Bersandar Pada Kehebatan Orang Lain

Ada orang berusaha keras untuk menjadi hebat, sementara yang lain hanya ingin dipandang hebat. Ada beza antara keduanya. Golongan yang pertama akan terus mengikhlaskan niat, mencipta kehebatan seperti dikehendaki Allah dan Rasul serta sentiasa sedar akan kelemahan diri dan memperbaikinya. Golongan kedua akan terus tenggelam dalam pujian dan pengiktirafan manusia. Merasa hebat, dipandang hebat, tapi indah khabar dari rupa. Selalunya orang yang ingin dipandang hebat hanya akan menyandarkan kehebatannya pada orang lain.

Ertinya mereka sentiasa merasa kagum dengan diri sendiri padahal kehebatan sebenarnya terdapat pada orang lain. Mereka itu mungkin diri kita sendiri yang suka diiktiraf berdasarkan kepada orang-orang yang kita kenal, ataupun orang-orang yang mengenali kita. Misalnya kita dikenali oleh tokoh negara atau seseorang yang diketahui kehebatannya, kita akan mula merasa bahawa kita juga harus menerima pengiktifaran yang sama. Kita mula berbicara “ah, aku kenal Menteri Besar tu”, “oh, Sheikh tu kenal aku kau tahu”. Jadi, apa masalahnya?

Masalahnya ialah kita hilang nilai-nilai kehebatan diri sendiri kerana hanya suka menyandarkan kehebatan kita pada diri orang lain. Kita akan tertipu dengan pengiktirafan yang diberikan kepada kita hanya kerana orang lain. Kita hilang nilai jati diri kerana hanya dipandang hebat, padahal banyak sisi-sisi kelemahan yang tidak kita sedari atau enggan kita akui. Lama-kelamaan, kita mula menjadi orang yang ingin mengejar populariti dan nama, bongkak dan takabbur dengan diri sendiri. Ya, kita dipandang hebat. Tapi kerosakan mengambil tempat di hati, dan dalam kehidupan kita.

Andai kata kita hilang segala manusia-manusia hebat di sekeliling kita, apakah akan berlaku kepada kita? Adakah kita masih akan dipandang hebat? Bahkan kita akan serta-merta jatuh kepada kehinaan kerana kita tidak punya nilai kehebatan diri sendiri. Kita tidak akan mampu berdikari dan hidup di tengah-tengah gelombang yang hebat kerana kita hakikatnya tidak hebat. Kita hanya menumpang pada kehebatan orang lain.

Bukan ertinya tidak boleh kita merapati orang-orang yang hebat, itu semestinya. Yang lebih penting ialah kita mempelajari sesuatu daripada mereka dan berusaha menjadi hebat seperti mereka, bukan hanya menumpang gelaran mereka yang tidak layak untuk kita. Maka kita harus mengubah mentaliti daripada ingin dipandang hebat kepada ingin menjadi hebat dalam ertikata yang sebenar. Sekalipun manusia tidak memberikan pujian dan pengiktirafan, kita tetap berusaha menjadi hebat dan hanya mengharapkan pengiktirafan Allah dan Rasul.

Jika kita mengimbau sirah Rasul dan para sahabat, kita akan menyedari betapa setiap orang daripada para sahabat sentiasa berusaha meningkatkan kapasiti ilmu, jasad dan emosi mereka. Kerana itulah mereka terus beristiqomah dalam Dakwah Islam setelah kewafatan Rasul. Hakikatnya, Rasulullah datang bersama Islam dan melahirkan generasi yang memang hebat, bukan hanya dipandang hebat. Berbeza dengan kita yang sentiasa ingin digelar dengan gelar-gelar yang hebat, diiktiraf dan sebagainya, namun kosong tak terisi. Ibarat debu-debu berterbangan, hilang bersama tiupan angin.

Kesimpulannya, berusahalah menjadi orang yang memang hebat, bukan hanya dipandang hebat.

Ingatlah bahawa kita langsung tidak hebat tatkala kita membelakangkan Allah dan Rasul. Pergantungan kita kepada manusia akan menjadikan kita menjadi hina di sisi Allah dan Rasul. Orang yang tidak mengiktiraf kehebatan Allah dan Rasul sebenarnya tidak layak langsung diitiraf.

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Wahai Sahabatku Yang Kecewa

Allah Memberikan Apa Yang Kita Perlu