Kekecewaan Adalah Aset Kebahagiaan

Dalam perjalanan hidup ini, pasti ada perkara-perkara yang mengecewakan kita. Baik kekecewaan yang besar mahupun kecil. Baik yang digambarkan dengan tindakan atau hanya disimpan dalam lubuk hati yang paling dalam. Ia adalah sebuah proses kehidupan. Jatuh adalah perkara biasa yang dialami oleh seorang budak yang sedang belajar berjalan. Kekecewaan ibarat sebuah lompong dalam hati kita. Semakin dalam dan perit kekecewaan yang kita hadapi, sebenarnya semakin besar lompong-lompong yang boleh kita isi dan ganti dengan kebahagiaan. The deeper you are hurt, the bigger the space for happiness to be filled in your life.

Ada perkara besar yang berlaku dalam hidup seseorang tetapi tidak membuatkan dia begitu kecewa. Sebaliknya, ada perkara kecil sahaja yang berlaku dalam hidup seseorang yang lain yang membuatkan dia merasa sangat kecewa dan terkesan. Sebenarnya, bukan kejadian atau fenomena yang menentukan tahap kekecewaan yang akan kita hadapi, tetapi keadaan hati kita yang akan menentukan sejauhmana kejadian sekeliling itu akan memberi kesan kepada diri kita. Bagi orang yang berjiwa besar, masalah besar menjadi kecil. Bagi orang yang berjiwa kecil, masalah kecil tampak begitu besar. Kita, berada dalam kelompok yang mana?

Jadikanlah segala kekecewaan yang kita alami sebagai aset untuk kita meraih kebahagiaan. Seseorang yang tidak pernah buta tidak akan mampu menghargai penglihatan sepertimana dirasakan si buta yang baru dapat melihat. Tahap penghargaannya berbeza. Hanya mereka yang pernah dihimpit kesusahan akan mampu menikmati dan menghargai kesenangan dengan lebih baik. Kehilangan membuatkan kita merasa lebih menghargai apa yang kita miliki. Jika kita sentiasa mendapat apa yang kita nak, maka kita akan terus leka dan mungkin sangat menderita apabila segala yang kita miliki tiba-tiba hilang.

Allah itu Maha Adil. Diuji kita sesuai dengan kemampuan. Apabila kita dapat mengatasi sebuah kekecewaan, kita menjadi orang yang lebih tenang dan bahagia. Lalu Allah uji lagi dengan kekecewaan yang lebih dahsyat supaya kita menjadi lebih tenang dan bahagia setelah kita berjaya menghadapinya. Jangan merasa terhina jika ternyata kekecewaan kita lebih besar berbanding orang lain, kerana sebenarnya kebahagiaan yang lebih besar juga sedang menanti kita di hadapan. Hadapilah proses kekecewaan itu dengan penuh pergantungan kepada-Nya yang memberikan ujian.

Sebelum kita dilanda kekecewaan, kita jauh daripada Allah. Kita merasa memiliki dan berkuasa menentukan takdir kehidupan. Tiba-tiba badai kehidupan pun melanda. Ada sesuatu yang kita miliki, hilang. Ada sesuatu yang kita inginkan, tak tercapai. Kitapun mendekati Allah. Rupanya apa yang berlaku kepada kita adalah seruan Ilahi yang begitu lembut untuk kita menjadi hamba yang kembali kepada-Nya. Ia adalah sebuah bentuk belaian agar kita tidak terikat lagi dengan dunia yang fana. Kekecewaan dalam hidup mendidik kita bahawa kebahagiaan itu hanya akan kita rasakan tatkala kita kembali kepada sumbernya, iaitu Rabb, Ilah yang memberikan kita nyawa dan menentukan takdir kehidupan kita.

Kekecewaan boleh menghancurkan jika kita gagal melihatnya dengan betul. Sebaliknya, ia boleh menjadi aset yang begitu bernilai dalam perjalanan kita menuju Tuhan. Ingatlah bahawa kedahsyatannya bukan bergantung kepada fenomena persekitaran, tetapi status kejiwaan. Ia seharusnya membuatkan kita lebih sabar dan tawakkal. Membuatkan gelapnya hidup kita semakin terang bercahaya. Membuatkan buta mata kita semakin celik memandang dunia.

Belajarlah daripada kisah-kisah mereka yang meraih bahagia abadi di sisi Ilahi. Ketika ibu Nabi Musa AS harus menghanyutkan baginda di Sungai Nil, bayangkan keperitan jiwa yang harus dialaminya. Namun, tawakkalnya berbunga apabila baginda Nabi Musa AS dikembalikan oleh Firaun untuk disusukan sendiri oleh ibunya. Tentu kebahagiaan yang dirasakan luar biasa.

Ketika kita merasa berat mengorbankan cinta yang belum halal demi menjaga diri dan mentaati perintah Allah, yakinlah bahawa cinta yang halal setelah pernikahan itu jauh lebih membahagiakan dan diredhai Allah. Ia akan datang bersama kesanggupan kita meninggalkan sesuatu kerana Allah. Kekecewaan kita akan segera berganti kebahagiaan yang berpanjangan. Kepada yang ditinggalkan, yakinlah bahawa Allah sedang memeliharamu daripada sesuatu yang tidak engkau perlukan dalam kehidupan. 

Boleh jadi kita belum benar-benar bahagia dalam hidup ini kerana kita belum benar-benar diuji sehingga kita merasa kekecewaan yang dahsyat. Kemelaratan yang menggugah jiwa. Lompong-lompong yang ada dalam hati kita mungkin belum cukup besar untuk diisi dengan ketenangan dan kebahagiaan yang besar. Agaknya, layakkah bagi kita syurga sedangkan kita belum dihadapkan ujian-ujian yang menjadi prasyarat untuk melangkah ke sana?

"Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat." (Al-Baqarah: 214)

Beruntunglah orang yang hatinya sentiasa digugah dengan ujian yang dahsyat sehingga menjadi lompong-lompong yang dapat ia isi dengan kebahagiaan yang besar, lalu bersihlah hatinya daripada keterikatan duniawi dan merdekalah ia daripada kekecewaan yang menghancurkan.

Wallahua'lam. 

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Bila Ibadah Hilang Manisnya

Ciptaan Agung: Jantung Yang Sentiasa Berdegup