Sinergi Tua dan Muda

Kita mungkin pernah mendengar orang-orang muda berbicara begini: “Orang-orang tua ni susah sikit. Mereka ni kolot. Susah nak terima pendapat orang lain. Asyik-asyik dengan teori lama dan tak relevan dengan zaman kini. Biarlah mereka dengan cara mereka. Lambat dan tak proaktif.” Dalam masa yang sama, orang-orang tua pula berbicara begini: “Orang-orang muda ni semangat mereka lebih sikit, susah nak kawal. Kita bagi nasihat pun tak mahu dengar. Biarlah mereka dengan cara mereka. Kita nak tengok setakat mana mereka punya kepandaian.” Haruskah begitu?

Kitaran Antara Tua dan Muda

Adakah orang muda akan kekal muda atau adakah mereka juga suatu hari nanti akan menjadi tua? Sebaliknya, adakah orang tua tidak pernah melalui masa muda hidupnya? Itulah kitaran yang akan berlaku. Orang muda pasti akan menjadi tua dan mungkin mengeluarkan pernyataan yang sama kepada orang muda di bawah mereka. Ketika orang tua melalui usia muda mereka dahulu, mereka juga mungkin tak sehaluan dengan golongan tua ketika itu. Sampailah pernyataan yang berunsur perpecahan itu terus berulang-ulang, generasi berganti generasi, usia berganti usia. Seolah-olah kita tidak pernah belajar sesuatu daripada kitaran tersebut.

Antagonistik vs Sinergistik

Jika kita mengambil hubungan antara tua dan muda sebagai sesuatu yang antagonistik, kelak kita akan menemui perbezaan yang ketara dan mencari-cari jalan untuk saling menyalahkan. Maka kita akan sentiasa menemui kesukaran dalam menyatukan antara tua dan muda. Boleh jadi sampai ke peringkat semua perbuatan orang muda dilihat salah oleh orang tua dan juga sebaliknya. Hinggakan ia menjadi satu sentimen yang menyulitkan perkembangan sesebuah masyarakat dan negara. Isu ini bermula daripada peringkat kecil, sesebuah keluarga, hinggalah ke peringkat tinggi, pimpinan negara. Jadi, kita harus bagaimana?

Kita harus mengambil hubungan antara tua dan muda secara sinergistik. Segala idea dan semangat yang ditonjolkan oleh golongan muda harus dipandu dan diberikan nasihat oleh golongan tua. Inilah yang disebut sebagai “Hikmah Orang Tua dan Semangat Orang Muda”. Apabila ini yang berlaku, maka elemen perpecahan itu tidak akan menjadi sesuatu yang utama. Apa sahaja yang kita lakukan adalah demi kebaikan dan bukan pada dasar sentimen usia dan generasi yang berbeza. Ibarat laut dan pantai yang berbeza komponennya namun tetap bersatu dan bekerjasama. Juga ibarat langit dan bumi yang berbeza namun beroperasi dengan teratur dan harmoni. Bukankah begitu?

Unity in Diversity

Dalam dunia ini terdapat berbilion-bilion manusia. Semestinya pemikiran dan pendapat juga pelbagai dan tidak semestinya stereotaip kepada sesuatu sudut atau perspektif. Begitu juga antara golongan tua dan muda. Semestinya zaman muda yang dilalui oleh golongan tua sekarang berbeza dengan zaman sedia ada yang sedang dilalui oleh golongan muda. Ia memberi impak kepada cara fikir dan bertindak yang semestinya ada perubahan berbanding zaman terdahulu. Oleh itu, sangat sukar untuk kita melahirkan satu “Persatuan dalam Persamaan” ataupun unity in uniformity. Sebaliknya, kita harus memikirkan bagaimana kita bisa mewujudkan “Persatuan dalam kepelbagaian” ataupun unity in diversity.

Pada zaman Rasulullah dan para sahabat juga ada tercatat tentang isu ini. Umar dengan karakternya yang garang dan tegas tidak pula berpecah dengan Abu Bakar yang lebih bersikap lemah lembut. Begitu juga ada para sahabat yang hebat dalam strategi peperangan, ada yang hebat ekonomi, ada yang hebat dalam memimpin, ada juga yang dipesan oleh Rasulullah untuk tidak memimpin walaupun dua orang. Ada golongan muda dan ada golongan tua. Walaupun pendapat mereka ada yang berbeza, namun ia sedikitpun tidak menjejaskan usaha mereka ke arah mencari redha Allah dan menjaga ukhuwwah sesama mereka. Itulah generasi contoh yang wajar kita teladani.

Kesimpulannya, janganlah yang muda berbicara seolah-olah mereka tidak akan menjadi tua dan jangan pula yang tua berbicara seolah-olah mereka tidak pernah muda…Ayuh kita bersatu dan mencari jalan terbaik dalam melangkah ke arah kejayaan.

Wallahua’lam.

Comments

Popular posts from this blog

Bila Yang Dikejar Itu Dunia

Manusia Sengal

Begin with the end in mind