Garis-garis Takdir Kehidupan
Setiap orang mempunyai garis takdirnya sendiri yang telah
tertulis sejak azali. Sebelum sesuatu terjadi, tak siapa tahu tentang apa yang
bakal menimpa dirinya. Apatah lagi untuk mengetahui tentang ketentuan orang
lain. Kita sentiasa ingin tahu tentang kejadian yang akan datang dalam hidup
kita, sedangkan kita tak mungkin tahu kerana ia adalah perkara ghaib yang
tersembunyi dalam ilmu Allah.
Keinginan manusia yang tinggi untuk mengetahui apa yang
bakal berlaku pada masa depan terbukti dengan terhasilnya filem-filem yang cuba
menggambarkan kemampuan menilik masa depan. Lama dulu, kita pernah menonton
cerita Back To The Future. Banyak lagi filem-filem yang menggambarkan
keadaan masa depan yang hanya berlandaskan kepada imaginasi yang fana.
Di satu sudut lagi, terdapat begitu banyak sang bomoh penipu
yang menilik nasib yang bakal menimpa seseorang sedangkan si bomoh sendiri
tidak pasti apa yang akan terjadi pada dirinya pada esok hari.
Hakikatnya,
hanya Allah yang mengetahui segala-galanya. Hebatnya Allah. Bukan hanya garis
takdir kita yang berada dalam pemerhatian-Nya, tetapi garis takdir semua umat
manusia yang berada atas muka bumi ini diuruskan-Nya, serentak, tanpa ada
seorangpun yang terlepas daripada pemerhatian-Nya. Dan bukan setakat ketentuan
manusia, bahkan ketentuan segenap isi alam ini!
Memandangkan kita tidak tahu, kita harus bergantung kuat
kepada Yang Tahu. Jika diibaratkan kita dalam sebuah perjalanan menuju ke suatu
tempat dengan menaiki kenderaan dalam keadaan kita tidak tahu jalan yang akan
kita lalui, kita akan bergantung kepada pemandu yang tahu segala selok-belok
jalan. Pergantungan kita teguh dan kita percaya tidak kira apa juga jalan yang
akan ditempuh. Kita tidak akan mempersoalkan kerana kita yakin bahawa dia akan
membawa kita sampai kepada destinasi yang ingin dituju.
Kita bahkan harus lebih meyakini bahawa Allah tahu segala
selok belok kehidupan kita. Maka kita harus percaya terhadap apa jua
ketentuan-Nya. Kerahsiaan tentang garis takdir itu mendidik kita untuk
tawakkal, sentiasa bergantung kepada Allah yang mengetahui perjalanan hidup
kita. Dia dan hanya Dia. Beriman sepenuhnya kepada ketentuan Allah itulah yang
memberikan ketenangan kepada kita dalam perjalanan hidup ini. Sepertimana
kepercayaan penuh kepada pemandu kenderaan tadi membuatkan kita berlapang dada
dan tenang.
Janganlah kerana sukarnya laluan hidup kita membuatkan kita
ragu-ragu dengan ketentuan Ilahi, kerana membanding-bandingkan dengan laluan
hidup orang lain yang mudah dan nyaman. Siapa tahu di sebalik kelapangannya,
ada simpang siur yang menanti di hadapan? Siapa pula tahu, di sebalik
bengkang-bengkoknya laluan kita, ada laluan nyaman yang menanti di hadapan?
Yakinkan saja diri akan ketentuan, itulah salah satu rukun Iman.
Sentiasalah berdoa agar Allah mudahkan kita untuk menjadi
orang-orang yang menghadapi setiap ketentuan dengan benar. Biarpun susah, kita
mampu bersabar. Tatkala senang, kita mampu bersyukur. Bukan sebaliknya. Berapa
ramai yang berputus asa kerana sedang berhadapan dengan ketentuan yang sukar?
Berapa ramai pula yang gagal bersyukur ketika dilimpahkan dengan nikmat yang
banyak?
Melihat kepada jahilnya kita akan garis takdir kehidupan
ini, kita harus menyedari bahawa yang lebih penting adalah bagaimana kita
menghadapi apa sahaja yang bakal terjadi, baik yang mudah mahupun yang payah.
Jangan terlalu risau akan apa yang bakal terjadi, tetapi sentiasalah bertanya
kepada diri, bagaimana harus aku hadapi ketentuan ini?
Wallahua’lam.
Comments
Post a Comment
Apa pandangan anda? Kongsikan bersama pembaca yang lain.