Membina Manusia Mengikut Acuan Islam
Pembinaan manusia adalah sebuah proses yang sangat rumit, kerana manusia mempunyai seribu satu perangai yang tidak boleh dilayani dengan satu pendekatan yang serupa untuk semua orang. Membina seorang Muslim untuk menjadi seorang yang komited dengan Islam adalah sebuah proses yang sangat penting dan utama. Banyak perkara yang perlu dibentuk dan dibina sehingga seseorang itu benar-benar menjadi celupan Allah, masuk keseluruhan hidupnya ke dalam agama Islam.
Mengabaikan proses pembinaan ini (yang juga lebih tepat disebut tarbiyyah) bererti membiarkan dunia ini dimonopoli oleh manusia-manusia yang rosak dan tidak berakhlak. Ketika Muslim sendiri tidak lagi beriltizam dengan Islam, maka mereka pasti akan beriltizam dengan cara hidup selain Islam yang membawa kepada kehancuran kerana tidak teguh dan rapuh. Cara hidup yang paling tepat tentunya yang datang daripada pencipta manusia, Allah SWT.
Matlamat kita jelas, meninggikan kalimah Allah SWT di seluruh muka bumi. Perjuangan ini harus dimulakan dengan membina peribadi-peribadi yang siap menanggung beban yang berat. Peribadi-peribadi yang menyerahkan kehidupannya untuk perjuangan. Ia tidak muncul secara tiba-tiba, ia harus melalui proses tarbiyyah yang benar, proses tarbiyyah yang meningkatkan segala potensi yang ia miliki mengikut acuan Rabbani.
Maka dalam proses tarbiyyah, perlu ada kayu ukur yang jelas tentang apa yang ingin kita tingkatkan. Apa juga sarana yang kita gunakan untuk melaksanakannya, baik usrah, seminar, perkhemahan, qiyamullail dan sebagainya, harus punya indikator-indikator yang sentiasa dilihat untuk menilai peningkatan seseorang. Jika tidak, tarbiyyah kita akan kehilangan punca dan cuma berakhir pada tujuan-tujuan yang tidak syumul sepertimana digariskan Islam.
Tasawwur (worldview) kita mesti jelas dalam meninggikan agama Allah. Ibarat membangunkan sebuah rumah, daripada awal kita harus jelas bahawa yang ingin kita bangunkan ialah rumah. Tidak dapat tidak, kita harus bermula daripada bawah, menanamkan tiang-tiang dan menyiapkan foundation yang kuat. Kemudian kita teruskan dengan proses-proses yang seterusnya, menyusun bata, membancuh simen, wiring dan sebagainya sehinggalah terbangunnya sebuah rumah. Jika ada yang mentertawakan kita ketika kita sedang menyusun bata atau membancuh simen, kita tidak akan menghiraukan kerana kita yakin apa yang ingin kita bangunkan. Mereka yang mentertawakan adalah orang-orang yang hanya ingin melihat hasilnya tanpa perlu bersusah payah membina.
Demikianlah proses membangunkan Islam. Kita harus jelas bahawa kita ingin meninggikan kalimah Allah ke seluruh dunia. Itulah matlamat tinggi kita. Tidak dapat tidak, pembinaan peribadi-peribadi yang kukuh adalah sangat penting. Pembinaan itu harus jelas, bersistem dan bermatlamat. Ia ibarat menyiapkan batu bata yang ingin kita susun menjadi bangunan yang indah dan kukuh. Selagimana proses menyiapkan peribadi ini tidak dijalankan dengan baik, selagi itulah proses seterusnya akan bermasalah dan tidak boleh dilaksanakan. Tidak ada shortcut untuk membangunkan Islam, sepertimana membangunkan bangunan.
"Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kokoh." (As-Saff: 4)
Walaupun kita jemu membancuh simen dan menyusun bata, ia tetap harus dilaksanakan demi merealisasikan bangunan yang ingin kita hasilkan. Walaupun kita jemu, merasa terlalu lama, dan letih membina manusia, ia tetap harus dilaksanakan kerana ia adalah sesuatu yang wajib berlaku demi membangunkan Islam.
Jika tasawwur kita tidak jelas dan cuma bermatlamat membina lantai, maka Islam tidak akan pernah terbangun. Walaupun kita bekerja kuat, selamanya kita hanya membina lantai, itulah akibat kefahaman yang tidak syumul dalam pembinaan Islam. Boleh jadi kita hanya memfokuskan kepada aspek-aspek tertentu dalam pembinaan sehingga peribadi-peribadi yang terbina tidak cukup kuat dan memenuhi piawaian untuk menempati bangunan Islam yang ingin dibina.
Rasulullah telah menunjukkan jalan dalam membina peribadi Muslim yang syumul. Generasi sahabat merupakan sebuah generasi yang dibarisi oleh manusia-manusia yang dahsyat dan syumul kefahamannya terhadap Islam. Maka, untuk memunculkan kembali sosok-sosok yang mencontohi para sahabat, kita harus mencontohi Rasulullah SAW dalam mentarbiyyah, dan sememangnya itulah satu-satunya jalan yang wajib kita ikuti dalam membangunkan Islam.
Paling tidak, sifat utama yang mesti dilahirkan dalam diri orang yang ingin kita bina adalah aqidah yang sejahtera dan suci, Ibadah yang sohih, dan akhlak yang mantap. Ia tidak berlaku sekelip mata dan tidak mengambil masa yang singkat. Kita harus meluangkan masa untuk banyak membaca, banyak berbincang dan memberi kefahaman, banyak bersama-sama dengan manusia dan memahami mereka. Bahkan, kita terlebih dahulu harus merealisasikan sifat-sifat tadi dalam diri kita. Bagaimana kita ingin membina orang lain sedangkan kita tidak meningkatkan diri sendiri?
Tarbiyyah Islamiyyah adalah sebuah kewajipan setiap daripada kita. Tarbiyyah memberi erti kepada perjuangan, memberi makna kepada kehidupan. Janganlah meremehkan tarbiyyah. Jika kita belum berada dalam tarbiyyah Islamiyyah, carilah dan komited lah dalam mentarbiyyah diri. Jika kita memang sudah berada dalam proses tarbiyyah, berusahalah sehingga kita mampu mentarbiyyah orang lain.
Wallahua'lam.
Comments
Post a Comment
Apa pandangan anda? Kongsikan bersama pembaca yang lain.