Nasihat Adik beradik

Adik beradik, bergaduh macam mana manapun suatu saat akan rasa rindu dan terkenang-kenang. Air dicincang memang takkan putus kata pepatah Melayu. Tepat sungguh.

Manakan tidak, kita membesar bersama, keluar dari rahim yang sama, darah daging dari mak ayah yang sama, hidup bersama.

Bila dah dewasa, boleh jadi makin renggang jarak, dan masing-masing dihadapkan dengan ujian-ujian yang pelbagai, mengambil pilihan hidup yang berbeza-beza.

Boleh jadi juga berlaku salah faham bila masing-masing dah berkerjaya, berumahtangga, beranak pinak. Rasa tak selesa mungkin muncul bila adik-beradik bagi nasihat soal kehidupan peribadi kita, soal keluarga kita, kita rasa over protective. Rasa tak nak adik beradik ambil tahu hal diri, keluarga dan anak-anak... tak boleh nak masuk campur.

Tetapi kalau kita letakkan kasih sayang itu sebagai pertimbangan asas, kita akan sedar yang hakikatnya adik-beradik ni nak yang baik-baik untuk kita. Tindakan dan kata-kata nasihat tu adalah demi kebaikan kita.

Namun, adik beradik kita semua manusia. Kadang tersalah langkah dalam hidup, terikut-ikut kehendak diri yang merosakkan. Janganlah kita buang mereka. Janganlah kita rasa benci pada mereka dan tutup terus pintu cinta dan kasih sayang. Mereka kan adik beradik kita. Macam mana pun, suatu hari kita akan rindu, terkenang-kenang.

Dengan adik beradik ni tak usahlah berkira sangat. Tak usahlah mengungkit-ungkit kebaikan kita. Ada masa kita senang, Allah uji kita dengan adik beradik kita susah. Ada masa kita susah, Allah tolong kita melalui adik beradik kita.

Kita dengan adik beradik ni jangan sombong, jangan cepat melatah, jangan suka cari kelemahan. Kita kena saling sokong dan bagi dorongan yang baik. Bersedia terima nasihat dalam suasana yang penuh kasih sayang.

Jahat macam mana pun kita rasa adik beradik kita, kita tak boleh nak nafikan rasa cinta dan kasih sayang yang ada dalam hubungan yang telah termaktub ini. Macam mana kuat kita rasa nak putuskan hubungan adik beradik ni, tak mungkin terputus hubungan darah daging yang kuat ini.

Walaupun sekarang ni masing-masing dah duduk berjauhan, dah ada kehidupan masing-masing, dah sibuk dengan kerjaya sendiri, dah ada banyak teman-teman rapat untuk kita cerita pelbagai benda, jangan lupa adik beradik kita.

Dulukan kita hidup susah senang bersama, bermain bersama, membesar bersama, merencanakan aktiviti-aktiviti pelik-pelik bersama, hidup di bawah satu bumbung yang sama.

Biarlah kita jauh daripada segi jarak, namun hati kita sentiasa saling merindui, saling mendoakan, saling menginginkan yang terbaik untuk semua adik beradik kita.

Kenangan yang dah kita bina bersama-sama adik beradik, janganlah lenyap kerana buaian dunia yang membawa kita jauh dan terasing.

Mengenang adik beradik itu membawa kita mengenang asal usul kita, mengenang asal kehidupan kita, mengenang kedua ibubapa kita yang menjadi sumber kehidupan kita adik beradik.

Ingatlah asal-usul kita. Ingatlah adik beradik kita.

Semoga adik beradik kita semua sentiasa berada dalam keadaan yang baik selalu...

Ada tak adik beradik yang kita rasa rindu sangat sekarang ni?

Comments

Popular posts from this blog

Wahai Sahabatku Yang Kecewa

Allah Memberikan Apa Yang Kita Perlu