Pelajaran daripada pernikahan 13 – Membina kedekatan hati.
Kadang-kadang
suami isteri berhadapan dengan situasi sukar untuk memahami pasangan, terutama
apabila berhadapan dengan sesebuah konflik. Ungkapan daripada pasangan terasa
seolah-olah seperti suatu simpulan kemas yang tak mampu untuk dirungkai. Atau
sebaliknya, kata-kata kita seakan-akan tidak sampai kepada pasangan. Boleh jadi
disebabkan ketegangan yang berlaku, kita menggunakan suara yang lebih tinggi dan
keras untuk berinteraksi dan berkomunikasi, baik secara berhadapan atau secara
maya.
Lantaran keadaan
yang berlaku, perbualan yang seharusnya menjadi topik berdua kini mula didengar
oleh orang lain baik kerana suaranya yang tinggi atau status ‘facebook dan
insta’ nya yang menjadi-jadi. Sedangkan pasangan kita tidaklah jauh sehingga
tidak mampu mendengar. Paling tidak, kita akan bertemu setiap hari. Atau jika
jauh, telefonnya dan whatsapp nya masih berfungsi, masih boleh berhubung hanya
dengan sentuhan jari.
Ketika itu yang
jauh bukanlah jarak, bukanlah teknologi. Di saat kita merasa bebanan berat itu,
yang jauh adalah…hati.
Ada sebuah
ungkapan menyebut, “bukanlah kesempitan rumah itu terasa kerana sempitnya
ruang, tetapi kerana sempitnya hati-hati yang berada di dalamnya.”
Ketika hati
telah tenteram antara satu sama lain dan semakin mendekat, kita akan lebih
mudah bertoleransi dengan segala perbezaan. Komunikasi juga akan menjadi lebih
intim. Walaupun suara kita tidak berbunyi, namun pasangan kita dapat mendengar.
Hanya dengan sebuah lirik mata atau mimik muka, pasangan terus dapat menterjermahkan
apa yang cuba disampaikan dan memberi respons yang baik. Bahkan diamnya juga
dapat memberi mesej yang besar yang diterima oleh pasangan.
Kedekatan
hati perlu dibina. Membinanya mengambil masa. Belum tentu mereka yang lama usia
perkahwinannya lebih dekat hatinya, jika tempoh masa berlalu tanpa ada usaha yang
berterusan untuk menyucikan hati. Kedekatan hati sesama manusia itu menjadi
semakin baik apabila kedekatan hati kepada Allah juga makin membaik. Allahlah
yang dapat menyucikan hati, dan Allah jualah yang menyatukan hati. Jangan dilupa,
bahawa Allah juga yang membolak-balikkan hati.
Kedekatan
hati yang tidak dibentuk berpaksikan kepada kedekatan dengan Allah, ia tidak
akan kekal lama. Paling tidak, ia akan berakhir dengan berakhirnya usia kerana
di akhirat Allah hanya menerima hati yang sejahtera. Hati yang tunduk patuh dan
memberikan penyerahan penuh kepada Allah. Hati-hati inilah yang kemudiannya
akan disatukan semula dengan ahli keluarga mereka di syurga.
Sebelum kita
merasa marah terhadap pasangan kita yang bersikap kasar dan bersuara keras, mari kita semak
dulu keadaan hati kita. Apakah ia hati yang sihat, sakit ataupun mati? Hati yang
sihat itu dapat menjalankan fungsinya sebagaimana layaknya, sebagaimana kaki
yang sihat dapat digunakan untuk berjalan dengan lancar. Hati yang sakit tetap
dapat berfungsi namun dengan sebuah keberatan, sebagaimana kaki yang sakit akan
merasa berat untuk melangkah. Hati yang mati, tiada apa yang dirasakan lagi bahkan
menjadi sebuah beban, sebagaimana kaki yang mati akan dipotong dan dibuang
kerana tidak berfungsi dan membebankan.
Jika hati
kita sihat, beristiqamahlah mendekat kepada Allah agar ia terus bersinar
terang. Jika hati kita sakit, bermujahadahlah mencari penawar agar ia kembali
berfungsi dengan optimum. Jika hati kita sedang nazak atau mati, na’udzubillah,
mohonlah agar Allah menghidupkan kembali, memberi kita hati yang baru. Bersempena
Ramadhan yang mulia ini, marilah kita menyerahkan hati kita kepada Allah untuk
dibersihkan dan diteguhkan.
Hati kita
dinilai Allah secara peribadi, bukan berdasarkan kepada siapa yang menjadi
pasangan kita. Isteri nabi ada juga yang tidak bersih hatinya, isteri Fir’aun bahkan hatinya
bercahaya. Semoga Allah menyucikan hati kita, pasangan dan anak-anak agar keluarga kita sentiasa tenang dan tenteram menuju Allah, sebagaimana tujuan asal kita melangkah ke dalamnya.
Wallahua’lam.
Comments
Post a Comment
Apa pandangan anda? Kongsikan bersama pembaca yang lain.