Pelajaran Daripada Pernikahan - 3


Pelajaran #3: Menerima Kekurangan

Banyak masa kita akan dihabiskan bersama pasangan, terutama bagi yang baru berumahtangga. Walaupun pada mulanya kita lebih banyak malu-malu dan tidak mahu menonjolkan cacat cela diri terhadap pasangan, lama-kelamaan akan diketahui juga. Baik cacat cela yang berbentuk fizikal diri atau cacat cela yang berbentuk perangai kita yang sudah sekian lama.

Wajar, jika kita menemui banyak kekurangan-kekurangan pada diri pasangan kita apabila masa berlalu. Demikian juga dia akan mengetahui kelemahan kita. Dulu, dia nampak sopan. Selepas kahwin beberapa lama, baru tahu kentutnya kuat dan busuk. Sendawanya juga dahsyat dan nafasnya berbau. Peluhnya masam. Macam-macam lagi yang nampak sebagai cacat cela bagi kita (ada orang tak kisah pasangan kentut kuat dan busuk, pun rasa wangi).

Sikapnya yang kurang menyenangkanpun mula kelihatan. Ternyata dia jenis cakap tak berlapik. Hati kita, dia tak jaga. Hati dia, sensitif pula. Boleh jadi juga dia jenis cepat marah. Mula-mula sayang tak lekang, lama-lama radang nak terajang. Banyak lagi bentuk-bentuk kekurangan yang membuatkan harapan kita mula menurun. Dulu, dialah isteri terbaik di dunia atau suami terkacak di nusantara. Sekarang, tak sangka aku boleh kahwin dengan mamat/minah senget ini. Nanti dulu, jangan cepat menyesal dengan pilihan atau putus harapan.

Mencari-cari kesempurnaan selalu membawa kita menjumpai lebih banyak kekurangan. Jika kita harapkan yang pandai memasak dan rajin, tentu kita terpukul jika ternyata dia tak pandai memasak dan malas. Jika kita harapkan yang penyabar dan tenang, tentu kita kecewa tatkala dia cepat naik angin. Buang segala harapan-harapan yang kita ada terhadap pasangan, terima dia seadanya dan tingkatkan diri bersama-sama.

Katakan kita bernikah pada umur 25 tahun, sama dengan pasangan kita. Sudah 25 tahun dia hidup dengan keluarganya, caranya sendiri. Kita juga begitu. Pernikahan bukan magic perubahan. Segala yang telah dilalui selama 25 tahun itu tak mungkin dilupai atau lenyap begitu sahaja. Segala sikap-sikap yang ada di zaman bujang itu tentu masih dibawa masuk ke dalam pernikahan. Tinggal lagi kita nak baiki sikap-sikap yang tidak baik, dan cuba bertoleransi dengan sikap-sikap yang kurang menyenangkan. Yang penting, komunikasi.

Sehebat manapun kita rasakan pasangan kita ketika di awal pernikahan, pasti ada kekurangannya yang akan kita temui. Jangan jadikan kekurangan-kekurangan itu sebagai sumber kekecewaan kita, jadikannya sebagai sumber kekuatan. Ternyata, masih banyak yang mampu kita bina bersama-sama dalam rumahtangga. Masih banyak kerja-kerja yang perlu kita lakukan untuk mencapai keserasian. Masih banyak ruang-ruang perbincangan yang boleh kita adakan untuk mencapai persefahaman.

Kekurangan bukan untuk dikeji, bukan untuk dicaci. Kelemahan bukan untuk direndah-rendahkan. Dia adalah pasangan kita. Teman kita yang telah kita terima. Bagi lelaki, akad yang telah ia lafazkan bererti ia sudah siap menerima amanah. Amanah yang berupa seorang isteri. Amanah yang bukan datang dengan kesempurnaan, tetapi bersama sisi-sisi kelemahan yang perlu ia kenali dan baiki. Begitu juga isteri, ketika ia dinikahkan dengan seorang lelaki, tidak patut lagi ia merasakan bahawa masih ada lelaki lain lebih baik bagi dirinya.

Menerima kekurangan membuatkan kita lebih bahagia bersama. Menerima kekurangan bererti redha terhadap ketentuan. Menerima kekurangan bukan bererti kita tidak berusaha untuk memperbaiki. Semoga dengan banyaknya kekurangan diri membuatkan kita saling melengkapi.

Wallahua'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Wahai Sahabatku Yang Kecewa

Allah Memberikan Apa Yang Kita Perlu