Kembalikan Hak Cinta


Adakah kita memahami hak-hak cinta? Jika masih samar, maka kita akan mudah tergelincir ke dalam tindakan mengkhianati hak-hak cinta. Pengkhianatan terhadap hak-haknya adalah sesuatu yang zalim dan salah. Segala tindakan atau perbuatan yang mencerminkan sebuah pengkhianatan hak-hak cinta juga menjadi tindakan yang salah.

Hak cinta perlu dikembalikan, agar ia membina, bukan memusnahkan. Agar ia membuat kita teguh dalam kebenaran, bukan hanyut dalam kemaksiatan. Orang yang menyalahkan cinta atas keterlanjuran dirinya sendiri, sebenarnya tidak pernah memahami apa itu cinta. Orang yang meraikan cinta sehingga memesongkan dirinya dalam kesyirikan telah salah memberi erti pada cinta. Akhirnya, hak cinta tidak tertunai.

Mencinta Allah Melebihi Segalanya

Hak cinta adalah mencintai Allah melebihi segalanya. Kita mencintai pemberi menjangkaui segala hadiah/pemberiannya. Pelik, bagi orang-orang yang melupakan pemberi dan berlebihan mencintai hadiah/pemberiannya. Allah adalah pemberi segala yang kita punya. Melampau, jika kita lupa pada Allah, cinta pada pemberian-Nya menjangkaui cinta kepada-Nya. Hanya dengan mengembalikan hak cinta yang ini kita akan merasai kemanisan iman, tatkala kita "mencintai Allah melebihi segala sesuatu".

Ya, harus melebihi segalanya. Melebihi kecintaan terhadap diri sendiri dan segala yang dimiliki, apatah lagi terhadap orang lain dan segala yang mereka miliki. Kecintaan ini sampai ke tahap kita sanggup mengorbankan segala yang kita punya demi memenuhi tuntutan-Nya. Selagi masih ada reservation untuk diri sendiri, selagi itu kita harus berusaha lebih gigih untuk meraih kecintaan kepada-Nya melebihi segala-galanya. Jangan meletakkan kecintaan apa-apa sahaja setaraf dengan kecintaan terhadap Allah.
"(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu)." (Al-Baqarah: 165)
Cinta itu ada tanda. Antara tandanya adalah taat. Jika cinta Allah melebihi segala kecintaan yang lain, maka kita takkan taat pada yang lain dalam bermaksiat kepada Allah. Selain taat, pengorbanan. Kita akan sanggup berkorban segalanya untuk Allah dan mengorbankan kecintaan terhadap selain-Nya.

Mencintai Segala Sesuatu Kerana Allah

Hak cinta adalah mencintai sesuatu kerana Allah. Maka tindakan seterusnya adalah tidak menjerumuskan orang yang dicintai ke jalan yang dimurkai Allah. Tidak menggunakan pemberian Allah untuk menentang dan mendustakan Allah. Memanfaatkan segala yang dicintai untuk meraih keredhaan Allah. Kita tidak mencintai sesuatu kerana kita ingin sangat mencintainya, tetapi kerana Allah menuntut kita untuk mencintainya. Maka kita akan merasai kemanisan iman, apabila "mencintai sesuatu hanya kerana Allah".

Apabila niat kita kerana Allah, maka ia menjadi Ibadah. Kita akan sentiasa menjaga kualiti Ibadah ini dan cinta akan menjadi lebih bererti dan lebih suci, lebih berkualiti dan lebih manis.
Sesungguhnya kelak pada Hari Kiamat Allah akan berfirman, “Di manakah orang-orang yang saling mencintai kerana keagungan-Ku? Pada hari ini Aku akan memberikan naungan kepadanya dalam naungan-Ku di saat tidak ada naungan kecuali naungan-Ku” (HR Muslim)
Maka dalam bercinta, kita akan selalu bertanya tentang apa yang Allah nak, bukan apa yang kita nak. Kita sentiasa bercinta dalam landasan yang Allah letakkan, bukan teori-teori yang kita reka. Demikianlah bersih dan terpandunya cinta yang didasari kerana Allah.

Walaupun pasangan suami isteri yang halal, tetap sahaja cinta itu wajib kerana Allah dan tidak melebihi cinta kepada Allah. Inikan pula pasangan yang belum halal tetapi dengan enak mengatakan "aku mencintaimu kerana Allah". Hakikatnya, cintanya tercemar kerana tidak berada dalam landasan yang diletakkan oleh Allah. Sekalipun ia membalut perbuatannya dengan istilah "cinta Islami", "cinta ana anti" dan lain-lain lagi branding yang batil.

Kelak, segala cinta yang bukan kerana Allah tidak sedikitpun dapat menyelamatkan kita daripada azab api neraka. Bahkan kita akan dituntut kerana pengkhianatan tersebut.

Tidak Mencintai Sesuatu Yang Dibenci Allah

Hak cinta adalah tidak mencintai segala yang dibenci Allah. Cintailah apa yang dicintai Allah, bencilah apa yang dibenci Allah. Demikianlah kesetiaan cinta yang sejati. Apabila kita memahami bahawa kecintaan yang tertinggi adalah untuk Allah dan segala cinta sesama makhluk adalah dalam kerangka kecintaan kepada Allah, maka neraca kecintaan dan kebencian akan sentiasa terarah dengan benar.

Kita suka melakukan sesuatu kerana Allah sukakannya, Kita benci melakukan sesuatu kerana Allah membencinya. Betapa curangnya kita tatkala kita mencintai kebencian-Nya dan membenci kecintaan-Nya.

Tatkala kita mengembalikan hak cinta yang ini, nescaya kita akan merasai kemanisan iman tatkala kita "membenci kekufuran sepertimana kita benci dilemparkan ke dalam api neraka". Allah membenci kekufuran dan bagi orang-orang yang kufur, neraka adalah tempat kembalinya.

Demikianlah sedikit perkongsian tentang hak-hak cinta. Apabila kita bercinta sesama manusia, kita selalu ingin agar diri kita dicintai melebihi orang lain. Kecemburuan itu suatu tanda cinta. Janganlah kecemburuan kita terhadap cinta manusia melebihi kecemburuan kita terhadap cinta Allah. Kita merasa terpukul tatkala manusia tidak mencintai kita sebaiknya, sedangkan kita tidak merasa bimbang jika kita tidak meraih cinta Allah. Kita berusaha saban hari untuk menggembirakan orang yang kita cintai, sedangkan kita tidak pernah berusaha untuk membuatkan Allah redha pada kita. Na'udzubillahi min dzaalik.

Wallahua'laam.

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Wahai Sahabatku Yang Kecewa

Allah Memberikan Apa Yang Kita Perlu