Watak dan Babak-babak Kehidupan

"(Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja." (An-Naazi’aat: 46)

Perjalanan hidup ini terasa jauh, hakikatnya singkat. Entah, kadang sesuatu yang ingin dicapai terasa sangat jauh, sukar dan berliku. Namun sesuatu yang telah berlaku ibarat terlalu singkat, dekat dan masih diingat. Maha suci Tuhan yang menciptakan perasaan yang sukar untuk digambarkan. Tersembunyi dalam Hikmah Ilahi dan dada-dada orang berilmu. Entah berapa kali aku terjatuh, dan bangun. Entah berapa kali aku gagal, dan menemui kejayaan. Silih berganti. Ibarat malam dan siang, juga gelap dan terang. Apabila aku merenung sejarah hidup sendiri, terasa begitu hebat plot-plot dan babak-babak yang telah ditakdirkan Tuhan, Allah yang Maha Menentukan.

Aku hidup sebagai seorang lelaki yang berbeza, pastinya tak sama dengan orang lain. Dalam hidupku, aku melalui pelbagai situasi yang berbeza, juga tak sama dengan orang lain. Aku menempuhi setiap perkara dengan cara tersendiri, sekalipun mungkin mirip orang lain, tetap tak sama. Ada beza. Walaupun sedikit. Lalu ertinya apa?

Aku berfikir sendiri dan menemui jawapan yang kurasakan mungkin. Dengan ilmuku yang cetek dan pengalamanku yang tak seberapa hebat, aku cuba memberikan jawapan buat diri sendiri bahawa SETIAP ORANG PUNYA BABAK HIDUP TERSENDIRI.

Jalan hidupku dan orang lain tak mungkin sama, mungkin mirip. Masa, tempat dan situasi berubah-ubah mengikut orang. Di setiap babak ada perkara baru yang bertambah, atau ada perkara lama yang berulang. Babak-babak kehidupan sebenar ini begitu menarik kerana plotnya berkembang, sejak zaman bayiku sehingga remaja dan dewasa. Plot ini akan terus bersambung sehingga ke usia tua. Sungguh, aku kagum pada Tuhan yang menciptakan plot kisah hidupku dan orang lain.

Lalu ada seperkara yang merunsingkan diriku. Jika begitu keadaannya, haruskah setiap orang mengambil berat tentang orang lain? Yang sudah termaktub plot kehidupannya? Haruskah kita memaksakan jalan cerita kita kepada cara hidup orang lain? Haruskah kita menjadi penulis skrip untuk babak kehidupan orang lain? Wah, persoalanku menjadi semakin menarik dan berbelit-belit. Namun aku tak berhenti berfikir kerana aku tahu Tuhan ada jawapannya. Lalu aku menemui jawapan yang memuaskan hatiku bahawa TUHAN ADALAH PENGARAH AGUNG PADA BABAK KEHIDUPAN MANUSIA.

Ertinya kita semua berada dalam satu pentas lakonan yang sama, dunia. Setiap babak adalah berkait antara satu sama lain. Jika kita tidak memastikan bahawa orang lain mengikut perintah pengarah, babak kita juga akan terjejas. Ibarat sebuah filem di mana setiap pelakon berperanan dalam memastikan kehendak pengarah dituruti. Jika tidak, filem akan menjadi kucar-kacir.

Hidup kita di dunia ini ibarat sebuah filem yang hebat. Ada watak yang datang lebih dahulu, dan pergi. Ada watak yang datang kemudian, dan meneruskan jalan cerita. Hakikatnya semua babak itu berlaku dalam latar tempat yang sama, dunia. Kita semua berada di bawah pengarah yang sama iaitu Allah Yang Maha Berkuasa. Tugas kita adalah memastikan bahawa manusia-manusia yang lain juga taat dan patuh kepada pengarah, supaya plot kehidupan ini berjalan lancar. Jika tidak, plot kita juga akan terganggu dan rosak. Maka tugas memastikan perintah pengarah dituruti adalah kewajipan kita, dalam babak kehidupan ini.

Apa juga peranan kita dalam babak kehidupan ini, ia tetap penting dan menyumbang kepada perkembangan plot kehidupan. Ada orang diberikan kelebihan dalam menulis, ada yang hebat dalam berpidato, sementara yang lain dikurniakan hikmah dan kebolehan dalam pelbagai bidang. Maka apapun kita, kita tetap seorang pelakon utama dalam babak kehidupan ini dalam bidang masing-masing. Kita adalah kita. Jangan menjadi lemah dan merasa hina kerana diri kita tak terbanding dengan orang lain. Yakinlah bahawa Allah sudah memberikan watak terbaik untuk kita mainkan dalam babak kehidupan ini.

Setiap orang adalah istimewa, setiap orang berperanan penting dalam menjayakan plot kehidupan di dunia ini, kerana segala yang kita lakukan di dunia ini akan dipaparkan di pawagam akhirat.

"Kemudian sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat." (Al-Mukminuun: 16)

Di saat itu tak berguna lagi untuk kita berusaha menjadi pelakon yang terbaik kerana pada saat itu hanyalah waktu untuk anugerah Ilahi, atas apa yang kita lakukan di atas muka bumi.

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Wahai Sahabatku Yang Kecewa

Allah Memberikan Apa Yang Kita Perlu