Islam Menyatukan Hati-hati

Apa yang terjadi di Palestin hari ini atau lebih spesifik lagi di Gaza merupakan sesuatu yang tidak mungkin diredhai oleh Umat Islam sedunia melainkan mereka yang benar-benar buta dalam melihat situasi atau masih meletakkan mind-set bahawa krisis yang sedang berlaku adalah permasalahan bangsa Arab. Tak kurang juga yang masih terkapai-kapai mencari punca dan gagal melihat isu ini berkait dengan kita sebagai seorang manusia bahkan sebagai seorang muslim dan mukmin. Jenayah dan penjajahan yang sedang berlaku di Palestin merupakan suatu kekejaman yang langsung tidak layak berlaku pada era ini dan bertentangan yang amat sangat kepada konsep “Human Rights” yang mereka perjuangkan.


Mengapa ini berlaku? Sudah tentu kerana serangan yang dilancarkan oleh zionis tidak hanya melanda Palestin, bahkan serangan ini telah menjangkau secara lebih halus ke dalam jiwa-jiwa dan pemikiran Umat Islam. Mungkin bangunan-bangunan kita masih kukuh tapi jiwa kita ketakutan dan penuh dengan keraguan terhadap agama. Golongan pemuda yang menjadi nadi kepada kebangkitan Umat telah diracuni dengan pelbagai bentuk ideologi dan kefahaman yang dibawa masuk ke dalam masyarakat secara sedar mahupun tidak. Dalam pada kita tidak menyediakan apa-apa kekuatan bahkan semakin lemah, Yahudi dengan licik membuat perancangan rapi untuk memusnahkan kita. Ini bertentangan dengan tuntutan Al-Quran seperti firman Allah:
“Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah dan musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalasi dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” (Al-Anfaal, 8:60)
Inilah sebabnya Israel ataupun Zionis khususnya telah berani bertindak sewenang-wenangnya terhadap bumi Hak Milik Umat Islam Sedunia itu! Kerana mereka tahu bahawa di belakang mereka terdapat ramai pemuda-pemuda Islam yang telah seangkatan dengan mereka dari sudut pemikiran dan perasaan. Lihatlah situasi masyarakat sekarang yang disibukkan dengan benda-benda yang tidak sepatutnya, permasalahan sosial yang semakin menjadi-jadi. Ini bukan permasalahan biasa jika dilihat daripada perspektif agama dan dinilai secara teliti. Ada elemen tertentu yang telah merubah cara hidup kita. Bahkan kita membuang usia menjadi pengikut kepada perancangan yang dilancarkan oleh Yahudi dan sekutunya Amerika Syarikat!

Lihat sahaja pada produk-produk yang dibawa masuk ke dalam masyarakat yang turut membawa bersama cara hidup mereka atau “Lifestyle“. Sehinggalah media-media yang saban hari mengatur rancangan kehidupan masyarakat. Elemen-elemen yang dilihat biasa oleh kita telah mencabut jati diri kita secara halus dan berperingkat. Filem-filem yang dibawa masuk mencerminkan kehebatan mereka walaupun dalam keadaan melanggar perintah-perintah Allah. Sehinggalah kewujudan laman web-laman web lucah yang memandulkan pemikiran anak muda dan melemahkan iman masyarakat. Di sinilah hilangnya identiti kita sebagai Muslim dan Mukmin dan di sinilah terbinanya kekuatan Zionis dalam menghancurkan lagi masyarakat keseluruhannya.

Oleh itu, apabila kita menyebut tentang penyatuan, ia bukan melibatkan penyatuan yang bersifat emosi dan tidak berdasar. Orang-orang eropah turut membela penduduk Palestin atas dasar “Human Rights“, bahkan kita harus lebih proaktif dalam menonjolkan penyatuan kita dengan Rakyat Palestin dan Bumi Palestin kerana kita lebih berhak ke atasnya. Kita lebih berhak untuk mempertahankan kesucian Kiblat pertama Umat Islam, dan kita lebih berhak untuk merasa sangat sedih dan terpanggil dengan apa yang berlaku. Kita lebih berhak untuk berdoa di setiap Solat Fardu dan Tahajjud akan kemenangan Umat Islam keseluruhannya.

Jika bukan pada dasar Iman kita bersatu, jika bukan pada dasar iman kita mempertahankan Palestin, jika bukan atas dasar iman kita menganjurkan perhimpunan aman dan demonstrasi untuk menunjukkan penyatuan dengan Rakyat Palestin, maka tak ada bezanya kita dengan orang lain yang sekadar memperjuangkan “Human Rights“. Sedarlah bahawa perjuangan kita memerlukan kepada inti iman yang teguh dan kukuh yang tertancap kuat di dalam hati. Jika tidak, kita ibarat tin kosong yang kuat berbunyi bila diketuk namun kosong di dalamnya. Yang kuat menjerit dan melaungkan sokongan terhadap rakyat Palestin dan Gaza, namun hari-hari kita berlalu dengan keadaan iman kita semakin hancur dan dirobek-robek. Pada ketika itu, atas dasar apa kita berjuang?

Maka saya menyeru kepada diri sendiri dan kepada semua Umat Islam khususnya pemuda-pemuda Islam yang jiwanya penuh semangat dan membara, marilah kita mendasarkan perjuangan dan penyatuan kita hanya kerana Allah dan atas dasar Iman. Semoga Allah memenangkan Umat Islam. Ingatlah bahawa untuk mendapat pertolongan Allah, kita perlu berusaha keras menolong agama-Nya. Firman-Nya:
“Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Muhammad, 47 : 7)
Jadikanlah Pemuda Kahfi sebagai teladan dalam mempertahankan iman dan dakwah mereka. Sepertimana Firman Allah:
“Kami kisahkan kepadamu (Muhammad) cerita ini dengan benar. Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk.” (Al-Kahfi, 18:13)

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Bila Ibadah Hilang Manisnya

Ciptaan Agung: Jantung Yang Sentiasa Berdegup