Mujahadah Mencari Redha Allah
Orang-orang yang berjihad disebut Mujahid. Seorang Mujahid akan sentiasa mujahadah. Mujahadah ertinya bersungguh-sungguh, berazam, berusaha sehabis baik dengan mengerahkan seluruh potensi yang ada. Ia mudah disebut tapi tak mudah direalisasikan. Kerana itulah orang-orang yang berjihad benar-benar akan diberikan petunjuk oleh Allah atas kesungguhan dan keazaman yang dibuktikan dengan amal. Hanya orang-orang yang mujahadah dapat memahami erti kesabaran dan kesusahan. Tidak ada perjuangan tanpa mujahadah. Tidak ada mujahadah tanpa kesabaran.
Kita perlu bermujahadah dalam melaksanakan perintah Allah, juga bermujahadah dalam meninggalkan larangan-Nya. Apabila kita telah melaksanakan mujahadah yang benar, pasti kita akan diberikan petunjuk oleh Allah. Itulah janji Allah, Allah pasti bersama dengan orang-orang yang berbuat baik. Dalam kehidupan ini, terlalu banyak perkara yang memerlukan kita untuk memilih, dan jalan yang dibentangkan kepada kita tak semuanya enak dan mudah untuk dipilih. Di sinilah letaknya Hikmah mujahadah kerana dengannya ‘jalan-jalan’ akan dijadikan terang oleh Allah bagi kita.
Bukan satu jalan, bahkan dalam ayat tersebut menceritakan tentang ‘jalan-jalan’ yang tak disangka-sangka. Namun, jangan kita menyalahkan Allah tatkala jalan itu masih kabur bagi kita, kerana itu menjadi indikator akan mujahadah kita yang belum dimaksimumkan ke tahap yang paling optimal. Ertinya, kita perlu bermuhasabah diri kita dan meneruskan usaha mujahadah demi untuk mendapatkan petunjuk Allah.
Jadi, jika kita ingin melihat masa depan yang cerah, menyusur jalan-jalan dalam Hidayah Allah, mendapatkan penyelesaian bagi setiap permasalahan, KITA HARUS MUJAHADAH! Dan sesungguhnya Jihad yang paling besar itu ialah jihad melawan hawa nafsu. Jika kita tidak terus bersabar dalam jalan mujahadah, kita akan sentiasa teraba-raba mencari jalan yang terang untuk dilalui, sedangkan jalan itu tidak ditunjukkan oleh Allah. Namun jika kita tidak mengeluh, berusaha sepenuh hati, berazam secara total dan bertawakkal bulat kepada-Nya, pasti kita akan ditunjukkan jalan-jalan menuju kebahagiaan. Tidak ada jalan yang lebih membahagiakan daripada jalan menuju Tuhan…
Comments
Post a Comment
Apa pandangan anda? Kongsikan bersama pembaca yang lain.