Pelajaran Daripada Pernikahan - 8


Pelajaran #8: Syuro - Membawa ke Meja Rundingan

Suami selalu merasakan ia punya kuasa veto dan kadang-kadang sampai menidakkan hak isteri bersuara. Apabila ternyata keputusan yang diambil suami membawa mudarat, ia akan turut memberi kesan kepada sang isteri. Akhirnya, yang hinggap adalah sindiran sinis sang isteri, "itulah, pandai sangat buat keputusan". Paling tidakpun, jika keputusan berjaya, sang suami mungkin pula bersuara, "nasib baik ikut cakap saya, kalau tidak...".

Apapun kesan daripada sebuah keputusan peribadi, mungkin membuka ruang untuk ketidakpuashatian. Sebelah pihak akan merasa menang, sebelah pihak akan merasa tidak menyumbang. Atau sebelah pihak merasa gagal, sebelah pihak merasa dizalimi. Memang, keputusan perlu dibuat oleh pemimpin, namun suara rakyat harus didengari.

Banyak keputusan-keputusan besar yang perlu kita buat yang turut memberi impak kepada pasangan juga. Contohnya ingin bertukar tempat kerja, ingin membeli kereta, membeli rumah, melabur, membeli insurans, soal pendidikan anak-anak, balik beraya di kampung mana, dan sebagainya lagi. Jika perkara ini tidak dikomunikasikan, ia akan membuka ruang kepada ketidakstabilan rumahtangga, terutama apabila berlaku konflik.

Begitu juga untuk mengambil hutang. Apatah lagi nak pinjam ah long, kalau tak boleh bayar, anak isteri pun dicari. Contoh lain, jika suami membuat pinjaman bank tetapi tidak memberitahu isteri, lalu ternyata tertunggak dan tidak berbayar. Suami kusut, kesuntukan wang selalu. Isteri tidak tahu, terus bersifat boros. Pada ketika itu, akan berlaku clash of interest. Dan perangpun dikumandangkan.

Mungkin ada yang tidak berpuas hati, "apalah punya queen control, nak beli kereta pun nak bincang dengan isteri, nak itu, nak ini, asyik kena bincang dengan isteri". Hakikatnya, selagi belum dibuang rasa ego (rujuk pelajaran #2), selagi itulah perbincangan yang sihat antara suami isteri tidak dapat berlaku. Kita bukan berjuang untuk mempertahankan ego kita, tetapi untuk keharmonian rumahtangga, apatah lagi jika ada cahaya mata.

Tidak ada rugipun kita berbincang. Daripada syuro, akan terbuka horizon pemikiran kita. Sebelum berbincang, mungkin yang kita fikirkan hanyalah tentang keselesaan anak isteri, lalu membuat keputusan untuk berpindah. Namun, setelah berbincang, ternyata isteri memikirkan pendidikan anak-anak yang lebih nyaman dan lebih baik jika tidak berpindah kerana suasana sedia ada yang lebih membina. Maka, sisi pandang yang lain akan terbuka bagi kita, keputusan pun akan menjadi lebih adil.

Dalam berbincang, perlu jujur dan menghormati pendapat pasangan. Tidak ada masalah suami jujur akan keadaan kewangannya yang sebenar, dan isteripun bersedia menerima seadanya. Isteri walaupun merasa pendapatnya lebih baik, jangan pernah membuatkan suami rasa terhina atau terguris dengan kata-katanya. Ada sebuah nasihat buat sang isteri yang pernah saya dengar, "merendahlah seperti bumi, nescaya suamimu menjadi pelindungmu seperti langit". Saling menghormati perbezaan sudah saya sentuh dalam pelajaran #5.

Keputusan tetap di tangan pemimpin, iaitu suami, setelah mengambil kira pandangan isteri atau anak-anak (yang sudah boleh dibawa berbincang). Isteri harus menghormati dan tidak mengungkit-ungkit lagi. Barulah dapat terealisasi kata-kata "susah senang dikongsi bersama".

Paling tidak, syuro itu mengundang rahmat Allah ke atas rumahtangga. Rasulullah sendiri pun mengajak sahabatnya syuro dan menerima pendapat-pendapat yang mereka lontarkan.

Jika ternyata keputusan yang dibuat hasil syuro itu kurang tepat atau gagal, suami tidak harus lagi disindir. Isteri harus katakan, "tak apa abang, kita dah cuba, kita cuba lagi sama-sama". Jika berjaya atau ternyata tepat, suami isteri akan lebih kuat dan erat hubungan serta lebih saling mencintai. Anak-anak pasti terkesan daripada budaya syuro yang diamalkan ibubapa serta membesar sebagai orang yang lebih mampu bertoleransi.

Wallahua'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Wahai Sahabatku Yang Kecewa

Allah Memberikan Apa Yang Kita Perlu