Melangkah Walau Payah



Mahar sebuah kemanisan
Semakin payah perjalanan, semakin manis kejayaan yang bakal dirasakan. Boleh jadi kemanisannya begitu signifikan sehinggakan kita lupa bahawa kita pernah melalui kepayahan sebelumnya. Mengharap pada sebuah perjalanan yang mudah selalu membuatkan kita kalah ketika kepayahan menjengah. Tujuan kita besar, matlamat kita hebat, namun langkah kita selalu tersekat kerana mengharapkan kejayaan yang dekat dengan perjalanan yang singkat. Keinginan untuk mencapai sesuatu yang kita yakini keutamaannya, harus sentiasa disertai kesanggupan menempuh segala kepayahan yang bakal muncul.
Sang mentol lahir setelah begitu banyak siri kegagalan yang ditempuh Thomas Edison dalam upaya merealisasikannya. Namun, manisnya kejayaan beliau sampai boleh dikongsi dengan seluruh dunia. Nikmatnya ketika sampai di puncak gunung tak mungkin dirasai oleh orang-orang yang tidak cukup sabar menempuh keperitan mendaki. Ada satu ungkapan yang boleh kita renungkan, “it’s not only about the destination, but it’s about the journey”. Kejayaan itu adalah sebuah anugerah yang dikurniakan Allah kepada sesiapapun yang Dia kehendaki. Namun, kita harus memilih perjalanan yang ingin kita lalui. Jadi, jangan risau wahai sang murabbi jika binaan belum menjadi. Boleh jadi di tanganmu nanti akan lahir binaan asli yang menjadi tiang-tiang kebangkitan Umat ini.
Payah itu lumrah perjuangan
Perjalanan hidup para pejuang sentiasa disertai kepayahan sepanjang jalan. Nabi Ibrahim AS diuji oleh Allah SWT dengan kepayahan demi kepayahan di setiap fasa kehidupannya, sejak muda belia sehingga tua, dan akhirnya Allah mengiktiraf baginda di dalam Al-Quran atas kejayaannya menghadapi dan melepasi setiap kepayahan yang didatangkan.
“Dan (ingatlah), ketika Ibrahim diuji Tuhannya dengan beberapa kalimat (perintah dan larangan), lalu Ibrahim menunaikannya. Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia”…” (Al-Baqarah: 124)
Kepayahan yang dihadapi oleh baginda Rasulullah SAW juga sangat dahsyat, disusuli oleh sukarnya perjalanan yang dihadapi para sahabat baginda SAW. Peluh, darah, air mata, harta, bahkan jiwa, sudah banyak sekali dikorbankan untuk memastikan perjuangan menegakkan kebenaran itu sentiasa berlangsung. Akhirnya Islam sampai kepada generasi kita.
Itulah lumrah perjuangan.
Hidupnya sesebuah perjuangan itu pasti disertai kepayahan dan pengorbanan. Kepayahan itulah yang menjadi ‘bunga-bunga’ yang ditaburi di sepanjang jalan para pejuang. Pengorbanan itulah yang menjadi bara agar api perjuangan menegakkan kebenaran dan menyebarluaskan kebaikan itu tidak pernah padam.
Janganlah kepayahan menggugah langkah
Perjuangan pertama yang perlu kita gencarkan dalam usaha menyebarluaskan kebaikan adalah perjuangan melawan kehendak dan dorongan hawa nafsu diri sendiri. Langkah seterusnya adalah untuk berhadapan dengan faktor-faktor luaran, setelah kita berjaya melepasi ‘musuh-musuh’ dalaman. Ya, permulaan inilah yang paling payah. Setiap niat dan tekad selalu disusuli dengan ujian malas dan beralasan. Pada paginya iman kita segar dan kita telah membuat tekad untuk turut serta pada program tarbiyah yang akan diadakan pada malamnya (contohnya). Menjelang malam, kemalasan menjengah, alasan pun muncul agar kita meminta uzur. Langkahpun diatur untuk berundur.
Bagaimanakah kebangkitan Umat akan bisa terjadi jika para pemuda yang menjadi nadi perjuangan ini sering berpatah balik dan tidak bersungguh-sungguh? Bagaimana mungkin kita dapat mencapai matlamat-matlamat yang diimpikan jika alasan-alasan yang terkumpul itu lebih banyak daripada amal dan pelaksanaan? Jika perjuangan itu sebuah tubuh, maka para pejuang adalah jantungnya. Jika jantung malas berdegup dan terhenti, perjuangan akan menjadi layu dan mati.
Ketika para pemuda di negara-negara Umat Islam yang sedang di ambang peperangan diberi kemuliaan oleh Allah dengan tidak mempunyai pilihan lain melainkan untuk istiqamah dalam mempertahankan kebenaran dan memperjuangkannya, kita diberikan ‘kelonggaran’ dengan sering memilih untuk beralasan dan melalaikan perjuangan. Ketika kita kasihan melihat mereka yang tiada ‘kehidupan’ seperti kita, mereka bahkan kasihan melihat kita yang hidup ‘selesa’ dalam dakapan lemahnya azam dan cita-cita.
Di saat ayat-ayat Al-Quran dilantunkan kepada kita, “berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan mahupun merasa berat”, adakah hati kita tidak tersentuh untuk terus teguh? Mungkin kita merasakan mampu memberi alasan-alasan yang ‘wajar’ apabila dipersoalkan di hadapan Allah nanti. Jika ‘payah’ itu adalah sebuah alasan yang kita rasakan wajar, maka para rasul lebih dahulu wajar memberikan alasan-alasan tersebut kerana kepayahan yang mereka alami maha dahsyat. Begitu juga para pemuda di negara-negara Umat Islam ditindas lebih wajar memberikan alasan. Kepayahan apakah yang dapat kita hadirkan di hadapan Allah untuk dijadikan sebagai alasan nanti?
Walau kita terpaksa menitiskan air mata kerana sakitnya perjalanan yang ditempuh, janganlah kita memilih untuk berpatah balik semata-mata untuk menikmati ketawa yang tidak lama. Walau kita terpaksa menanggung keperitan jiwa akibat perjuangan yang begitu mencabar dan berliku, janganlah kita tinggalkan para pejuang dan memilih dunia yang begitu mengiurkan.
“Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredhaan-Nya. Dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan dunia ini. Dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.” (Al-Kahf: 28)
Melangkahlah walau payah, kerana itulah mahar ke Jannah!
http://paksi.net

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Wahai Sahabatku Yang Kecewa

Allah Memberikan Apa Yang Kita Perlu