Apa lagi yang belum kita laksanakan?
Kita harus mengenal diri dengan baik. Faham akan dari mana kita datang, ke mana akan kita tuju dan apa peranan yang harus kita laksanakan. Kefahaman kita akan tertonjol melalui tindakan kita. Jika kita salah memahami tujuan hidup, peranan kita dalam hidup, kita akan cenderung sentiasa tersilap langkah dalam kehidupan. Paling tidak, kita akan merasa betul melangkah di laluan yang salah.
Ternyata manusia punya sangat banyak tanggungjawab pada hakikatnya. Banyak aspek yang harus diberikan perhatian. Terkadang kita tertumpu pada memenuhi sebahagian aspek dan menghabiskan banyak masa dan tenaga untuknya. Apatah lagi kalau ia hanya melibatkan aspek keperluan hidup yang tidak pernah selesai sehingga kita mengabaikan peranan pokok manusia diciptakan.
Sebanyak manapun yang telah kita lakukan, lebih banyak sebenarnya yang belum kita laksanakan. Baik disebabkan oleh terhadnya kemampuan daripada apa juga sudut diri kita, atau kerana lalainya kita dengan kesibukan memenuhi keperluan atau kehendak hidup.
Setiap potensi yang kita miliki mempunyai peranan tersendiri dalam proses menyempurnakan tujuan hidup kita. Cuba kita senaraikan semua potensi kita secara terperinci, kemudian senaraikan di sebelahnya bagaimana kita telah menggunakan potensi-potensi tersebut, akan terlihatlah segala kelompangan dan penyimpangan.
Sebuah persoalan akan menarik kita untuk sentiasa beramal dan melangkah menuju tujuan hidup; daripada segenap potensi yang Allah kurniakan, apa lagi yang belum kita laksanakan? Mudah-mudahan kita akan sentiasa mencari jalan untuk menyempurnakan peranan kita dengan baik berdasarkan potensi yang kita miliki. Jika belum mampu, kita harus berusaha menyiapkan diri dengan bekal-bekal yang perlu.
Setiap daripada kita mempunyai potensi yang berbeza-beza yang saling melengkapi antara satu sama lain. Kita harus mengakui keterbatasan kita dan menghargai potensi orang lain. Jika setiap orang memahami kemampuan diri dan sentiasa berusaha meningkatkannya dalam konteks menyempurnakan peranan manusia, InsyaAllah potensi yang terkumpul sangat luar biasa.
Setiap daripada kita mempunyai peranan yang sangat penting sekalipun dalam skala yang kecil, seperti skru kecil yang berperanan besar dalam operasi sebuah mesin/enjin.
Wallahua'lam.
Comments
Post a Comment
Apa pandangan anda? Kongsikan bersama pembaca yang lain.