Kalau Bulan Bisa Berbicara

Suatu malam yang hening, saya mendapat mesej daripada seorang teman:

“Salam…Dah tengok bulan?”

Saya yang sedang sibuk melakukan kerja di dalam bilik tidak pula merasa terpanggil untuk segera keluar. “Kemudianlah tengok. Tak ke mana bulan tu”, hati saya mendesis. Selang beberapa ketika, suatu panggilan masuk, saya jawab. “Eh Zul, ada di mana? Cepat keluar tengok bulan!” wah, teruja sekali bunyinya. “Ok”, Saya lantas mematikan panggilan dan segera keluar dan memandang ke langit. Terlihatlah akan indahnya bulan, dilingkari satu bulatan ibarat spektrum cahaya pelangi. Cahaya mengelilingi cahaya. Sungguh indah dan mempesonakan. Tidak lama selepas itu, masuk lagi satu panggilan daripada seorang teman lain, “Zul ada di mana? Tengok tak bulan?” “Ya, dah tengok, dah ada orang beritahu tadi”.

Malam itu banyak mesej masuk, bertanyakan tentang bulan, dan membesarkan keagungan Tuhan. Kalaulah bulan bisa berbicara, pastinya dia juga akan mengkhabarkan kepada kita tentang keagungan Tuhan yang menciptakannya.

“Tengoklah bulan, keagungan Allah sedang berlaku”.


“Mudahnya bagi Allah untuk mempamerkan keagungan-Nya”.

“Apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi bertasbih kepada Allah, dan Dialah yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana.” (As-Shaff:1)

Ya, bulan juga bertasbih memuji Allah. Bahasanya tidak kita fahami. Kita hanya dapat merasai kesan bulan daripada cahayanya yang menerangi alam di malam yang kelam. Tak dapat kita nak bayangkan bagaimana hidup dahulu kala tanpa cahaya lampu, tentulah kehadiran bulan di malam hari sangat-sangat dihargai untuk menerangi bumi.

Biar seindah mana rupa bulan, jangan pernah ia disembah. Sembahlah Tuhan yang menciptakan bulan, yang menjadikan ia sebagai penyuluh di malam hari. Tuhan yang tidak hilang bersama cahaya bulan. Tuhan yang sentiasa ada walaupun tiada bulan. Kalaulah bulan bisa berbicara, dia takkan rela dirinya diagung-agungkan sedangkan Tuhan dilupakan. Bulan hanya salah satu tanda daripada sekian tanda kebesaran Tuhan. Bulan hanya satu keindahan daripada sekian keindahan-keindahan ciptaan Tuhan, yang Maha Teliti dan Maha Menciptakan.

Keagungan Allah tidak hanya terhenti pada bulan, namun kita merasakan itu terlalu hebat kerana ia jarang dilihat. Terlalu banyak lagi keagungan Allah yang ditunjukkan pada diri kita sendiri. Demikian firman Allah:

“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?” (Fussilat: 53)

Sungguh, terlalu banyak keagungan Allah yang tak tergapai oleh pemikiran akal. Maka terlalu bongkak dan takabburlah manusia andai Tuhan diabaikan.

Kalaulah bulan bisa berbicara…

Comments

Popular posts from this blog

Nasihat Adik beradik

Wahai Sahabatku Yang Kecewa

Allah Memberikan Apa Yang Kita Perlu