06 December 2016

Tempuh

Tempuh
Adalah sebuah kemestian
Bagi mereka yang mahu ke depan

Tempuh
Berbeza laluan bagi setiap insan
Asasnya berpaksikan keberanian
Menempuh perjalanan tanpa kepastian
Apakah impian akan diraih ke genggaman

Tempuh
Tidak bisa dengan alasan
Tidak bermakna dengan separuh jiwa
Tidak sepi daripada pengorbanan
Tidak putus daripada tentangan

Tempuh
Biar panjang asalkan tenang
Biar sukar asalkan tekad
Biar goncang asalkan terus

Tempuh
Adalah sebuah kemestian
Bagi mereka yang ingin bertemu Tuhan

Barangsiapa menempuh suatu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan mempermudah baginya jalan ke SYURGA

04 December 2016

Begin with the end in mind

Saya petik ungkapan ini daripada penulis barat, Stephen Covey. Begin with the end in mind. Bagi mereka yang memahaminya, tentu merasakan betapa dalam hikmahnya. Bahawa kita perlu jelas akan tujuan atau matlamat akhir sebelum memulakan langkah awal.

Berabad-abad sebelumnya, Umat Islam telahpun diajar bahawa setiap amal tergantung niatnya, bagi setiap orang apa yang ia niatkan (Hadith). Sebuah peringatan yang datang setelah berlalunya sebuah ekspedisi hijrah yang sangat sukar. Walaupun sama-sama menempuhinya, namun matlamat akhir membezakan nilainya.

Kejelasan niat dan tujuan akhir sebuah kehidupan itu diterapkan dengan begitu dalam bagi seorang Muslim. Bahawa solatnya, ibadahnya, hidupnya dan matinya adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam. Bahawa ia akan dihadapkan di hadapan Allah untuk diperlihatkan segala catatan amalnya, tidak terkecuali seorangpun.

The end in mind yang menjangkaui the end of life. The end in mind yang dikuatkan dalam dirinya 5 kali sehari, paling kurang.

Apa the end in mind kita dalam menempuh hidup sekarang?

Betapa gagahnya Rib'i Bin Amir menghadap jeneral Rustum mengumandangkan seruan ke arah keluasan akhirat dan mengajak keluar daripada kesempitan dunia. Kerana the end in mind nya begitu jelas dan kukuh.

Demikian juga kisah dua orang sahabat yang berdoa sebelum peperangan, bahawa mereka ingin Allah mengurniakan kepada mereka mati syahid dengan cara yang spesifik, dipotong bahagian-bahagian badan yang tertentu. Dan mereka mendapatkan kurnia tersebut daripada Allah.

Begitu juga kisah seorang sahabat yang ditawarkan dengan hasil rampasan perang, namun menolaknya dengan ungkapan yang luar biasa, bahawa bukan itu yang ia inginkan bersama Rasulullah. Sebaliknya beliau menunjukkan lehernya, sebagai isyarat menginginkan mati syahid, lalu berlalu pergi. "Jika beliau benar dengan katanya, Allah akan membenarkannya", demikian sabda Rasulullah. Dan ternyata beliau mendapatkannya sebagaimana ditunjukkan.

Allah menggambarkan tentang syurga dan neraka, tentang para bidadari yang menawan dan jelita, tentang hidup abadi yang tiada akhirnya. Seharusnya membuatkan kita mempunyai the end in mind yang sangat hebat!

Rasulullah menggambarkan akan dibebaskan Konstantinopel oleh Islam, sehingga melahirkan para sahabat yang tak putus-putus berusaha ke arahnya, dan akhirnya direalisasikan oleh Muhammad Al-Fateh. Sejak kecil beliau ditanamkan dengan the end in mind yang sangat kuat bahawa beliau akan merealisasikan Hadith Rasulullah SAW tersebut.

Apakah the end in mind perjuangan kita?

Rasulullah SAW tidak menginginkan penduduk Thaif dihempap bukit kerana baginda melihat sesuatu yang lebih besar.

The end in mind yang benar akan melahirkan sikap yang benar dalam menghadapi permasalahan semasa dalam proses mencapai tujuan.

Bagi seseorang yang ingin membina rumah, dia perlu sangat jelas akan the end in mind nya. Dia perlu benar-benar faham akan segala proses yang perlu dilaluinya. Supaya ia tidak berputus asa di saat orang mentertawakannya atau mencacinya kerana ia baru sedang bermula membancuh simen.

Semaklah the end in mind kita semua, landaskan ia pada Al- Quran, Sunnah dan Sirah. Mudah-mudahan kita menjadi orang yang berjiwa besar, meskipun langkah baru bermula kecil.

Wallahualam.

14 August 2016

Berapa Ramai Orang Yang Hidupnya Sia-sia


Genap sudah usiaku 28 tahun. Hampir separuh umur kalau dianggar berdasarkan rata-rata umur manusia iaitu 60-an. Namun, siapa pula yang menjamin bahawa usia pasti berakhir pada sekitar 60-an? Bila-bila masa sahaja usia ini akan menemui titik hujungnya, noktah. Bahkan di ketika ini, ramai juga temanku di sekolah dan universiti yang telah pergi. Ada yang sakit, lalu bertemu ajalnya. Ada yang lemas di sungai, lalu bertemu ajalnya. Ada yang kemalangan di jalan raya, lalu bertemu ajalnya. Bahkan ada juga yang hilang bersama MH370 dan tidak tahu nasibnya. Ada yang sebaya denganku, ada yang lebih muda dan ada yang lebih tua sedikit. Pokoknya, semuanya pergi secara TIBA-TIBA.

Usia bukan hanya angka yang menunjukkan tempoh masa, tetapi ia juga adalah penanda akan pengalaman hidup yang telah semakin bertambah. Seiring bertambahnya pengalaman hidup (Baca: semakin tua), adakah bertambah juga kematangan hidup? Begitu juga seiring jelasnya garis takdir yang telah berlalu, adakah bertambah jelas juga tujuan yang dituju? Hidup ini adalah tentang penghayatan akan setiap detik yang berlalu, bukan sekadar pertambahan angka usia kita setiap tahun. Bukan sekadar umur biologi, tetapi juga umur intelektual, spiritual dan emosi.

Ketika di bangku sekolah, aku ingin segera menjengah ke alam universiti. Ketika di universiti, aku ingin segera menjengah ke alam kerjaya yang stabil dan rumahtangga yang penuh cinta. Kini aku sudah punya dua cahaya mata, mahu segera ke manakah lagi aku ini? Adakah aku ingin segera bertemu Tuhan? Atau hanya sibuk melalui fasa demi fasa sebelum ajal? Demikianlah hidup di dunia, Allah memberikan kepada kita satu ayat yang padat untuk menjelaskan kitarannya:

"Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." (Al-Hadiid: 20)

Demikianlah semua orang akan melalui fasa demi fasa dalam hidupnya. Setiap fasa ada urusan besar tersendiri yang menyibukkan kita. Namun belum pasti semua orang akan melalui semua fasa. Semua orang akan menemui ajalnya, itu pasti, tanpa mengira fasa. Setiap fasa yang sedang kita sedang tempuhi adalah persiapan untuk kita melalui fasa yang seterusnya. Bagi setiap fasa hidup akan ada pengalaman baru yang akan kita lalui, ada guru baru yang akan kita temui, ada perspektif baru yang akan kita dapatkan tentang hidup.

Ada satu ungkapan, "we are not going to live long enough to commit all mistakes, so learn from others' mistakes". Ada benarnya, aku harus terus belajar daripada mereka yang berpengalaman.

Aku juga punya cita-cita. Jika di sekolah dulu, selalunya cita-cita satu sahaja bagi setiap orang. Nak jadi doktor, peguam, pensyarah, doktor gigi dan sebagainya. Seolah-olah cita-cita itu cuma terbatas pada bidang pekerjaan dan tentang apa yang ingin kita dapatkan atau raih. Masih ingat lagi ketika sekolah rendah, aku ingin menjadi seorang tentera untuk berbakti kepada negara. Itulah jawapan yang aku berikan kepada guru yang me'nangkap'ku kerana berlari-lari di dalam surau. Sejak itu, 'cita-cita' berubah-ubah, macam-macam aku nak jadi. Sampai sekarang pun sama.

Hakikatnya apabila semakin dewasa, cita-cita semakin banyak aspeknya. Baik dalam kerjaya, dalam rumahtangga, dan dalam hidup umumnya. Dan perspektif juga berubah daripada kemahuan untuk mendapatkan atau meraih sesuatu kepada keinginan untuk memberikan dan menyumbang sesuatu. Kalau dulu ingin mendapatkan isteri yang baik, sekarang ingin menjadi suami yang baik. Masih banyak cita-cita yang perlu di'upgrade' agar mempunyai nilai yang lebih besar daripada sekadar kepentingan sendiri.

Semakin bertambah usia juga, aku semakin kenal sikap dan perwatakan sendiri. Kata orang, semakin kita mengenali seseorang dengan lebih dekat, semakin banyak kelemahannya yang akan kita temui. Begitu pula aku, semakin banyak kelemahan yang aku sedari ada dalam diri. Jadi aku belajar untuk bertoleransi dengan kelemahan diriku sebagai manusia dan cuba untuk menjadikan ia sebagai batu loncatan untuk menjadi lebih baik dalam hidup. Banyak kesilapan yang telah kulakukan dan banyak kegagalan yang telah aku alami, namun aku harus terus memberi ruang dan peluang untuk aku berubah dan menjadi lebih kuat dan matang.

Jika aku tidak memberi peluang dan memaafkan diri sendiri, siapa lagi?

Terima kasih jika kalian masih terus membaca. Sebenarnya dah lama aku tidak menulis. Bila aku menulis, aku sebenarnya sedang berinteraksi dengan akal dan emosiku sendiri. Mudah-mudahan apa yang aku fikirkan dan rasakan dapat aku sajikan dalam bentuk penulisan yang boleh dihadamkan dan dimanfaatkan oleh orang lain.

Memandangkan hidup ini adalah sebuah proses pembelajaran yang berterusan sehingga ajal tiba, maka sudah tentu juga banyak kesalahan yang telah aku lakukan sepanjang proses untuk belajar tersebut. Ada perkara yang kita belajar dengan easy way, ada perkara yang kita belajar dengan hard way. Maka pastinya ramai orang yang telah aku sakiti, dan ramai pula orang yang telah terlibat secara langsung ataupun tidak mengajar aku akan erti hidup ini.

Kepada sesiapa yang pernah aku sakiti, maafkanlah aku. Kepada sesiapa yang telah mengajarkan aku pelajaran hidup, terima kasih banyak aku ucapkan. Manusia sepertiku tidak akan mampu membalas segala jasa manusia lain. Allah yang telah menciptakan aku dan kalian sahaja yang mampu memuaskan segala kehendak dan keperluan.

Hidup ini adalah sebuah rantaian, kita bukan manusia pertama yang pernah hidup, dan belum tentu juga yang terakhir. Laluilah ia dengan penuh kesedaran, laluilah ia dengan penuh penghayatan.

01 April 2015

Pelajaran Daripada Pernikahan 12 - Dia Adalah Yang Terbaik Buatmu

Jika kita mencari yang sempurna, kita tak akan pernah berjumpa kerana kesempurnaan bukan sifat manusia. Jika kita mencari yang kekal, kita akan menyesal kerana perubahan adalah sesuatu yang tak dapat disangkal.

Begitu juga dalam berumahtangga. Ketika kita telah sama-sama menerima akad untuk menjadi suami isteri yang sah, itulah ketetapan takdir yang jelas untuk kita. Wajib bagi kita untuk mengimani takdir yang baik mahupun yang buruk. Kita telah dipertemukan dan ditetapkan jodohnya, maka tak perlu lagi kita berpusing-pusing mencari yang lain yang lebih baik pada perkiraan kita. Mungkin ada lagi yang lebih baik, tetapi itu bukanlah yang terbaik untuk kita.

Syaitan tak akan pernah tenang apabila kita tenang bersama pasangan. Ia akan datang daripada segenap sudut untuk memesongkan kita daripada apa yang seharusnya kita buat. Ada masa ia akan membisikkan agar kita membandingkan kecantikan atau ketampanan pasangan kita dengan orang lain. Pada masa yang lain ia membisikkan rasa penyesalan atas pilihan yang telah kita buat. Apa yang paling penting adalah ia tak akan pernah berhenti sehingga ke akhir hayat kita.

Maka kita harus sentiasa muhasabah tentang niat. Syaitan sukar menembusi hati orang yang ikhlas. Muhasabah tentang nikmat. Syaitan paling benci orang yang bersyukur. Muhasabah tentang asas kita berumahtangga. Syaitan selalu menjanjikan kita akan khayalan yang menipu.

Cinta yang membuak-buak di awal pernikahan atau pra-pernikahan sahaja tidak cukup untuk survival sebuah rumahtangga. Berapa ramai yang kata orang cinta bagai nak rak sebelum bernikah tetapi ternyata terpisah jua. Berapa ramai pula yang tidak pernah kenal dengan baik sebelum nikah tetapi kekal hingga ke akhir hayat. Rasa tanggungjawab terhadap sebuah amanah yang diberikan bahkan lebih utama untuk membuatkan kita melaksanakan kewajipan yang sepatutnya.

Pasangan kita adalah yang terbaik buat kita, kerana ia adalah sebuah amanah yang ada di depan mata. Ia adalah peluang terbaik untuk kita menunaikan amanah kita. Sebuah perkara yang berat yang akan menentukan tempat tinggal kita di akhirat sana. Sebagaimana Rasul telah berpesan, yang terbaik di kalangan kita adalah yang terbaik terhadap ahlinya. Allah dan Rasul menjanjikan ganjaran yang besar bagi mereka yang menunaikan amanah yang terbaik terhadap pasangan dan rumahtangga, terhadap anak-anak, terhadap keluarga.

Paradigma ini perlu dikuatkan dalam diri kita, bahawa pasangan kita adalah yang terbaik buat kita. Keyakinan inilah yang akan meredam banyak prasangka-prasangka tidak baik terhadap ketentuan takdir. Keyakinan ini akan meredam keinginan-keinginan yang di luar daripada kewajipan kita. Keyakinan ini akan membuatkan kita sentiasa menghargai setiap detik kita bersama, setiap liku yang kita lalu. Membuatkan kita menutup ruang-ruang perbandingan antara pasangan kita dan orang lain dalam sudut manapun. Membuatkan kita menerima pasangan seadanya dan bersyukur sebaiknya.

Itulah ketenangan. Bahawa kita menerima apa yang ada pada pasangan kita dan tidak menuntut yang berlebihan. Bahawa kita melalui hidup bersama orang yang terbaik yang Allah datangkan untuk kita, menemani setiap langkah kehidupan. Mereka adalah pakaianmu, dan kalian adalah pakaian bagi mereka. Isteri-isterimu adalah ladang bagimu, datangilah ia sebagaimana yang kamu kehendaki dan utamakanlah yang lebih baik bagimu. Jagalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka.

20 November 2014

Pelajaran Daripada Pernikahan 11 - Sabar

Bismillaahirrahmaanirrahiim...

Sudah lama saya tidak menulis pelajaran daripada pernikahan. Ketika saya menuliskan ini, saya sudah membaca kembali segala yang pernah saya tulis sebelum ini berkait pelajaran daripada pernikahan, ternyata banyak perkara yang saya tuliskan sebelum ini dalam bentuk teori, hanya mampu saya fahami setelah beberapa lama berada dalam dunia pernikahan. Ketika ini, saya sudah menjadi seorang bapa kepada seorang anak yang sudah mencecah umur 1 tahun 4 bulan. Cepatnya masa berlalu, rasanya baru semalam saya mencoret tinta dalam siri pelajaran daripada pernikahan ini (selepas 2 bulan bernikah). Sekarang, usia pernikahan saya telah mencecah 2 tahun 2 bulan bersama isteri yang tercinta. Belum cukup tempoh fasa ta'aruf lagi (5 tahun).

Kali ini saya nak berkongsi tentang SABAR. Sabar adalah kunci yang utama dalam kehidupan berumahtangga, bahkan dalam kehidupan kita secara amnya. Ketika saya hendak bernikah dulu, ada seorang kawan berpesan dengan 3 pesanan; Yang pertama SABAR, yang kedua SABAR, yang ketigapun...SABAR. Apa yang saya fahami tentang apa yang cuba disampaikan oleh beliau ketika itu adalah betapa tingginya posisi sabar dalam menjalani rumahtangga. Apabila saya merenung kembali, memang sangat benar. Ulamak membahagikan sabar kepada 3 komponen; sabar dalam menjalankan ketaatan, sabar dalam meninggalkan kemaksiatan, dan sabar dalam menempuh ujian hidup. Setiap komponen tersebut berkait secara langsung dengan kehidupan rumahtangga itu sendiri. Jadi, benarlah nasihat kawan saya akan 3 kali SABAR.

Menjalankan ketaatan kepada Allah memerlukan kepada kesabaran yang tinggi. Segala bentuk tanggungjawab yang kita ada dalam kehidupan rumahtangga adalah demi melunaskan ketaatan kita kepada Allah. Hubungan horizontal (dengan makhluk) dan hubungan vertical (dengan Khaliq) adalah saling terkait. Ada kata-kata yang menjelaskan tanggungjawab sebagai "tanggung di dunia, jawab di akhirat". Bila disebutkan bahawa perlunya kesabaran dalam menjalankan ketaatan, ertinya ketaatan itu bukan sesuatu yang mudah dikerjakan. Kalau mampu dilaksanakan sekalipun, sangat sukar untuk istiqomah dalam mengerjakannya.

Baik suami mahupun isteri, punya tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sesuai dengan posisi dan kapasiti masing-masing. Apabila tanggungjawab kita tak dilaksanakan dengan sebaiknya, kita bukan hanya mengundang ketegangan antara suami isteri, tetapi kita sedang mengabaikan ketaatan kita kepada Allah. Dalam ertikata lain, kita telah hilang komponen sabar yang pertama, sabar dalam menjalankan ketaatan. Memang bukan senang untuk tetap bersabar dalam melaksanakan tanggungjawab kita. Disebabkan ia sukarlah, perlu kepada kesabaran yang tinggi dan sentiasa diperbaharui.

Meninggalkan kemaksiatan juga memerlukan kepada kesabaran. Banyak bentuk kemaksiatan yang mungkin kita kerjakan dalam rumahtangga. Tak perlu disebutkan di sini segala perkara yang boleh menyebabkan isteri menjadi nusyuz atau membuatkan suami menjadi dayus. Tidak dapat dinafikan bahawa kebahagiaan rumahtangga itu turut terkait rapat dengan sejauhmana suami dan isteri mampu bersabar dalam meninggalkan perkara-perkara kemaksiatan baik yang kecil mahupun yang besar, baik terhadap sesama atau terhadap Allah.

Setiap maksiat yang kita kerjakan akan meninggalkan tompok hitam dalam hati. Selama mana kita tidak bertaubat dan terus menerus mengerjakannya, hati kita lama-kelamaan akan menjadi gelap. Bagaimana sebuah keluarga akan menjadi cerah dan indah jika ahli-ahlinya memiliki hati-hati yang gelap, terutama ketuanya? Kita kena banyak muhasabah akan sejauhmana kita telah menjaga elemen ini dalam kehidupan kita. Banyak perkara yang terkait dengan pengurusan atau kemahiran rumahtangga yang kita pelajari. Namun, terkadang rumahtangga masih terasa hambar dan lesu, dek kurangnya sabar kita dalam meninggalkan kemaksiatan.

Seiring masa berlalu, semakin banyak ujian hidup yang akan ditempuh bersama oleh suami dan isteri. Dulu, berdua. Sekarang, bertiga. Nanti, berempat dan berlima, dan seterusnya. Tanggungjawab bukan semakin berkurang. Cabaran-cabaran baru akan timbul dan perlu dihadapi dengan sabar. Kesabaran yang tinggi dan terus dihidupkan sesama suami isteri. Jika tidak bersabar, ujian hidup itu akan memberi kesan yang besar kepada keharmonian rumahtangga. Banyak kes perceraian yang berlaku setelah beberapa tahun bernikah dek hilangnya kesabaran menempuh cabaran-cabaran baru dalam hidup. Kembali semula akhirnya kepada persoalan niat, penerimaan kita terhadap pasangan, kemampuan kita meminta dan memberi maaf, meleburkan keegoan, berbincang, dan elemen-elemen lain (yang antaranya pernah saya bincangkan sebelum ini).

Cinta yang tulus itu memang memerlukan kepada pembuktian yang berterusan. Bukan hanya di saat-saat bulan madu di awal pernikahan, saat menerima cahaya mata yang pertama, saat suami atau isteri menerima kenaikan pangkat dan gaji, saat keperluan hidup semua cukup dan selesa. Bahkan pembuktiannya itu lebih benar dan tulus di saat pasangan merasa jemu dan jenuh, di saat pasangan jatuh muflis atau dibebani hutang, di saat pasangan sakit dan tak mampu menjalankan peranan dengan sempurna, di saat pasangan sarat mengandung anak kelima sedangkan anak-anak lain perlu diurus, dan di saat-saat sukar yang lain. Jika kita gagal meneguhkan kesabaran dalam menempuh segala cabaran-cabaran yang mendatang dalam hidup berumahtangga ini, kita akan sentiasa mengejar bahagia yang semakin menjauh.

Yakinlah, Allah takkan mensia-siakan orang yang sabar. Sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang sabar. Sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang sabar. Sesungguhnya, bagi keluarga yang ahlinya sentiasa bersabar dan meneguhkan kesabaran, di sisi mereka ada Allah. Bagaimana mungkin bahagia itu akan kita kecapi, jika Allah tiada di sisi? Kebahagiaan abadi itu hanya ada di sisi Allah. Tanya diri kita masing-masing, cukup bersabarkah kita untuk meraih bahagia?

Wallahua'lam.

23 September 2014

Loncatan

Hidup ini bukan sebuah perjalanan yang lurus, rata dan dekat. Semua orang tahu. Ada kala kita harus memanjat cuma satu anak tangga, ada kali kita perlu meloncat tinggi untuk menggapai tebing. Siapapun kita, tetap akan ada kepayahan yang bakal menjengah. Suatu fasa hidup yang payah suatu ketika dahulu mungkin tak lagi mengganggu hidup kita hari ini. Suatu yang payah hari ini, tak akan kekal menghantui. Apa yang dulunya realiti hari ini menjadi memori. Apa yang dulunya teori hari ini menjadi realiti.

Allah telah mengeluarkan kita, daripada rahim ibu. Sebelumnya Dia yang menyusun tubuh kita mengikut kehendak-Nya. Kemudian Dia membesarkan kita, memelihara kita sehingga kita boleh membaca tulisan ini. Dalam kita mengeluh akan payahnya musibah yang sedang kita hadapi, Dia telah membebaskan kita daripada sekalian banyak masalah yang menimpa di masa silam. Dia yang mengeluarkan kita daripada kegelapan dulu juga berkuasa mengeluarkan kita daripada kegelisahan hari ini.

Masa, telah mengancam kesabaran kita. Kita inginkan banyak perkara, dan kita inginkan segera. Terkadang kita lupa elemen masa sebagai rencah dalam sebuah kemenangan. Kita lupa masa adalah sebahagian besar daripada hidup kita. Selagi belum tiba masa sesuatu itu terjadi, ia akan tertangguh. Bagi setiap umat ada ajalnya, begitu pula bagi setiap jiwa. Kita bertanggungjawab memberikan yang terbaik dalam setiap sela masa yang berlalu, namun hanya Allah yang menentukan dan mengizinkan apa yang akan berlaku pada setiap detik waktu.

Di sisi Allah ada ketentuan, di sisi manusia ada kesempatan. Kesempatan yang diberikan oleh Allah sekelumit cuma untuk melalui ketentuan-ketentuan-Nya yang tersimpan. Kesempatan untuk mengenali-Nya dan mengorak langkah menuju-Nya. Kita tak akan pernah tahu bagaimana kesudahan yang ditentukan untuk kita. Namun, kita tahu apa yang sedang kita kerjakan sekarang dan apakah ia suatu yang bertepatan dengan kehendak Tuhan.

Terkadang kita hilang arah tujuan kerana hanyut dengan godaan. Pedoman itu telah ada dan akan sentiasa ada, cuma tinggal kita yang harus berpaut teguh dan berdiri utuh mempertahankannya. Selagi kita tidak kembali, selagi itulah kehidupan akan terus menjauh dari Ilahi. Semua manusia ingin ketenangan walaupun saban hari kita berlari jauh dari sumbernya. Semua manusia ingin kebahagiaan abadi sedang kita saban hari berbuat perkara yang menarik kita lebih jauh.

Ketika matlamat semakin rancu dalam hidup, ketika samar dan gusar membenamkan jiwa-jiwa yang besar, ketika hati terasa selalu gelisah dan goyah, ketika masa yang tersisa terasa begitu singkat, sudah masanya kita meloncat menggapai tebing, mengharap pada Allah yang menghidupkan dan mencukupkan.

Wallahua'lam.

19 August 2013

Mereka Yang Beruntung Sekali

Mereka pergi menunaikan janji
menerima jemputan khas Ilahi
dimuliakan di langit tinggi
dinanti-nanti para bidadari
meraih bahagia abadi
kepuasan sejati yang tak pernah dinikmati
mereka hidup dan tidak mati-mati
betapa untung tak terperi
betapa cemburunya rasa hati ini.
"Janganlah kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki." (Ali 'Imran: 169)
Ada yang simpati, empati
ada yang berdoa sepenuh hati
ada yang berhimpun untuk solidariti
ada yang jahil mencaci maki
ada yang lebat berhujah sana sini
tentang demokrasi dan demonstrasi
ada yang buat-buat tak peduli
asalkan diri sendiri cukup makan dan gaji.

Di sana ada pemimpin dunia yang nampak Islamis
bahkan ada pula Ulama' di institusi berprestij
tapi turut sama menggelar syuhada' sebagai terrorist
di sana ada pemimpin dunia yang nampak sekularis
tapi paling berani tampil mengecam habis penguasa bengis
ada pula singa yang kuat mengaum di sangkar tapi terdiam di rimba

Ketika dunia dengan sikapnya yang bervariasi...

Mereka telah pergi mendahului
meninggalkan darah suci di bumi para nabi
menjadi tinta melakar tamadun tinggi
meninggalkan jasad yang rentung terbakar
menjadi mahar untuk umat yang segar bugar
meninggalkan generasi yang teguh berdiri
tiada merubah janji, tiada berubah hati.
"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu- nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya)." (Al-Ahzaab: 23)
Kota Kairo menjadi saksi
bahawa mereka tidak kenal henti
berkumpul aman menentang as-sisi
menuntut keadilan dengan kembalinya Mursi
itulah dosa yang membuatkan mereka dibenci
dan dibantai bertubi-tubi

Merekapun pergi menunaikan janji
meninggalkan kita yang masih teruji
Apakah mereka rugi? Apakah mereka mati?
Apakah kita aman di sini? Aman di hati?

Sungai Nil mengalir menyampaikan pesan
pada tanah-tanah yang terjajah
bahawa darah syuhada' sedang tumpah mengairi
dan tanah ini akan subur lagi
hidup mekar atas siraman darah dan air mata
sebuah perjuangan dan pengorbanan suci.

Jika Allah mahu, Dia boleh datangkan banjir besar
yang menenggelamkan kaum yang zalim
atau mendatangkan guruh
yang mematikan manusia yang ingkar
atau mendatangkan gempa
yang menelan manusia yang alpa
namun Allah memberi tempoh masa
dalam rentang yang Dia kehendaki
ada yang Dia pilih menjadi syahid
ada yang Dia telanjangkan menjadi hina
ada yang Dia tinggikan menjadi mulia
terbongkarlah antara yang tulus dan yang pura-pura
Bilakah pertolongan Allah akan tiba?
Sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.
"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat." (Al-Baqarah: 214)
Entah akal mana yang tidak mampu mengerti
dan hati kering mana yang tidak mampu merasai
adakah kekuasaan telah menguasai rasa
atau kekayaan telah mendakap naluri?

Dunia hanya membilang angka-angka yang dibahas media
di bumi Musa dan Harun AS, mereka membilang para syuhada'
membilang berapa ramai anak yang masih tinggal
membilang berapa ramai Ulama' yang masih bersama
betapa ramai jiwa yang pergi
betapa ramai manusia yang menangisi
Adakah mereka rugi? Adakah kita merasa aman di sini?
Adakah mereka terlalu awal? Atau kita yang tertinggal?

19 Ogos 2013
Buat saudara-saudaraku yang tercinta di bumi Mesir