Pelajaran Daripada Pernikahan 10 - Mengutamakan Proses, Bukan Natijah
Rumahtangga: Tangga menuju rumah di syurga atau neraka? |
Kita terkadang terlalu fokus kepada sesebuah natijah. Natijah yang ideal. Jika natijah itu tidak kelihatan, kita akan punya banyak rungutan. Isteri tidak tahu menjaga hati suami, suami tak pandai urus kewangan, isteri tak pandai layan suami, suami tak sensitif dengan emosi isteri, isteri malas memasak. masing-masing selalu kecil hati dan terasa, masing-masing meletakkan sebuah natijah yang diinginkan daripada sebuah rumahtangga dan memaksakan pasangan untuk memenuhi kriteria yang dikehendaki, sekarang juga!
Proses itu lebih penting, kerana ia yang akan melahirkan sesebuah natijah dengan izin Allah. Rungutan tidak mengubah keadaan jika tidak disusuli dengan usaha membuat perbaikan. Di sinilah letaknya elemen saling membantu antara suami isteri, ke arah kebajikan dan taqwa. Membantu untuk sama-sama mencapai natijah yang sama-sama kehendaki. Saling membantu dalam suasana tarbawi dan suasana cinta yang suci.
Kadang-kadang, kita membandingkan rumahtangga kita dengan rumahtangga orang lain dalam konteks untuk sekadar menyatakan kekesalan, "awak tengok bini Pak Mail tu, setiap hari masak untuk suami", "abang ni tak penyayanglah, tak macam ayah saya", "Awak patut belajar daripada si Timah tu, dengar cakap suami dia". Di mana letaknya kebaikan pada rungutan-rungutan sebegini? Tidak membantu, bahkan membina kebencian danmenambah luka pada hubungan yang ingin dibina bersama.
Terkadang kita terlalu idealistik dan tidak melihat kepada realiti. Kita bandingkan isteri yang baru kita nikahi tak sampai beberapa tahun, dengan isteri seorang pakcik yang dah berumahtangga puluhan tahun dan melalui banyak proses-proses sepanjang pernikahan mereka. Relaks lah, jangan terlampau emosi. Kita masih punya waktu untuk membangun kestabilan dan keteguhan rumahtangga. Kalau kita benar-benar menjalankan proses di umur-umur muda ni, mungkin isteri kita jadi lebih baik daripada isteri pakcik tu apabila kita sampai kepada umur mereka nanti.
Demikian juga isteri, tak perlu bandingkan kredibiliti suami kita yang masih 20-an dengan tok wan yang dah menjangkau 60-an dan dikelilingi cucu-cucu. Pengalaman itu mendewasakan, itulah proses yang mesti dilalui. Kita perlu tekankan kepada aspek pembinaan rumahtangga kita secara bertahap, bukan aspek comparative family (macam comparative religion bunyinya).
Dalam penulisan sebelum ini, saya menulis tentang menerima kekurangan. Penerimaan itu digambarkan dengan kurangnya rungutan terhadap kelemahan pasangan. Jangan terburu-buru mengubah pasangan, yang akhirnya membina keruntuhan lebih banyak daripada pembaikan sehingga akhirnya membawa perceraian, na'udzubillah.
Apabila menyebut tentang proses, kita harus memahami akan perlunya masa. Semakin kurang rungutan kita dan diganti dengan usaha pembaikan, insya-Allah masanya akan lebih cepat menuju rumahtangga yang ideal. Namun, jika kita terus menerus lupa kepada usaha pembaikan, hanya fokus kepada natijah yang kita inginkan, puluhan tahunpun belum tentu berubah. Mungkin ungkapan yang sama akan terus digembar-gemburkan,"sejak muda lagi, awak memang macam ni, tak pandai nak hormat saya!", "abang ni daripada muda sampai ke tua perangai buruk!".
Apabila menyebut tentang proses juga, ia mesti bertahap dan praktikal. Jangan meremehkan perubahan-perubahan yang kecil. Berfikir besar dalam visi, namun fokus dalam pelaksanaan. Kalau perlu, buat target-target yang spesifik. challenging but achievable. Komunikasikan antara satu sama lain akan proses yang ingin kita usahakan bersama, dalam suasana yang penuh cinta. Jangan matikan azam pasangan dengan kata-kata "awak asyik ulang benda ni!", gantikan dengan sebuah pelukan mesra dan bisikan "i love you, we can face this together".
Kita perlu merasai bahawa rumahtangga adalah sebuah proses peningkatan diri. Sangat banyak ruang-ruang pembaikan. Kalau kita lihat bayi, kita takkan marah dan pukul kalau dia terjatuh dalam proses belajar berjalan. Sebaliknya kita akan pegang tangannya, sabar menuntunnya sehingga dia berjaya berdikari berjalan sendiri. Kita memang inginkan natijah dia boleh membaca, namun kita perlu bersabar mengajarnya membaca, huruf demi huruf, perkataan demi perkataan sehingga dia mampu membaca. Demikianlah proses yang akan melahirkan natijah.
Kita ingin isteri kita memasak untuk kita, belikanlah barang-barang. Memasaklah bersama-sama dengan dia. Apapun rasanya, nikmatilah. "Inilah masakan cinta kita". Bukan sekadar mengarah, tetapi membimbing secara praktikal. Demikianlah proses.
Kita ingin suami kita selalu cakap I love you. Selalu telefon dan berborak-borak. Jangan menunggu itu berlaku tiba-tiba. Telefonlah suami selalu dulu dan binalah suasana tersebut. Insya-Allah, suami juga akan terbiasa nanti untuk selalu menelefon kita. Demikianlah proses.
Banyak lagi proses yang perlu kita usahakan. Hakikatnya, kita yang perlu berubah untuk menzahirkan perubahan dalam pasangan kita. Jika kita tidak bersedia berubah, kita hanya akan sentiasa bermimpi untuk sebuah natijah yang tidak akan kunjung tiba.
Cintailah pasangan kita dengan ikhlas. ia adalah sebuah anugerah Allah, dalam masa yang sama amanah yang akan dipersoalkan. Sejauhmanapun pasangan kita daripada kriteria yang kita idam-idamkan, bersabarlah. Fokuslah kepada proses pembaikan. Mudah-mudahan dalam proses tadi turun barakah daripada Allah dan berkembangnya cinta pada satu sama lain. Semoga Allah mengampunkan kita kerana ikhlasnya kita dalam berumahtangga, dan memberikan cinta-Nya kepada kita.
Saya menulis ini bukan bererti saya sudah sempurna, saya juga masih dalam proses pembaikan dalam rumahtangga. Bahkan pembaca mungkin lebih berpengalaman dan lebih pakar. Pun begitu, masih banyak yang perlu kita usahakan bersama. Buat isteriku yang sentiasa bersabar akan kekuranganku, semoga syurga menjadi tempat tinggalmu.
Wallahua'lam.
Comments
Post a Comment
Apa pandangan anda? Kongsikan bersama pembaca yang lain.