Posts

Showing posts from 2011

Allah Memberikan Apa Yang Kita Perlu

Image
Kita selalu fokus kepada apa yang kita mahu, dan berdoa kepada Allah agar diberikan apa yang kita inginkan. Apabila Allah belum makbulkan, yakinlah bahawa Dia lebih tahu. Sesungguhnya, Dia memberikan kepada kita apa yang kita perlukan, sekalipun kita sering meminta apa yang kita mahukan. Kita inginkan kesihatan yang berpanjangan. Namun, jika kesakitan itu lebih kita perlukan agar kita kembali ingat kepada Allah, maka Dia akan mendatangkan kesakitan. Kita mahukan kekayaan. Jika kekayaan itu buruk bagi kita dan membuatkan kita lupa kepada-Nya, maka Dia mendatangkan pula kesusahan. Sebagai seorang hamba, begitulah kita seharusnya menyikapi ketentuan Allah. "...Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." (Al-Baqarah, 2: 216) Betapapun anak kecil meraung-raung meminta agar ibubapanya menunaikan sesuatu yang sangat ia inginkan, ibuba...

Bila Tarbiyah Difahami Sebatas Halaqah

Image
"Kenapa ya setelah bertahun-tahun berhalaqah tetapi masih belum mampu melahirkan seorang da'i yang komited, peribadi yang solid ?" Tiba-tiba soalan tersebut terpacul daripada mulut seorang teman seperjuangan, yang kelihatan bersungguh bertanya, sambil matanya berkaca-kaca memikirkan dengan mendalam. "Mungkin, kerana kebanyakan murabbi memahami tarbiyah sebatas halaqah dan program-program", spontan dia sendiri yang memberikan pandangan. "Betul, setuju", jawabku ringkas. Lamanya berada dalam proses tarbiyah belum menjamin keberhasilan jika prosesnya hanya terhenti setakat di halaqah dan program-program tanpa memerhatikan secara teliti karakter-karakter anak-anak buah yang dibina. Dalam persoalan ini, teman tadi berkongsi kata-kata yang pernah didengarnya daripada teman lain, "tarbiyah itu bermula setelah tasbih kaffarah dan berlangsung sehingga al-fatihah", kata-kata yang menggambarkan pentingnya pembinaan yang berterusan di luar halaqah. Kit...

Merealisasikan Impian Sang Da'i

Image
Impian yang tak disusuli amal itu adalah jauh daripada realiti. Suatu malam saya duduk-duduk bersama beberapa teman, dan bertanyakan kepada mereka, "apakah yang kalian impikan dalam masa 10 tahun akan datang tentang keadaan Umat ini?". Jawapannya pelbagai, ada yang inginkan gejala sosial dalam apa juga bentuk, terus berkurang dan ditangani, ada yang inginkan bahawa tidak ada penindasan berlaku terhadap satu sama lain. Ada pula yang menginginkan bahawa Islam itu menjadi tertinggi dan diamalkan oleh seluruh masyarakat. Ya, semuanya inginkan kebaikan, dan perubahan ke arah masyarakat yang lebih soleh. Sebuah masyarakat yang bertaqwa kepada Allah, dan kembali kepada Al-Quran dan Sunnah. Jawapannya sudah diduga. Tidak ada seorangpun yang inginkan keadaan menjadi lebih buruk, melainkan orang-orang yang memang niatnya membawa kerosakan ke atas muka bumi. Soalan tadi disusuli dengan soalan kedua, "apakah yang telah kalian lakukan untuk merealisasikan impian-impian tersebut...

Pencinta Maksiat

Image
Maksiat. Mulanya ia dibenci, dijauhi. Kemudian dicuba, terasa nikmatnya. Lalu ketagih, menjadi rutin. Lama-kelamaan, iapun dicintai, melekat di dalam hati. Sehingga akhirnya diri menjadi pembela dan pendokong maksiat. Dokongannya tak disebut, tapi amalnya menggambarkan kecintaan yang tak berbelah bahagi pada maksiat yang telah melekat di hati. Benarlah bagai dikata, bersabar untuk tidak melakukan maksiat itu lebih mudah daripada bersabar untuk tidak mengulanginya . Bagaimana jiwa yang mencintai maksiat akan mampu mencegah orang lain daripada melakukannya, ketika diri sendiri sering kali terjebak ke dalamnya? Hati yang menanam cinta pada maksiat menahan anggota daripada beramal untuk menyekatnya. Mungkin maksiat yang dilakukan itu sembunyi-sembunyi, dan kecintaan itu tak dinampakkan kepada orang lain. Namun kesannya besar pada keteguhan hati. Langkah seringkali terhenti saat ingin melarang orang lain melakukannya. "Aku juga melakukan ini." Hati tak terasa terpanggil untuk ...

Masa Pasti Berlalu

Allah punya hak untuk kita tunaikan di malam hari yang tidak diterima-Nya di siang hari. Begitu juga Dia punya hak untuk kita tunaikan di siang hari yang tidak Ia terima di malam hari. Begitulah wasiat Abu Bakar sebelum beliau meninggal dunia. Setelah berkumandangnya azan Subuh, maka tamatlah masa qiamullail pada hari itu. Begitu pula berakhirnya asar setelah berkumandangnya azan Maghrib. Bagi setiap sesuatu ada masanya dan terhad sehingga waktu yang tertentu. Betapapun kita mencintai kehidupan ini, masanya pasti berlalu dan akan tiba masa kematian. Kematian yang datang secara tiba-tiba itu juga akan berlalu dan diteruskan pula dengan masa perhitungan amal. Setelah selesai perhitungan dan ditentukan destinasi akhir kita, maka bermulalah masa yang kekal selama-lamanya. Allah telah mengingatkan kita tentang dekatnya masa perhitungan amal kita. Firman-Nya: " Telah hampir datangnya kepada manusia hari perhitungan amalnya sedang mereka dalam kelalaian, tidak hiraukan persediaan ...

Ciptaan Agung: Jantung Yang Sentiasa Berdegup

Apabila kita menyedut udara masuk ke dalam paru-paru, gas oksigen akan diserap dan larut ke dalam darah. Darah beroksigen ini akan masuk ke partition kiri atas ( left atrium ) jantung melalui pulmonary vein . Darah yang masuk ke partition ini kemudian dipam ke partition kiri bawah ( left ventricle ). Di antara dua partition ini terdapat injap yang memastikan darah tidak berpatah balik dan bergerak unidirection . Darah kemudian dipam keluar daripada jantung melalui aorta . Darah ini dibawa ke seluruh bahagian badan yang lain (selain paru-paru) untuk membekalkan oksigen. Sel-sel dalam badan menggunakan oksigen dan menghasilkan karbon dioksida untuk dikeluarkan daripada badan. karbon dioksida ini diserap dan larut ke dalam darah, kemudian dibawa ke partition kanan atas ( right atrium ) jantung melalui vena cava . Darah yang datang daripada bahagian atas badan akan melalui superior vena cava, dan darah daripada bawah badan akan melalui inferior vena cava. Darah kemudian dipam ke ...

Mengorbankan Kepentingan Peribadi

Kepentingan sendiri tidak diingini Bahagia kekasih itulah yang diharapi.. Sekali lagi saya petik bait-bait kata daripada lagu P.Ramlee. Ini adalah kesinambungan post Berkorban Apa Saja yang saya tulis tempoh hari. Jika tempoh hari saya menyentuh tentang mengorbankan harta dan jiwa, maka kali ini saya nak menulis tentang mengorbankan kepentingan sendiri demi kebahagiaan Kekasih. Kekasih yang ingin saya highlight kan di sini ialah Allah dan Rasul, secara langsung berkait dengan agama dan ummah. Ibubapa juga adalah sebahagian daripada kekasih, yang kita harapkan kebahagiaannya. Saudara-saudara seagama kita juga adalah kekasih-kekasih kita. Jika kita inginkan kebaikan dan ganjaran yang besar, kita harus siap mengorbankan sesuatu yang bersifat peribadi demi meraih keredhaan Kekasih tadi. Beratnya, tidak dapat disangkal. Namun, untuk suatu jangka masa yang lebih panjang, kita akan mampu merasai hikmah dan kebahagiaan dalam kehidupan. Yakinlah akan perkara ini. Kerana sesungguhn...

Berkorban Apa Saja

Pengorbanan adalah nadi perjuangan. Ketika tiada lagi orang yang sanggup berkorban, maka perjuangan menjadi lesu dan kehilangan ruhnya. Berkorban apa saja harta ataupun nyawa itulah kasih mesra sejati dan mulia. Itulah bait-bait yang saya petik daripada lagu P.Ramlee. Daripada perspektif peribadi, saya melihat terdapat hikmah besar yang tersusun dalam bait-bait kata ini, tentang PENGORBANAN. Beliau menyebut tentang aspek pengorbanan yang meliputi harta dan nyawa/jiwa. Allah telah menggariskan tentang perjuangan di jalan Allah yang harus disertakan dengan pengorbanan harta dan nyawa. Dalam surah At-Taubah, ayat 111: "Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan surga untuk mereka..." Begitu juga dalam ayat-ayat berikut: "Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta, benda dan diri mereka , adalah lebih tinggi derajatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang...

Rahmat Sebalik Ujian

Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan Al-Quran kepada hamba-Nya, yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kita, siapa di antara kita yang TERBAIK amalnya. Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. Allah telah memuliakan manusia sebagai sebaik-baik ciptaan. Dia menghantar Rasul-Nya untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya terang benderang, menuju Tuhan. Maha Suci Allah yang menciptakan segala sesuatu dengan tujuan dan bersebab. Telah bertasbih kepada Allah segala yang ada di langit dan di bumi, dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, yang telah dihantar oleh Allah kepada Umat Manusia sebagai satu anugerah, membawa Rahmah ke seluruh pelosok alam. Demi Allah, sungguh tidak akan sesat orang yang berpegang pada tali agama Allah, menggigit Al-Quran dan Sunnah dengan gigi gerahamnya dan dia sama sekali tidak pernah mencari selainnya sebagai sesuatu yang lebih agung dan lebih utama. Hidup...

Bersangka Baik Kepada Allah

Image
Kita, adalah hamba selama-lamanya. Dia, adalah pencipta yang wujud sejak azali. Sehebat manapun kita rasakan tentang diri sendiri, kita takkan pernah mampu menandingi sekecil-kecil ciptaan-Nya, walau seekor nyamuk. Dia maha adil, tidak menzalimi manusia. Manusialah yang selalu menzalimi diri sendiri. Ketika kita ditimpa musibah, perkara pertama yang harus kita hindarkan adalah mengeluh. Keluhan merupakan refleksi kepada kekesalan kita terhadap takdir Allah . Dalam ertikata lain, kita melahirkan rasa tidak puas hati dengan penguasa yang Maha Mengetahui. Tapi susah kan? Sebaik ditimpa masalah, dilanda musibah, senang sangat terkeluar daripada mulut, "aduh...kenapalah jadi macam ni...?". Sebaik sahaja kita mengucapkan perkataan tersebut, tampillah syaitan meragu-ragukan hati, menghasut agar kita terus bersangka yang tidak-tidak kepada Allah. Jika kita cepat tersedar, Alhamdulillah. Jika tidak, kita akan dirundung kesedihan yang berpanjangan. Instead of saying that , kita c...

Kegagalan, Anak Tangga Kejayaan

Image
Kegagalan adalah sesuatu yang tidak pernah diharapkan oleh sesiapapun, meskipun ia akan tetap berlaku dan dihadapi dalam kehidupan. Sehebat manapun kita berusaha menolaknya, ia seolah-olah mengekori kita dan menunggu masa untuk berlaku. Tidak bermaksud pula bahawa kita harus berpuas hati dengan kegagalan dan membiarkan ia berlaku, namun ini tentang bagaimana kita memandangnya, dan menghadapinya. Saya pernah gagal, anda juga pernah gagal. Saya pernah dengar kata-kata, kegagalan adalah kejayaan yang ditangguhkan . Menarik, saya setuju. Kejayaan yang tidak didahului dengan kegagalan, sukar dirasakan kemanisannya. Bahkan mungkin sukar dihargai sesetengah orang, sehingga mereka terus give-up ketika kejayaan itu lenyap tiba-tiba. Mungkin juga tak mampu terima bahawa mereka telah GAGAL! Nanti dulu, jangan kecewa dengan terlampau dahsyat (kecewa tu terdetik tak dipinta). Ibarat mendaki gunung, ada ketika kita harus menuruni lembah sebelum sampai kepada bahagian pendakian seterusnya. Be...

Ke Mana Kau Bawa Hatimu?

Hati ini kubawa melayari lautan gelora dalam bahtera yang sudah lama berlabuh pergi meninggalkan titik mulanya hidup ini bersama impian-impian yang makin membesar merentas samudera kehidupan yang diliputi ketidakpastian hujungnya kabur, tak tergambar hentiannya di mana namun bahtera ini terus menerjah gelombangnya ketika tenangnya, hati ini berbahagia ketika hempasannya dahsyat, hati ini bergoncang. Andai saja lautan ini terus tenang tak bergelora tentu aku lalai, dan asyik dengan belai samudera andai saja aku gagal menempuh tiap gelombang yang melanda tentu aku binasa, bersama hati yang kubawa.   Hati ini, dalam bahteranya, akulah nakhoda aku dilepas berlayar menuju sebuah destinasi untuk mempersembahkan hati ini kepada pemiliknya lalu aku menanti perhitungan penguasa mungkinkah ia tiba dengan sejahtera atau terlihat penuh cemar dan noda? Masih jauh lagikah pelabuhan itu? aku tak pernah tahu aku cuma pasti bahawa samudera ini bukan destinasi ada sesuatu ya...

Jurang Antara Ilmu Dan Amal

Image
"Andai saja jurang itu tiada, hancurlah nifaq di dalam dada" Antara ilmu dan amal itu ada jurang. Boleh jadi jurangnya itu terlalu dalam sehingga tak bertemu keduanya. Ibarat puncak gunung dan dasar laut. Ilmu adalah sesuatu yang tersimpan, dan amal itu sesuatu yang terlihat. Belum tentu yang terlihat itu didasarkan kepada ilmu, atau yang tersimpan itu melahirkan amal. Begitulah fenomena yang berlaku sekarang. Jurang terlalu besar antara ilmu dan amal. Umum mengetahui bahawa solat 5 waktu itu wajib, namun ramai yang masih meninggalkannya. Ilmu itu tidak melahirkan amal, iaitu komited dengan solat. Tak kurang juga yang  beramal tanpa ilmu, tanpa faham akan amalannya. Dek kerana itu, Hassan Al-Banna menekankan faham atas amal. Untuk memahami, kita harus memiliki ilmu. Namun ilmu tanpa amal ibarat pohon tanpa buah. Ramai yang boleh berceramah, memberi tazkirah, namun tidak mengerjakan apa yang dikatakannya. Ingatlah dan sedarlah akan firman-Nya: " Amat besar kebenci...

Mujahadah Mencari Redha Allah

Image
Orang-orang yang berjihad disebut Mujahid . Seorang Mujahid akan sentiasa mujahadah . Mujahadah ertinya bersungguh-sungguh, berazam, berusaha sehabis baik dengan mengerahkan seluruh potensi yang ada. Ia mudah disebut tapi tak mudah direalisasikan. Kerana itulah orang-orang yang berjihad benar-benar akan diberikan petunjuk oleh Allah atas kesungguhan dan keazaman yang dibuktikan dengan amal . Hanya orang-orang yang mujahadah dapat memahami erti kesabaran dan kesusahan . Tidak ada perjuangan tanpa mujahadah. Tidak ada mujahadah tanpa kesabaran. Kita perlu bermujahadah dalam melaksanakan perintah Allah, juga bermujahadah dalam meninggalkan larangan-Nya. Apabila kita telah melaksanakan mujahadah yang benar, pasti kita akan diberikan petunjuk oleh Allah. Itulah janji Allah, Allah pasti bersama dengan orang-orang yang berbuat baik. Dalam kehidupan ini, terlalu banyak perkara yang memerlukan kita untuk memilih, dan jalan yang dibentangkan kepada kita tak semuanya enak dan mudah untuk dip...

Selagi Ada Waktu...

Image
Bismillahirrahmaanirrahiim. Lama sunggu rasanya tak menulis. Alhamdulillah, masih ada ruang dan kesempatan untuk berkongsi sebutir dua kata-kata. Saya mula menulis di blog ini, hampir sama waktunya dengan saya mula belajar di UIA Kuantan, sejak 2007. Cepat sekali rasanya waktu berlalu, sekarang dah 2011. Sedar tak sedar, dah dekat 4 tahun lamanya. Besok, insyaALLAH akan menduduki peperiksaan terakhir (jika tak ada yang gagal, hehe) untuk sepanjang tempoh pengajian ijazah di UIA Kuantan. Bila melihat abang-abang senior yang dah graduate , yang dah bekerja atau sambung master , rasa muda lagi diri ni. Bila tengok pulak adik-adik yang baru semester 1 menduduki peperiksaan, rasa macam dah veteran pula. Kitaran hidup ini, begitulah... Bila kita belum melalui sesuatu, kita rasa nak cepat je sampai. Bila kita dah melepasinya, kita rasa macam nak kembali balik kepada titik asal, kerana nak melakukan lebih baik daripada apa yang kita telah lakukan. Nak menebus segala kelalaian dan nak ...

Pasti Terjadi

Penantian berapa lamapun ia tetap akan tiba ke hujungnya apabila yang dinanti, terjadi Kejadian betapa jauhpun ia pasti berlaku apabila telah ditentukan Masa bukan menidakkan ketentuan baik singkat dan dekat atau jauh berselirat Berangan-angan pada sesuatu yang belum pasti selalu melalaikan hati daripada sesuatu yang pasti terjadi Kehancuran dunia pengakhiran usia perhitungan di sana pasti terjadi Sehingga kita pasti menempatinya syurga atau neraka. “Maka apabila mata terbelalak (ketakutan), dan apabila bulan telah hilang cahayanya, dan matahari dan bulan dikumpulkan, pada hari itu manusia berkata: “Ke mana tempat berlari?” sekali-kali tidak! Tidak ada tempat berlindung! Hanya kepada Tuhanmu sajalah pada hari itu tempat kembali.” (Al-Qiyaamah: 7-12)

Kemenangan Adalah Milik Allah

Kemenangan adalah milik Allah. Jika Dia belum mahu memberikannya kepada kita, maka kita takkan pernah memperolehnya. Kita selalu tertipu. Merasakan bahawa kemenangan itu milik kita, hak kita, bahawa dengan segala amal dan usaha yang kita lakukan, kita pasti menang. Sehinggakan kita terkeliru, tersilau mata. Memfokuskan kepada kemenangan, bukan pada amal dakwah yang berterusan. Kita harus memahami realiti dakwah. Ia bersifat Robbani. Kita menyeru manusia kepada Allah, menegakkan hukum-hukum Allah. Dakwah ini bukan milik kita, ia adalah amanah. Amanah yang wajib kita sandarkan kepada-Nya. Apabila Dia menentukan bahawa sudah tiba masanya kita menang, maka pasti tidak ada yang dapat menghalang. Jika masih belum nampak bibit-bibit kemenangan, kita harus terus beramal dan berjihad tanpa sedikitpun meragui akan kehendak Allah. Maka kemenangan, adalah sebuah anugerah Allah. Apabila Allah memberikannya kepada kita, itu bererti sudah selayaknya kita memperolehnya. Jika belum, ertinya kita be...

Empati Terhadap Dakwah

Daripada begitu ramai Umat Islam yang berada di atas muka bumi ini, hanya sedikit sekali yang benar-benar memahami akan tuntutan untuk berdakwah. Sedikit pula daripada yang faham itu yang benar-benar menjadikan dakwah sebagai misi besar dalam hidupnya. Daripada golongan ini, ada yang tetap teguh dengan misinya dan bergelumang saban hari demi melaksanakan kewajipan tersebut, ada yang selalu lalai daripada tanggungjawabnya. Kita, berada dalam golongan yang mana? Adakah kita merasa cukup dengan berpesan kepada teman-teman yang aktif berdakwah, “bagus kerja kalian ini, saya suka dan seronok tengok kalian menyeru orang ke arah kebaikan” , lantas kita berlalu menjalani hidup dengan penuh keselesaannya? Allah tidak memerlukan simpati kita. Tanpa kita memberikan rasa simpati, Islam tetap akan dimenangkan. Allah pasti memilih golongan yang benar-benar qowi (kuat) untuk menggalas misi dakwah yang sifatnya berterusan sampai ke hari kiamat. Adapun golongan-golongan yang bersimpati, harus terus...

Awas Dengan Emosimu

Obsesi untuk mendapatkan sesuatu kadang membuatkan kita lupa menghargai apa yang ada di sisi kita. Janganlah kebendaan merosakkan kemanusiaan. Janganlah kerana seekor nyamuk yang tidak dapat kita bunuh, kita membakar kelambu yang selama ini menjaga kita tanpa sedikitpun memikirkan jasanya. Luka yang ada di tangan kita selalu terasa lebih perit daripada luka yang tercalar di hati orang lain. Emosi yang menguasai diri selalu membuatkan kita gagal memahami emosi orang lain. Kita sering merasa hangatnya airmata di pipi sendiri, sehingga tak terlihat bergenangnya airmata di kelopak mata orang lain. Wanita memerlukan perhatian, lelaki juga tak mahu disisihkan. Jika wanita memberi perhatian dengan turut menyatakan empati, lelaki memberi perhatian dengan nasihat dan memberikan pandangan yang lebih objektif. Mungkin juga sebaliknya. Ketika kita menuntut perhatian daripada orang lain, mungkin kala itu dia juga memerlukan perhatian. Cara seorang ibu dan seorang ayah memberi perhatian tentu ta...

Bila Rosak

Bila rosak semua sesak cakap banyak mendesak-desak Tuduh sana sini anak isteri belum dibaiki lupa diri seronok sendiri Bila elok semua suka bila rosak semua mengata Nak baiki... bila lagi? 5 Januari 2010

Suatu Saat

Image
Betapapun manusia ingkar berbuat mungkar bertindak tidak wajar menjadi fujjaar pasti suatu saat dia gusar walau sebentar ketika dia tersedar bahawa Allah itu Maha Besar... 3 Januari 2011