapi untuk menggapai Redha Allah dan ketenangan jiwa. Mereka meninggalkan anak isteri dan kampung halaman, harta dan pangkat semata-mata untuk merealisasikan perintah Allah. Perubahan yang digambarkan dalam sirah yang agung ini adalah perubahan yang bersifat rohaniah. Setelah hijrah, para sahabat memperkuatkan jiwa mereka untuk terus menyebarkan dakwah Islam ke muka bumi walaupun dengan kekurangan harta kekayaan setelah semuanya ditinggalkan di Mekah.

Setelah terbinanya sebuah angkatan tentera Islam yang hebat dan unggul rohaninya, Allah telah mengaturkan peperangan Badar pada tahun kedua Hijrah. Di sinilah iman dan kekuatan jiwa para sahabat diuji dengan dahsyat. Kelengkapan materi yang dimiliki oleh tentera Islam tersangat jauh jika dibandingkan dengan kelengkapan tentera Kafir Quraisy pada ketika itu. Namun, Allah ingin menunjukkan kepada Umat manusia bahawa tidak ada nilainya kekuatan materi itu tanpa keimanan dan ketakwaan kepada-Nya. Tidak ada gunanya perubahan-perubahan materi yang kita lakukan jika tidak ada peningkatan rohani yang sentiasa mentauhidkan Allah dengan sepenuh jiwa. Sekitar 300 tentera muslimin bertempur dengan 1000 tentera kafir, kemenangan tetap di pihak Umat Islam yang materinya begitu terhad dan tidak sehebat tentera kafir. Itulah hakikat yang telah dilukiskan dalam sejarah dan tak boleh disangkal lagi.

Masalahnya bukan pada materi, tapi pada rohani. Jika sekalipun kita memiliki harta seluas langit dan bumi, belum tentu kita dapat mengecap kemenangan dan kenikmatan yang kekal abadi. Materi ibarat kulit buah, rohani adalah isinya. Tak guna kulit yang cantik jika isinya rosak. Namun isi juga tak wujud dengan sendiri tanpa kulit. Alangkah bagusnya kalau kita dapat konsisten dalam pembinaan rohani dan dalam masa yang sama semakin maju dari sudut materi. Kesimpulannya, kuatkanlah sudut kerohanian diri agar materi yang dimiliki tidak membawa kepada kehancuran. Bukan salah materi, tapi salah diri sendiri. Seharusnya ada sinergistik antara kekuatan rohani dan kekuatan materi.

Wallahua’lam…

Comments

Popular posts from this blog

Bila Yang Dikejar Itu Dunia

Manusia Sengal

Begin with the end in mind