Belajar Daripada Kisah Musa AS dan Ghulam
Nabi Musa AS lahir ketika kekuasaan Firaun berada di
puncaknya. Firaun mengaku dirinya sebagai Tuhan. Sesukar-sukar perjalanan
dakwah kita, tidaklah sampai menghadapi seorang raja atau kerajaan yang mengaku
diri sebagai Tuhan. Kita harus memahami, bahawa peluang dakwah itu tetap ada
dalam kondisi sedahsyat apapun. Jangan menutup ruang dakwah dengan pelbagai
alasan tentang persekitaran. Allah telah menggambarkan bahawa dakwah itu
berlaku dalam sedahsyat-dahsyat kerajaan Firaun.
Begitu juga dalam kisah Ghulam, Allah menghantar seorang
budak sahaja untuk berhadapan dengan raja yang mengaku diri sebagai Tuhan.
Tidak ada faktor yang dapat dijadikan alasan untuk dakwah itu tidak berjalan. Faktor
usia, faktor masa, faktor persekitaran, semuanya tidak harus menolak kita ke
belakang.
Kita harus siap menyampaikan dakwah sekalipun persekitaran
yang ada itu kelihatan sangat rosak dan tidak nampak bibit-bibit kebaikan.
Allah tetap melahirkan nabi Musa AS sekalipun ternyata Firaun
benar-benar engkar. Allah pasti tahu bahawa Firaun akan mati dalam keadaan
kafir. Namun, tetap juga diutuskan Musa AS untuk pergi bertemu dengan Firaun.
Ini memberi pengajaran bahawa sekalipun yang kita serukan itu tidak beriman
dengan seruan kita, jangan pernah berputus asa kerana usaha kita pasti dilihat
oleh Allah.
Kita lihat dalam kisah ghulam, ketika dia dicuba untuk
dibunuh namun gagal, dia kembali lagi ke istana untuk menyampaikan seruan
tauhid, dicuba dibunuh lagi kali kedua namun tetap gagal. Bahkan dia kembali
lagi ke istana untuk menyampaikan dakwah. Akhirnya dia rela dirinya dibunuh
demi menyelamatkan aqidah Umat waktu itu. Apakah kita sanggup menggadaikan
nyawa kita untuk dakwah ini?
Kita jangan cepat berputus asa dalam membawa perubahan kerana
yang lebih penting itu adalah usaha kita membawa perubahan tersebut. Nabi Nuh
bahkan menghabis 950 tahun untuk menyebarkan dakwah tanpa berputus asa
sekalipun segala bentuk usahanya tidak menghasilkan bilangan yang ramai sebagai
pengikut baginda AS.
Nabi Musa AS dihanyutkan sampai kepada istana Firaun, ke
tengah-tengah punca kekafiran. Namun, Allah tetap mengembalikan baginda untuk
disusukan oleh ibunya. Walaupun baginda diutuskan untuk berdakwah di
tengah-tengah kerosakan, tetap sumber tarbiyahnya dikembalikan kepada ibunya. Maka
kita harus sentiasa menyusu kepada tarbiyah, baik dalam medan apapun kita
berada. Di manapun, dalam keadaan apapun, sentiasalah mendapatkan sumber
tarbiyah yang asli yang akan memberikan kita pengisian untuk terus bergerak,
ibarat minyak bagi kenderaan, nafas bagi paru-paru.
Ghulam merupakan anak yang sangat bijak yang terpilih untuk
belajar sihir dan menggantikan ahli sihir istana. Namun, dalam ulang-aliknya
ghulam belajar sihir, tetap juga ia istiqomah dalam pertemuan dengan rahib
sebagai sumber tarbiyah dalam membentuk dirinya.
Kita jangan pernah terputus daripada tarbiyah dalam
keadaan apapun. Walaupun jauh, walaupun sukar, kita harus tetap tegar dalam
tarbiyah kerana hanya ia yang akan membuatkan kita dapat bertahan dalam
kerosakan yang sentiasa menarik-narik kita. Jika kita terputus, kita akan
terjerumus dalam kerosakan tersebut. Baik ditipu dengan kerosakan, atau menjadi
agen mempromosikannya.
Wallahua'lam.
Sesungguhnya setiap firman Allah di dalam Al-Quran adalah sesuai sepanjang zaman..Jika anda benar2 melaluinya,akan anda katakan,Benarlah Firmannya.Walaupun di dalam dunia penuh kecanggihan,masih lagi terdapatnya ciri2 kejahiliahan....Sesungguhnya beruntunglah manusia pilihan Allah yang diselamatkan hidupnya dunia akhirat....Moga kita di dalam golongan yang mendapat redhanya..dan sentiasa berusaha mencari ilmu menuju-Nya..dan mendapat perlindungan dari kemurkaan-Nya..Amin
ReplyDelete